Aksi Lincah Pelumba Cilik di MXKIDS Funrace Series 2022
Siri jelajah MXKIDS FUNRACE SERIES 2022 yang julung kali dianjurkan di Malaysia ini adalah rentetan sambutan yang amat luarbiasa diterima daripada acara pertama MXKIDS Funrace 2021 yang dianjurkan oleh sekumpulan ibu bapa “rider” bersama pihak Holeshot pada 19hb Disember 2021 di X-Park Sendayan, Negeri Sembilan.
Perlumbaan pertama khusus untuk pelumba cilik ini telah berjaya mengumpulkan seramai 55 orang pelumba dari seluruh Semenanjung Malaysia. Hanya dua kategori yang dipertandingkan pada mulanya iaitu “cadet” 50cc dan “cadet” 65cc. Perlumbaan pertama ini berjaya dianjurkan walaupun dalam suasana bencana banjir yang melanda Selangor pada waktu itu.
Acara ini menerima maklumbalas yang sangat positif daripada ibu bapa pelumba dan orang-orang lama dalam sukan motocross termasuk persatuan sukan motocross negeri-negeri. Mereka mengambil inisiatif untuk menubuhkan MXKIDS Malaysia dengan tujuan mempromosi dan sebagai penggerak acara sukan motocross khusus untuk anak-anak berumur antara 6 sehingga 16 tahun.
MXKIDS Malaysia bertindak sebagai platform dalam melahirkan serta mengembangkan bakat pelumba muda motocross di Malaysia. Buat masa ini, kategori “cadet’ dan “junior” hanya mendapat tempat sebagai acara sampingan di dalam mana-mana acara perlumbaan motocross sekitar negara.
Ia juga bertujuan memberikan pendedahan dan peluang serta pengalaman kepada pelumba muda untuk mempelajari teknik pemanduan dan kepelbagaian jenis litar motocross, merangsang perkembangan minda, mental dan fizikal serta meningkatkan tahap kemahiran sensori, “motorskils” dan interaksi sosial. Malah secara tidak langsung program ini juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan antara anak dan ibu bapa.
Disamping merangsang aktiviti pelancongan sukan, ia juga akan memberikan impak positif sosial dan menjana kelebihan dari aspek ekonomi. Di mana, komuniti tempatan turut memperolehi faedah bersama dari segi memperkenalkan produk tempatan seperti makanan, kraftangan dan budaya masyarakat di suatu tempat penganjuran.
Hasil perbincangan dengan beberapa empunya track di sekitar Semenanjung Malaysia, MXKIDS Funrace Series 2022 akan melibatkan lima (5) buah lokasi bermula di Selangor, Pahang, Terengganu, Perak dan Johor sepanjang tahun ini. Sebanyak 5 kategori dipertandingkan iaitu “cadet” 50cc (rookie) dan “cadet” 50cc (advance), “cadet” 65cc (rookie) dan 65cc (advance) serta “junior” 85cc.
Pecahan bagi kategori “cadet” ini dibuat demi memberi peluang kepada setiap pelumba merasai kemenangan dalam tahap mereka sendiri. Setiap pemenang akan membawa pulang hadiah berupa 'plak' bagi tempat pertama hingga kelima bagi setiap kategori dan medal untuk semua peserta.
Walaupun tiada wang tunai diberikan, antara gelagat-gelagat “rider” menyarung medal sepanjang perjalanan pulang ke destinasi, tidur bersama medal dan mempamerkan koleksi medal di rak hias memberikan inspirasi kepada penganjur untuk meneruskan pusingan seterusnya.
Siri jelajah pertama berjaya direalisasikan pada 26-27 Februari 2022 bertempat di Track Motocross Ulu Yam, Selangor. Program dua hari ini dianjurkan dengan kerjasama Selangor Extreme Malaysia Association (SEMA) dan menerima penyertaan seramai 67 orang pelumba lebih daripada sasaran iaitu 60 orang peserta.
