Afif Raih Kemenangan Pertama
Tahniah buat pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ Racing yang berjaya menikmati juara sulungnya dalam perlumbaan pusingan ketiga yang berlangsung di Litar Lumba Tangkak pada awal Mei lalu. Kemenangan Afif kali ini ternyata menyemarakkan semangat juara bertahan itu untuk terus memberi cabaran dalam saingan yang kini ternyata lebih sengit.
Selepas dua kali muncul juara berturutturut (Jasin, Melaka & Batu Kawan, Pulau Pinang), Azroy kini disebutsebut untuk membawa mesin Honda ke puncak di setiap pusingan dan dia berjaya lakukannya di sesi ujian masa dengan catatan masa kedua terpantas. Afif yang mencatatkan masa 44.762s hanya mampu berada di petak ketujuh.
Ternyata kedudukan di grid kadang kalanya tidak menjanjikan kemenangan tetapi semangat juang yang tinggi adalah kunci utama. Itulah yang dipamerkan oleh Afif menerusi pengendalian cukup mantap dan konsistensi rentaknya di setiap lap. Turut memberikan gaya tunggangan cukup mantap di Tangkak ialah pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Akid Aziz dan pelumba dari Selangor, Md Izzat Zaidi.
Afif, juara keseluruhan musim 2018 dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ Racing itu menamatkan cabaran sepanjang 20 lap dengan masa keseluruhan 14’55.133s mengatasi Md Akid Aziz (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) di tempat kedua. Sementara itu, tahniah buat Izzat Zaidi menamatkan saingan di kedudukan ketiga untuk meraih podium pertama musim 2019 dengan masa keseluruhan 14’57.676s.
Malang buat juara dua pusingan lepas, Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing) apabila terjatuh seawal selekoh pertama namun berupaya untuk bangkit dan menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-11.
“Perlumbaan tadi juga sebenarnya bukan mudah kerana memerlukan pelumba untuk kekal konsisten dari awal sehingga ke penghujung perlumbaan. Keadaan litar yang agak berisiko memerlukan saya memberi sepenuh tumpuan dan gembira kerana berjaya memenangi perlumbaan pertama musim ini.”
Afif kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 58 mata manakala Azroy turun ke tangga kedua dengan 55 mata. Ahmad Fazrul Sham yang menamatkan saingan pusingan ketiga ini di tempat ketujuh sedang berada kedudukan ketiga keseluruhan dengan 36 mata.
CP115
Pengalaman luas pelumba dari Selangor, Adib Rosley ternyata membuahkan hasil apabila berjaya menjuarai perlumbaan pusingan kedua dengan agak selesa. Walaupun diberi tentangan pada awalnya,
Adib mempertaruhkan kemahiran dan strateginya untuk menafikan setiap serangan dari mana-mana arah untuk menerima kibaran bendera penamat di tempat pertama dengan catatan masa 11:45.186s.
Tempat kedua dimenangi oleh Ahmad Syukran dan ini merupakan kemenangan kedua miliknya buat kali ketiga berturut-turut. Diharap Syukran berjaya melompat satu lagi tangga podium di perlumbaan akan datang. Namun begitu, gelaran naib juara telah meletakkannya sebagai pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 60 mata.
Perlumbaan kali ini juga mempamerkan tunggangan yang semakin matang oleh Md Khairi Asyraf dan Md Aiman Azman yang masing-masing menamatkan saingan di tempat ketiga dan keempat. Syafiq Rosli yang cemerlang di sesi ujian masa gagal menamatkan cabaran dan terpaksa menunggu hingga ke pusingan keempat nanti untuk menambah mata.
WIRA
Ia pastinya saat paling indah buat pelumba dengan jentera bernombor 27, Md Zaki Zamri yang berjaya menempa satu lagi kejayaan penuh bergaya di litar Tangkak dalam perlumbaan kelas ini. Kali pertama menjejakkan kakinya ke podium ialah pada perlumbaan pembuka tirai lalu tetapi prestasinya sedikit menurun pada pusingan kedua dan kesedihan itu ditebus semula secepat mungkin.
Md Izzam Hanafi ketinggalan hanya 1.963s untuk berada di tangga kedua podium manakala Haziq Rosmaza dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha 31 Racing di tempat kedua. Kejayaan Zaki di Johor ini telah melonjakkan namanya untuk bergelar juara keseluruhan (setakat pusingan tiga) dengan 60 mata diikuti Md Sharul Ezwan dan Md Haziq masing-masing terikat dengan 36 mata.
Cabaran Yamaha PETRONAS Super Series
Persaingan di antara dua pelumba berbakat, Danish Afandi dan Harith Rosmaza terus sengit hingga ke pusingan ketiga. Keduadua pelumba muda ini memiliki kekuatan masing-masing dan disebabkan sama kuat, kelebihan adalah buat salah seorang yang mampu mengawal tekanan dan kekuatan mental untuk mendorong terus ke garisan penamat.
Perlumbaan kali ini berpihak kepada Harith yang berjaya mengenepikan Danish ke tempat kedua manakala Md Aqil mengulangi keputusan yang sama seperti di Batu Kawan iaitu di tempat ketiga. Danish masih di tangga teratas carta dengan 65 mata tetapi kini hanya dua mata sahaja di depan Harith Rosmaza manakala Arif Izzan di tangga ketiga (42 mata).
Cabaran Honda Dash 125
Syabas diucapkan buat Md Farid Hakimi yang berjaya melakukan kemenangan hatrik pada perlumbaan kali ini. Berada di petak pertama telah memberikannya peluang untuk memimpin perlumbaan dari awal lagi. Antara pelumba yang mampu mengekori rentak Farid ialah Ahmad Syamil, Adib Hareez dan Allan Harris.
Farid diberi kibaran bendera kemenangan dengan catatan masa 8:35.868s. Adib berjaya menaiki podium pertamanya selepas menang naib juara manakala Syamil di tempat ketiga.
Cabaran Yamaha NVX
Adib Kharith akhirnya berjaya mencipta nama dalam perlumbaan kelas ini apabila menang dan mendapat podium untuk kali pertama musim ini. Kepantasan Adib mula dilihat sejak di sesi latihan bebas dan apabila mencatatkan masa terbaik di sesi kelayakan. Ketika itu juga ramai yang mula menganggap dia memang mampu menang di Tangkak.
Pelumba dari Johor, Md Ashraffi yang tamat di tempat kedua seterusnya mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu keseluruhan dengan 65 mata. Tempat ketiga dimenangi oleh Danish Fitri dari Negeri Sembilan manakala Azafar Rifqie hanya sedikit ketinggalan di belakang untuk meraih tempat keempat.
Pusingan keempat akan diadakan di Teluk Intan pada 21 Julai nanti diikuti Kuala Terengganu pada 23-24 Ogos. RR
Popular