Isu Terkini

Julai 2024

Dari Litar / 2 Februari 2022

Azroy Juara CP150 2021

Pusingan 10: SIC - Setelah mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan dalam 10 pusingan Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix, pelumba Honda Yuzy Idemitsu Team, Azroy Hakeem Anuar akhirnya berjaya bergelar Juara CP150.

Pusingan penutup tirai ini telah diadakan di Litar Sepang Selatan dan selepas dua hari dipukul ribut kuat, para pelumba Cub Prix akhirnya dikurniakan dengan cuaca yang begitu sempurna untuk perlumbaan terakhir.

Kedudukan pendahulu kejuaraan asalnya diungguli oleh Ahmad Afif Amran, namun begitu Azroy enggan menyerah kalah. Pelumba Honda tersebut memilih strategi dan semangat yang tinggi untuk meraih kemenangan. Apabila saingan berbaki tiga lap saja lagi, Azroy mula mengorak langkah untuk meletakkan dirinya di kedudukan yang strategik.

Strategi ‘curi angin’ ataupun slipstreaming yang Azroy lakukan menyebabkan dia berjaya memintas para pelumba seterusnya membuat kejutan di garisan penamat. Azroy berjaya mengungguli perlumbaan penutup tirai dengan catatan masa 14’13.682s dan mengesahkan kedudukannya sebagai Juara CP150 dengan 163 mata.

Kasma Danial -27- sempat menoleh ke arah Afif -50- ketika perlumbaan akhir baru dimulakan.
Kasma Danial -27- sempat menoleh ke arah Afif -50- ketika perlumbaan akhir baru dimulakan.

“Perlumbaan kali ini memang mencabar kerana terlalu ramai para pelumba berpengalaman berada di depan. Oleh itu, saya memilih strategi yang lebih selamat. Saya amat bersyukur meraih kejayaan yang diidamkan selama ini. Saya akan cuba yang terbaik untuk mengekalkan prestasi kami sepasukan pada musim hadapan,” kata Azroy

Tempat kedua dimenangi pelumba yang cukup berpengalaman iaitu Ahmad Fazrul Sham dengan catatan masa 14’13.700s diikuti oleh Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan di tempat ketiga dengan 14’13.702s.

Kedudukan Mata Keseluruhan CP150:

  1. Azroy Hakeem Anuar 163 mata
  2. Ahmad Afif Amran 157 mata
  3. Md Akid Aziz 135 mata
  4. Nazirul Izzat Md Bahaudin 96 mata
  5. Kasma Daniel Kasmayudin 95 mata
Adib cukup berbangga meraih gelaran Juara CP125 2021.
Adib cukup berbangga meraih gelaran Juara CP125 2021.

CP125

Walaupun juara CP125 musim ini sudah dinobatkan untuk Mohd Adib Rosley di Pusingan 9 tempohari, persaingan kategori ini terus sengit. Md Hafiza Rofa dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team berjaya menamatkan saingan akhir musim 2021 dengan nada positif apabila muncul juara dengan catatan masa 11’08.299s.

Para pemenang CP125. Dari kiri: Md Firdaus, Hafiza Rofa dan Syafiq Rosli.
Para pemenang CP125. Dari kiri: Md Firdaus, Hafiza Rofa dan Syafiq Rosli.

Dalam persaingan akhir, pelumba dari Terengganu itu dilihat bertarung hebat dengan persaingan terdekat iaitu Mohd Syafiq Rosli serta Mohd Firdaus Mohd Hamdan. Tunggangan yang mantap serta kecekapannya menutup setiap ruang memberikan kelebihan. Tempat kedua dimenangi oleh Md Firdaus hanya 0.092 saat di belakang manakala Syafiq Rosli di tempat ketiga.

Juara kategori WIRA 2021, Aqil Daniel.
Juara kategori WIRA 2021, Aqil Daniel.

Wira

Sekalung tahniah buat Md Aqil Danial yang akhirnya berjaya mengecapi impiannya untuk bergelar juara keseluruhan kelas Wira. Kelas ini dikhususkan buat pelumba di bawah 17 tahun yang telah berjaya mempamerkan sifat jati diri sebagai para pelumba yang benar-benar ingin mencipta sejarah buat diri mereka.

Pertarungan sengit di antara Aqil -32- dan Harith dalam perebutan tempat pertama.
Pertarungan sengit di antara Aqil -32- dan Harith dalam perebutan tempat pertama.

Tidak dinafikan, Aqil antara pelumba yang sering ke podium dan ada juga masanya, prestasi Aqil tidak konsisten dan ketika itulah saat terbaik buat lawannya seperti Irfan dan Harith Haziq cuba merapatkan diri. Dalam saingan akhir, kemenangan Aqil ternyata tidak mudah!

Pelumba dari Kuala Lumpur ini terpaksa berhempas pulas untuk berada di depan walaupun diberi tentangan sengit oleh Danial dan Harith dari pasukan Castrol Power1 Honda Team. Aqil Danial menang dengan catatan masa 10’03.201s dan lebih bermakna apabila dia juga dianugerahkan gelaran Juara Wira KBS 2021. Tahniah sekali lagi!

Alif Imran Ahmad Husni cukup berbangga bergelar Juara Cabaran Honda Dash 125.
Alif Imran Ahmad Husni cukup berbangga bergelar Juara Cabaran Honda Dash 125.

