Dovizioso Buka Tirai Musim Baru Dengan Penuh Gaya
Sejak tahun 2004 lalu, Litar Antarabangsa Losail, Qatar merupakan litar pembukaan musim yang cukup penting untuk semua pasukan dan merupakan satusatu pusingan yang dianjurkan di sebelah malam. Tahniah buat mereka kerana mendapat kontrak penganjuran sekurangkurang hingga tahun 2031 nanti. Litar sepanjang 5,380 kilometer ini mempunyai laluan lurus sepanjang 1,068 meter, 10 selekoh kanan, 6 selekoh kiri dengan kelebaran litar sebesar 12 meter. Rekod lap terpantas dimiliki oleh Marc Marquez iaitu 1:53.380 saat.
Pada perlumbaan pembuka tirai yang berlangsung pada 10 Mac lalu, setiap pasukan cukup optimis untuk mengetahui tahap kemajuan yang dicapai bukan sahaja oleh jentera mereka sendiri tetapi juga jentera milik pasukan lawan. Sesi kelayakan adalah saat-saat yang cukup penting agar setiap pilihan tayar, talaan saspensi dan elektronik dapat dibuat dengan tepat agar rentak cemerlang berjaya dizahirkan di hari perlumbaan.
Antara pelumba yang mendapat perhatian dunia dalam saingan musim ini ialah Valentino Rossi yang kini berusia 40 tahun. Adakah dia masih mampu menandingi para pelumba muda untuk berada di antara lima pelumba terbaik? Jorge Lorenzo kini bersama pasukan Repsol Honda dan dikaitkan sebagai The Dream Team apabila digandingkan dengan Marc Marquez.
Selepas mempamerkan tunggangan cukup mantap pada musim lalu, Danilo Petrucci yang kini bersama pasukan kilang Ducati dikatakan antara pesaing kuat kelas prima dan sudah pasti juara 2018, Marc Marquez yang terus berusaha untuk menjulang kemenangan buat kali keenam. Turut menarik perhatian ialah pelumba LCR Honda Castrol, Cal Crutchlow yang menunjukkan kemampuan luar biasa walaupun bersaing buat pertama kalinya sejak ditimpa kemalangan di litar Phillip Island tahun lalu. Ada yang masih belum pasti tahap kecergasannya untuk bertarung.
Dalam perlumbaan akhir, Maverick Vinales, pelumba pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP mengembirakan seluruh pasukannya selepas meraih petak pertama diikuti oleh pelumba pasukan Mission Winnow Ducati, Andrea Dovizioso (Dovi) dan jaguh Repsol Honda, Marc Marquez di petak ketiga. Paling membanggakan ialah kepantasan pelumba termuda musim ini iaitu Fabio Quartararo (PETRONAS Yamaha STR) yang melayakkannya berada di petak kelima.
Sebaik sahaja lampu merah dipadamkan, para pelumba berkejaran mencari laluan terbaik untuk berada di depan. Kuasa enjin yang dilihat sama hebat...sama kuat... menyukarkan pada pelumba untuk membuat serangan.
Selepas lima lap, kelompok utama dibarisi oleh sembilan pelumba yang cukup hebat antaranya Dovizioso, Marquez, Alex Rins, Carl Crutchlow, Petrucci, Vinales, Joan Mir, Rossi dan Franco Morbidelli dari pasukan PETRONAS Yamaha STR.
Dek kerana ditimpa masalah teknikal ketika di petak permulaan (lap pemanas), Quartararo terpaksa bermula dari paddock dan ia agak mengecewakan buat pelumba muda dari Perancis itu.
Perebutan tempat pertama memang sangat sengit. Sekurang-kurangnya tiga orang pelumba iaitu Dovizioso, Marquez dan Rins saling bertukar posisi manakala di belakang Rossi yang bermula di petak ke-14 semakin mendapat rentak untuk memintas seorang demi seorang.
Seperti musim lalu, para penonton cukup teruja dengan pertembungan 'semula' Dovizioso dan Marquez yang benar-benar mantap. Kedua-dua pelumba mencatatkan kelajuan maksimum yang hampir sama iaitu 345km/j tetapi setiap serangan Marquez dapat dinafikan oleh Dovizioso, menggunakan kekuatan enjin Desmosedici GP terutamanya di laluan lurus.
