Alex Rins Sempurnakan Hari Akhir Suzuki
Perlumbaan akhir yang penuh emosi buat pasukan Suzuki telah diceriakan dengan kecemerlangan tunggangan Alex Rins dari awal hingga akhir. Di hadapan lebih 170,000 orang penonton, Rins tidak mampu dicabar oleh sesiapa pun sejak dia memimpin perlumbaan seawal selekoh pertama. Rins yang merupakan pelumba senior dalam pasukan Suzuki Ecstar telah pun menyatakan keazamannya untuk memberikan 100% keupayaannya sebagai penghormatan kepada jenama Suzuki dan seluruh krew yang selama ini menabur bakti.
Pasukan Suzuki kembali menyertai saingan kelas prima ini pada tahun 2015, bermula dengan Maverick Vinales dan Aleix Espargaro. Alex Rins tiba di khemah biru ini pada tahun 2017 dan dia antara tunjang utama dalam segala pembaharuan dan penambahbaikan. Rins dan Andrea Iannone digandingkan pada tahun 2017 dan dua tahun kemudian, Suzuki telah 'melamar' Joan Mir, jaguh muda dari Moto2.
Gandingan Rins dan Joan Mir cukup serasi dan pada tahun 2020, Mir telah merealisasikan idaman pasukan Suzuki apabila dinobatkan sebagai Juara MotoGP.
Tahun 2021, prestasi pasukan ini sedikit menurun memandang ketika itu dunia MotoGP dipertontonkan dengan tunggangan magis daripada Fabio Quartararo dan seteru utamanya Francesco Bagnaia. Joan Mir cuba untuk mempertahankan kejuaraanya tetapi akhirnya akur untuk berada di tangga ketiga keseluruhan.
Ketika berada di puncak, berita yang mengejutkan telah disampaikan kepada pasukan oleh pihak lembaga pengarah Suzuki pada bulan Mei lalu yang menyatakan penarikan diri daripada perlumbaan MotoGP pada penghujung musim 2022. Walaupun begitu, Alex Rins terus positif dengan memberikan keputusan yang cemerlang. Prestasi Joan Mir terganggu selepas kemalangan dan kecederaannya. Mir gagal untuk memberi saingan di empat pusingan.
Rins dan Mir bakal berpindah bersama pasukan Honda untuk cabaran musim 2023. Bagi krew pasukan yang telah bersama-sama Suzuki sejak diperingkat awal (projek MotoGP) dulu, pasti akan merasakan satu kehilangan dan AGAK PELIK apabila 'terpaksa' meneliti data pasukan yang selama ini bagaikan 'musuh' ketat.
Selamat maju jaya! Moga kita dapat melihat jentera Suzuki di persada ini lagi nanti. RR