Saingan di Cota Pamer Aksi Menarik - 'The Beast' Menang Lagi!
Saingan MotoGP yang berlangsung Circuit of the Americas (COTA) sememangnya memberikan kepuasan buat sesiapa sahaja yang menontonnya. Sekali lagi Enea Bastianini atau The Beast muncul juara selepas mempamerkan tunggangan yang cukup mantap untuk menewaskan para pelumba lain. Turut mencipta sejarah ialah jaguh pasukan Suzuki Ecstar, Alex Rins yang berjaya mengenepikan Jack Miller pada lap terakhir untuk tamat di tempat kedua dan menghadiahkan podium ke-500 buat Suzuki.
Di awal saingan, Miller bermula dengan cukup baik, memintas Jorge Martin dan Francesco Bagnaia (Pecco) untuk memimpin saingan. Tidak lama kemudian, Bastianini mula rapat untuk membuat serangan demi serangan. Ketika ini, jentera Ducati mengungguli saingan dengan para pelumba mereka berada di posisi 1 hingga 5. Fabio Quartararo di tempat keenam manakala Rins dan Joan Mir masing-masing di P7 dan P8.
Bermula dari Lap 6, Rins mengorak langkah untuk mengejar dan antara pelumba yang menjadi 'mangsa' terawalnya ialah Pecco diikuti Johann Zarco tidak lama kemudian. Walaupun memiliki rentak yang cukup mantap, Rins kelihatan agak sukar untuk menyaingi kepantasan jentera Bastianini yang ketika itu berada di tempat kedua.
Bastianini semakin laju mengejar Miller di depan dan jarak di antara kedua-dua pelumba ini semakin dekat dari masa ke semasa. Apabila saingan berbaki lima saja lagi, Bastianini membuat serangan untuk memintas Miller dan selepas berjaya, pelumba muda itu terus memecut ke hadapan. Miller yang cuba mengejar tetapi gagal malah terpaksa pula menghadapi serangan daripada Rins yang tidak berhenti mengejar. Jentera Suzuki memang cukup laju di COTA dan Rins akhirnya berjaya memintas lawannya itu di Selekoh 19 untuk meraih tempat kedua.
Di belakang kelompok utama ini, hadirnya bekas juara dunia iaitu Marc Marquez yang benar-benar membuktikan kehandalannya. Bermula di petak akhir bukanlah batas yang menghalangnya daripada membuat pecutan luar biasa. Pelumba dari Sepanyol itu memintas para pelumba lain untuk melintasi garisan penamat di tempat keenam. Hebat!
"Hari yang hebat! Memang sukar perlumbaan ini. Bahagian awal perlumbaan Miller memiliki rentak yang sangat pantas. Semasa pertengahan saingan, saya melihat Rins sangat dekat dengan saya dan untuk tidak dipintas, saya memutuskannya untuk memecut terus ke depan. Suhu tayar hadapan terlalu tinggi menyebabkan saya terpaksa menunggang sebaik-baiknya. Sungguh luar biasa untuk menang di Amerika ini kerana ia adalah litar yang hebat bersama para pelumba yang hebat."
Moto2
Pelumba Itali, Tony Arbolino dari pasukan Elf Marc VDS Racing Team menahan segala tekanan dengan tenang sebelum berjaya memenangi saingan kelas ini buat pertama kalinya dengan penuh bergaya. Ai Ogura (Idemitsu Honda Team Asia) menduduki tempat kedua untuk menikmati kedudukan di podium manakala tempat ketiga dimenangi oleh Jake Dixon.
Juara bertahan, Celestino Vietti terbabas di awal saingan diikuti pula pencabar terdekatnya iaitu Aron Canet yang juga bersama awal selepas terbabas keluar litar. Terdapat juga drama yang hampir sama di tempat lain. Beberapa orang pelumba turut terlibat dalam kemalangan. Antaranya Somkiat Chantra yang tersentuh dengan Sam Lowes, diikuti pula nasib Fermin Aldeguer yang masuk ke Selekoh 12 terlalu laju. Jatuh!
Selekoh 6 'menarik' mangsa seterusnya, kali ini Pendahulu Kejuaraan iaitu Vietti. Ketiadaan Vietti membolehkan Arbolino dan Dixon berpindah ke posisi tiga teratas, dan memberikan kelebihan - selesa kepada pendahulu perlumbaan ketika itu, Canet tetapi sayangnya posisi itu tidak lama apabila dia juga terbabas.
Oleh itu, tiga pelumba yang meneruskan perebutan. Arbolino mendahului Dixon dan Ogura. Dengan tenang, Arbolino membuka jarak dan mendahuli para pelumba lain hingga tamat. Ai Ogura di tempat kedua manakala Jake Dixon dan Marcel Schrotter masing-masing di tempat ketiga dan keempat.
Moto3
Buat pertama kali sejak GP Qatar 2021, Jaume Masia dinobatkan sebagai juara perlumbaan selepas berjaya mengatasi lawannya di pertempuran klasik Moto3 yang penuh keterujaan. Dennis Foggia kini mendahului mata keseluruhan dengan sedikit kelebihan mata selepas menduduki tempat kedua. Pelumba Itali itu telah menewaskan rakan senegaranya Andrea Migno yang terpaksa berpuas hati di tempat ketiga. Sergio Garcia yang sebelum ini unggul di tangga teratas agak terjejas apabila gagal menamatkan saingan.
Seperti biasa, perebutan posisi di depan dalam saingan Moto3 memang sukar. Hampir semua pelumba memiliki tahap penguasaan jentera yang sama disamping kuasa enjin motosikal yang juga hampir sama. Antara yang menonjol di COTA kali ini ialah Masia, Ayumu Sasaki, Diogo Moreira, Deniz Oncu dan Foggia.
Menuju ke lap terakhir, Moreira terbabas keluar tetapi mujurlah tidak cedera. Masia dan Migno masih di depan manakala Foggia, Sasaki dan Oncu rapat di belakang - kelima-lima pelumba ini berpeluang untuk menang. Migno mendahului di laluan lurus tetapi Masia menggunakan 'slipstream' untuk memintas.
Ketika di sektor akhir, Migno membuat serangan dari dalam tetapi melebar, ini memberi peluang buat Masia dan Foggia memintas. Masia tidak melakukan kesilapan di selekoh terakhir untuk meraih kejayaan yang diimpikan selama ini.
Selepas COTA, pusingan seterusnya akan berlangsung di Litar Autodromo, Portugal pada 24 April. Pusingan 6 akan diadakan di Litar Jerez pada 1 Mei nanti diikuti Litar Le Mans pada 15 Mei 2022. RR
Popular