PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing Raih Kemenangan 1-2
Perlumbaan pusingan lapan Kejuaran PETRONAS Malaysian Cub Prix disambut meriah oleh pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing apabila duo pelumba pasukan itu meraih kemenangan 1-2 dalam kelas CP150 di Litar Lumba Tangkak, Johor.
Walaupun bersaing dalam keadaan litar yang basah, Ahmad Afif Amran dan Md Izzat Md Salehan mempamerkan aksi tunggangan yang cukup mantap untuk mendapatkan kemenangan serta mempertingkatkan lagi kedudukan pasukan secara keseluruhan.
Sepanjang sebelas pusingan Izzat telah mempertahankan kedudukannya selaku pemimpin perlumbaan. Namun, Afif telah mengatur strategi dengan bijak untuk merampas kedudukan di tempat pertama apabila keadaan litar yang sesuai untuk beliau.
Sehingga ke penghujung perlumbaan, Afif mengekalkan momentumnya untuk mempertahankan kedudukannya. Beliau juga telah mengendalikan jenteranya dengan baik tanpa melakukan kesilapan. Pada selekoh terakhir, Afif meningkatkan kelajuan sebelum melepasi garisan penamat. Afif menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan masa terpantas 15’05:875s.
Tempat kedua pula dimenangi oleh rakan sepasukan Afif, Md Izzat Md Salehan dengan catatan masa 15’07:601s manakala kedudukan ketiga menjadi milik Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team (15’09:482s).
Untuk saingan CP125 pula, Md Irfan Haykhal Amidi dari pasukan Honda KC Racing yang memulakan perlumbaan di petak kesebelas dengan pantas memintas beberapa pelumba untuk berada di kedudukan empat teratas. Namun pada pusingan ketujuh beliau berjaya memintas pelumba yang berada di kedudukan pertama.
Berbaki lagi lapan pusingan, kedudukan Irfan selaku pendahulu dicabar oleh pelumba di belakangnya, Md Shafiq Rasol. Pada pusingan terakhir, saingan semakin mencabar di mana Shafiq telah merampas kedudukan pendahulu. Namun, dalam bebrapa saat Irfan kembali mendapatkan kedudukan P1.
Pada selekoh terakhir, perlumbaan di antara Irfan dan Shafiq bertambah sengit apabila dua pelumba itu berebut untuk melepasi garisan penamat selaku juara pusingan lapan. Irfan berjaya memenangi perlumbaan dengan catatan masa 11’38:975s.
Manakala pelumba pasukan ONEXOX TKKR Racing team, Md Shafiq Rasol terpaksa berpuas hati di tangga kedua (11'38:979s) dan tempat ketiga jatuh ke tangan Md Fareez Afeez Abd Rahman dari pasukan YYPang Yamaha Racing Team (11’40:677s).
Bagi kategori Wira KBS, Md Farish Iqmal Khayrul Elyas dari pasukan Honda KC Racing meraih kemenangan pertamanya untuk musim ini di P1. Farish yang memulakan perlumbaannya di petak ketiga selepas sesi "Shoot-Out" memecut dengan pantas untuk memimpin perlumbaan.
Walaupun beliau diberi tentangan hebat oleh pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing, Farish langsung tidak memberikan peluang pelumba itu memintasnya. Sepanjang perlumbaan, Farish mengekalkan momentumnya dan meningkalkan pelumba lain jauh di belakang.
Farish berjaya mengekalkan kedudukannya sehingga ke garisan penamat dengan catatan masa 9’29:988s. Tempat kedua dimenangai oleh Md Adam Haikal Jahar dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing (9’31:547s). Manakala kedudukan ketiga pula menjadi milik Md Farid Hakimi Farid Sezli dari pasukan Idemitsu Honda Yam Racing dengan catatan masa 9’31:822s.
Perlumbaan pusingan ke-9 Kejuaran PETRONAS Malaysian Cub Prix akan berlangsung pada 5hb - 6hb November 2022 di Litar Antarabangsa Sepang Sebelah Selatan. RR
Pusingan 8, PETRONAS Malaysian Cub Prix Championship
CP150
- Ahmad Afif Amran, PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING, 15:05.875
- Md Izzat Zaidi Md Salehan, PETRONAS SPRINTA YAMAHA - CKJ RACING, 15:07.601
- Azroy Hakeem Anuar, HONDA YUZY IDEMITSU TEAM, 15:09.482
- Md Haziq Md Fairues, PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR, 15:12.227
- Nazirul Izzat Md Bahauddin, PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR, 15:12.566
CP125
- Md Irfan Haykhal Amidi, HONDA KC RACING, 11:38.975
- Md Shafiq Rasol, ONEXOX TKKR RACING TEAM, 11:38.979
- Md Fareez Afeez Abd Rahman, YYPANG YAMAHA RACING TEAM, 11:40.677
- Md Firdaus Md Hamdan, HONDA KC RACING, 11:43.105
- Md Adib Rosley, YYPANG YAMAHA RACING TEAM, 11:43.230
Wira KBS
- Md Farish Iqmal Khayrul Elyas, HONDA KC RACING, 9:29.988
- Md Adam Haikal Jahar, PETRONAS SPRINTA YAMAHA - 31 RACING, 9:31.547
- Md Farid Hakimi Farid Sezli, IDEMITSU HONDA YAM RACING, 9:31.822
- Md Danish Aiman Zamrul, PETRONAS SPRINTA YAMAHA - 31 RACING, 9:37.565
- Adib Hareez Hazwat, HONDA AFB TECH RACING, 9:40.941