Juara Bertahan Kembali Di Tangga Teratas – Fabio Juara Portimao
Tunggangan sempurna oleh penyandang juara, Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha MotoGP) telah memberikannya kemenangan penuh bergaya dalam perlumbaan pusingan kelima yang berlangsung di Litar Antarabangsa Autodromo Algarve, Portugal. Dengan keupayaan meninggalkan lawan sejauh lima saat, Fabio benar-benar membuktikan keupayaan sebenarnya jika segalanya berjalan lancar.
Saingan akhir kelas prima ini bermula dengan Joan Mir yang berada di petak kedua memecut cukup laju untuk memimpin perlumbaan dan itulah kali pertama dia melakukannya sejak tahun 2020 dulu. Mengekori rapat di tempat kedua ialah Fabio diikuti oleh Johann Zarco, Jack Miller dan Alex Marquez.
Dengan daya pecutan yang lebih bertenaga, Fabio berjaya memintas Mir di laluan lurus untuk menukar kedudukan. Bermula dari saat itu, Fabio terus fokus di hadapan untuk meratah setiap selekoh di litar dengan kawalan yang cukup sempurna. Beberapa pelumba di belakang seperti Enea Bastianini, Jorge Martin, Takaaki Nakagami yang pada mulanya mempunyai rentak untuk mencabar gagal untuk meneruskan cabaran.
Perebutan tempat kedua di antara Mir dan Miller semakin mendebarkan. Miller menggunakan kekuatan enjin Ducatinya untuk merapatkan kedudukan dan ketika Miller cuba memintas dari dalam, jenteranya hilang cengkaman lalu terbabas dan 'menyapu' Mir bersama-samanya ke luar litar. Kedua-dua pelumba pulang dengan sifar mata!
Fabio semakin selesa sehinggakan agak mustahil lagi untuk dikejar. Juara 2021 itu akhirnya menerima kibaran bendera penamat di tempat pertama. Zarco di tempat kedua manakala Aleix Espargaro sekali lagi berjaya ke podium di tempat ketiga.
“Saya telah melakukan sebaik-baiknya dan kali ini talaan jentera saya cukup mantap. Saya juga tepaksa menahan kemaraan dua pelumba di belakang. Apabila Mir dan Miller terkeluar, saya lebih yakin untuk mencipta kemenangan sulung musim ini,” komen Fabio Quartararo. RR