Aksi lincah pelumba cilik mengendalikan jentera dua roda ini sangat mencuit hati. Pelbagai ragam dan kerenah peserta dapat dirakamkan sepanjang 2 hari perlumbaan berlangsung. Ada yang kepenatan, ada yang menangis, ada yang hilang dari track kerana terjun mandi sungai.
Hari pertama perlumbaan dimulakan dengan sesi taklimat kepada para peserta yang disampaikan oleh Pengerusi SEMA sendiri iaitu, En. Rizal Bin Zakaria. Peserta diberikan taklimat berkenaan “sporting rules” dan jenis-jenis “safety flags” yang digunakan di dalam perlumbaan. Selesai taklimat, semua pelumba diberi peluang untuk sesi “free practice” sehingga jam 1.00 petang. Selepas itu, barulah acara saringan bagi “cadet” 50cc dan 65cc serta kategori “rookie” bagi kedua-dua kategori 50cc dan 65cc dimulakan dan disusuli dengan acara junior Moto 1. Bagi memeriahkan acara, 2 kategori tambahan dianjurkan iaitu CKD Women dan Open MX.
Pada hari kedua, perlumbaan dimulakan dengan acara Moto 1, Moto 2 bagi kategori cadet 50cc dan 65cc (advance), junior 85cc Moto 2 dan final CKD Women dan Open MX. Acara ditamatkan dengan penyampaian hadiah kepada semua peserta dan berakhir pada jam 6.00 ptg.
MXKIDS Malaysia menerima banyak komen yang positif daripada ibubapa, mereka berpuas hati dengan lokasi dan aturcara program yang dirancang. Lokasi jelajah pertama ini bertempat di tepi sungai dilengkapi dengan chalet dan ianya berdekatan dengan track dan dapat memberikan suasana ala percutian sambil berlumba.
“Betul-betul puas hati dengan event dekat Ulu Yam … berbaloi datang dari Terengganu tinggalkan air banjir besar semata-mata untuk anak-anak. Tidur tepi sungai pengalaman pertama ni…. Tak pernah join camni. Ulu Yam betul-betul buat release stress. Nanti buat lagi ye di Ulu Yam” kata Intan dari Besut Terengganu.
“Event race” MXKIDS ni betul-betul puas sampai rider sendiri tak larat nak race lagi .. mana ada race khusus untuk anak-anak macam ni?” kata Arshad dari Rawang .
Siri jelajah kedua akan dianjurkan di Track Motocross Bandar Tun Razak, Keratong Pahang pada 4-5 Jun 2022 dengan kerjasama Fattah Motorsports. Kami berharap acara ini akan mendapat lebih sambutan di kalangan “rider” di seluruh Malaysia. Penyertaan siri kedua masih dibuka sehingga 20hb Mei 2022 dan yuran penyertaan adalah sebanyak RM98.00 bagi setiap kategori.
Perancangan kami di masa hadapan adalah untuk mendaftarkan MXKIDS Malaysia di dalam badan sukan KBS bagi memastikan kesinambungan program akar umbi ini dan menaikkan standard sukan motocross ini setanding Cubprix di Malaysia.
MXKIDS Malaysia juga mengalu-alukan penajaan daripada syarikat atau orang perseorangan bagi memastikan lima (5) siri ini dapat dijalankan seperti yang dirancang. Kita kekurangan rider pelapis motocross di dalam negara sejak tamatnya era 1970an Camel MX Champioship, 1980an Mobil MX Championship dan 1990an Castrol MX Championship yang diadakan di Malaysia. Jika tidak kita sama-sama menaikkan sukan MX di negara ini, siapa lagi?
Dengan adanya program akar umbi dan “race” khusus di kalangan “cadet”, insyallah dalam masa 10 tahun lagi kita akan ada produk yang berkualiti dan tidak mustahil MXGP akan singgah di tanah Malaysia satu hari nanti. Bak kata pepatah Melayu, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”. RR
Oleh: Fazlin Shamsudin
Popular