Seperti biasa, Marquez tidak akan menyerah kalah dan sekali lagi cuba memintas di selekoh akhir. Oleh kerana membrek keras di saat akhir, Marquez sedikit melebar dan membuka ruang kecil untuk Dovizioso memintas. Marquez mengerahkan seluruh tenaga jenteranya untuk mengejar tetapi Dovizioso terlebih dahulu melintasi garisan penamat dengan perbezaan masa hanya 0.023 saat.
Tempat ketiga dimenangi oleh pelumba LCR Honda, Crutchlow yang memberikan seluruh tumpuan untuk kekalkan konsistensi sepanjang perlumbaan. Rins membangga pasukan Suzuki Ecstar di tempat keempat manakala Rossi berjaya memintas sembilan orang pelumba lain untuk menerima bendera penamat di tempat kelima.
“Saya amat gembira dengan kemenangan terutamanya selepas mengharungi sesi latihan dan ujian yang kurang memberangsangkan. Marquez telah melakukan segalanya untuk memintas tetapi saya bersedia untuk menggunakan kelebihan yang dimiliki oleh jentera terutamanya ketika memecut dan kelajuan tertinggi,” kata Dovizioso.
“Ia sama seperti apa yang berlaku di sini setahun yang lalu! Saya cuba memintas dan dapati telah melebar, tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Apa pun, saya tetap gembira dengan 20 mata kerana selalunya kami agak sukar berlumba di sini, Kami telah mengubah sesuatu dan ia menyebabkan saya tidak dapat membrek keras seperti biasa tetapi kami tetap peroleh mata penting,” kata Marc Marquez.
“Kami bekerja keras sejak sehari yang lalu dengan melakukan pelbagai talaan dan pengubahsuaian. Saya cukup gembira kerana mampu menamatkan perlumbaan di tempat kelima walaupun bermula dari belakang. Kami harus terus menumpukan perhatian untuk cemerlang di litar-litar lain. Saya inginkan tempat di podium tetapi kami belum cukup kuat sepenuhnya, komen Rossi.
Moto2
Drama yang hampir sama berlaku di antara Lorenzo Baldassari dan Thomas Luthi dalam saingan akhir. Baldassari yang mula memimpin persaingan sejak di lap kedua dan cuba meninggalkan kelompok hadapan dengan cepat. Namun begitu dia tetap diberi tekanan oleh beberapa orang pelumba seperti Remy Gardner dan Alex Marquez. Luthi yang berada agak ke belakang mula menyerlahkan ketangkasannya untuk merebut posisi sedikit demi sedikit sehinggalah tiba di belakang Gardner dan Alex Marquez.
Selepas berjaya memintas dua pelumba di hadapannya, Luthi hanya perlu tewaskan Baldassarri untuk muncul juara sulung musim ini. Walaupun hanya tinggal satu lap sahaja untuk ditamatkan, Baldassarri terpaksa berhempas pulas untuk mengekang kemaraan Luthi yang semakin pantas. Walaupun mencuba sedaya upaya, Gardner terpaksa berpuas hati di tempat kedua hanya dengan perbezaan 0.026 saat. Tempat ketiga dimenangi oleh pelumba Jerman, Marcel Schrotter.
Tahniah buat Khairul Idham Pawi (KIP) yang berjaya menamatkan saingan sulongnya bersama pasukan baru iaitu PETRONAS Sprinta Racing. Kita berharap agar dia mampu
menyahut cabaran dan memberikan keputusan lebih baik di saingan seterusnya.
Moto3
Tahniah buat Kaito Toba dari pasukan Honda Team Asia, sebagai warga Jepun pertama muncul juara dalam kelas lightweight selepas Tomoyoshi Koyama muncul juara 125cc di GP Catalan pada tahun 2007 yang lalu. Toba yang mempamerkan tunggangan penuh bergaya selepas berjaya menewaskan 14 lagi pelumba hebat yang berada di kelompok paling depan.
Dua pelumba berbakat dari pasukan PETRONAS Sprinta Racing iaitu John McPhee dan Ayumu Sasaki mempunyai nasib yang berbeza. McPhee berjaya meraih tiga mata dengan posisi di tempat ke 13 tetapi sayang buat Sasaki yang terpaksa bersara awal.
Pusingan seterusnya adalah di Argentina pada 31 Mac diikuti Amerika pada 14 April 2019. RR
Popular