Francesco Bagnaia Tawan Litar Sepang
Pandemik menyebabkan Malaysia tidak dapat menganjurkan perlumbaan MotoGP selama dua tahun. Bagi para pencintanya, ia adalah satu penantian yang agak menyiksakan. Akhirnya ia kembali! Deruman jentera-jentera lumba bagaikan ‘memanggil’ kita semua untuk kembali berkumpul dan berpesta di Litar Antarabangsa Sepang bermula pada Jumaat lalu hinggalah semalam (Ahad, 23 Oktober 2022).
Kehadiran pada tahun ini juga cukup membanggakan dengan jumlah penonton untuk tiga hari penganjuran mencecah 163,567 orang. Mantap kan!!! Tahniah dan terima kasih buat semua.
Litar Sepang juga merupakan medan pertarungan yang amat penting buat dua jaguh MotoGP iaitu Francesco Bagnaia atau Pecco (Ducati Lenovo Team) dan Fabio Quartararo dari Monster Energy Yamaha MotoGP). Seorang ingin jadi juara dunia buat pertama kalinya, manakala seorang lagi sudah tentu ingin mempertahankan takhtanya.
Kedua-dua pelumba itu bagaimana pun tidak mencatatkan masa yang baik dalam sesi kelayakan. Pecco bermula di petak kesembilan manakala Quartararo di petak ke-12. Pelumba terpantas di Sepang ialah Jorge Martin yang juga telah mencatatkan rekod lap terbaru iaitu 1.57 saat – buat pertama kalinya dalam sejarah. Walaupun memiliki rentak dan kelajuan yang mantap, Martin telah terbabas di pertengahan saingan menyebabkan dia terpaksa pulang tanpa sebarang mata.
Pertarungan selepas itu tertumpu kepada dua pelumba Ducati iaitu Pecco dan Enea Bastianini juga dengan kelajuan luar biasa. Memang kekuatan enjin jentera Ducati di litar Sepang yang memiliki dua laluan lurus cukup terbukti apabila gagal diekori oleh para pencabarnya. Antara pelumba yang cuba menahan kemaraan kedua-dua pelumba itu ialah Marc Marquez, Quartararo dan Joan Mir.
Sedikit demi sedikit, mereka sudah mula menjarakkan diri. Di belakang, Quartararo terpaksa mencuba beberapa kali sebelum berjaya mengatasi Marquez untuk berada di tempat ketiga. Marquez sekali lagi gagal mengekalkan kedudukan apabila dipintas pula oleh Marco Bezzecchi tidak lama selepas itu.
Bagnaia dan Bastianini saling cuba mengatasi satu sama lain sehinggalah ke saat akhir dengan kemenangan berpihak kepada Bagnaia dengan catatan 40’14.332s, hanya 0.270s di depan Bastianini. Fabio Quartararo cemerlang di tempat ketiga diikuti oleh Bezzecchi dan Alex Rins masing di posisi keempat dan kelima.
Takhta juara masih terbuka! Francesco Bagaia kini unggul di tangga teratas dengan 258 mata. Ketinggalan 23 mata di belakang ialah Quartararo yang kini mengutip sebanyak 235 mata. Tangga ketiga masih menjadi milik Aleix Espargaro dengan 212 mata, hanya satu mata di depan Enea Bastianini.
Nampaknya, kita terpaksa tunggu hingga ke pusingan akhir untuk melihat siapa yang bakal menjulang juara MotoGP 2022. Adakah Bagnaia atau Quarataro? RR