Cabaran Honda Dash 125

Terlebih dahulu tahniah diucapkan buat Alif Imran Ahmad yang telah meletakkan dirinya sebagai Juara 2021 dengan jumlah mata keseluruhan sebanyak 173 mata, lebih 26 mata berbanding pemenang tangga kedua iaitu Aisy Izz Hafiy.

Ucapan tahniah seterusnya dikhaskan buat Md Loqman Nur Hakim yang meraih kemenangan pertamanya selepas sekian lama mencuba tanpa putus asa. Itulah semangat yang kita mahukan. Sepanjang musim, posisi terbaik yang pernah dicapainya ialah pada Pusingan 2 dan Pusingan 4, kedua-dua di posisi keempat.

Cuaca yang kurang baik tidak menghalang para pelumba memberi persembahan yang cukup mantap.
Cuaca yang kurang baik tidak menghalang para pelumba memberi persembahan yang cukup mantap.

Loqman terpaksa bertarung bermati-matian dengan beberapa orang pelumba yang kesemuanya memiliki peluang untuk menang kerana jarak yang terlalu dekat. Namun begitu, rezeki menjadi milik Loqman apabila terlebih dahulu menerima bendera penamat diikuti Md Farid, Md Danish dan Raja Nazreen.

Juara Cabaran Yamaha Super Series 2021, Md Faiz Khairul Azmi.
Juara Cabaran Yamaha Super Series 2021, Md Faiz Khairul Azmi.

Cabaran Yamaha Super Series

Pelumba Selangor, Md Aildil berjaya mengulangi kejayaannya di Pusingan 9 untuk sekali lagi dinobatkan sebagai juara. Kejayaan manis ini dikecapinya setelah menewaskan dua seteru utama iaitu Md Adie Putra dan Md Afeez Aiman dalam jarak yang sangat dekat.

Ketiga-tiga pelumba ini bagaikan berada dalam kelas tersendiri apabila meninggalkan para pelumba lain hampir lima saat di belakang. Adie yang cuba memberi tekanan di saat-saat akhir terpaksa berpuasa hati di tempat kedua apabila Aildil lebih pantas memecut ke hadapan.

Walaupun sekadar di tempat kesembilan, ia sudah memadai buat Md Faiz Khairul untuk mengutip mata tertinggi sebagai juara keseluruhan. Dengan 143 mata, Faiz mempunyai kelebihan 11 mata berbanding Aildil di tangga kedua. Pemenang tempat ketiga musim ini jatuh kepada Md Afeez Aiman dengan 128 mata.

Md Zuhailnabil -23- cemerlang di SIC untuk bergelar Juara Keseluruhan NVX.
Md Zuhailnabil -23- cemerlang di SIC untuk bergelar Juara Keseluruhan NVX.

Cabaran NVX

Saingan getir di antara dua pelumba berbakat iaitu Md Zulhailnabil dan Md Adib yang berlanjutan sehingga pusingan akhir di SIC berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Zulhailnabil yang tamat di tempat kedua, tewas di tangan Md Mikail dari Selangor manakala Adib tercicir di tempat ketujuh selepas gagal meloloskan diri dalam kelompok yang sangat kompetitif.

Kedudukan di tempat ketujuh telah menyebabkan Adib hilang peluangnya bergelar juara keseluruhan walaupun pada pusingan kesembilan dia berada di tangga pertama. Kedudukan Mikail tidak berubah walaupun menambah 25 mata lagi. Dia kekal di tangga ketiga dengan 146 mata.

Pemenang-pemenang Cabaran NVX bergambar kenangan bersama para VVIP.
Pemenang-pemenang Cabaran NVX bergambar kenangan bersama para VVIP.

Selesai sudah musim yang panjang dan penuh dugaan. Pasti ramai peminat cub prix yang menunggu ketibaan perlumbaan tersohor ini di negeri masing-masing. Kita doakan semua urusan dipermudahkan. RR

Isu Pada

Februari 2022

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Pelumba Negara Tampilkan Aksi Memberangsangkan

Akid Pertahankan Kejuaraan CP150

Podium Berganda Buat Qabil Di Sepanyol & Raih Keempat Keseluruhan di ESBK

CP125: Syamil Akan Raikan Gelaran Juara Lebih Awal Jika Menang Hujung Minggu ini?

MotoGP Malaysia: Walaupun Raih Juara, Misi Pecco Belum Selesai....

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Boon Siew Honda (BSH) telah merasmikan pembukaan Honda Bigwing yang pertama di Melaka.

Model Baru

EICMA 2024: Honda Perkenalkan CL500, Jentera Retro Moden

Model baru ini menyasarkan para peminat dua roda muda yang mementingkan gaya retro dengan spesifikasi moden.

Model Baru

EICMA 2024: Moto Morini Perkenalkan Model Ikonik, 3 1/2 Baru

Moto Morini meraikan ulang tahun ke-50 model ikonik yang dikenali sebagai '3 1/2' dengan memperkenalkan di pameran motosikal antarabangsa EICMA.

Model Baru

Kawasaki ZX-6R 2025 Sudah Boleh Ditempah Bermula 1 Disember Ini. Harga asas RM59,900

MODENAS telah melancarkan kempen pra-tempahan untuk model ZX-6R terbaru bermula pada 1 Disember 2024 di semua bilik pameran Kawasaki All-Star.