Toprak Razgatlioglu Juara WSBK Terbaru, Leburkan Dominasi Jonathan Rea
Pusingan Akhir - Selepas mengharungi musim yang cukup mendebarkan, pelumba pasukan PATA Yamaha with Brixx WorldSBK, Toprak Razgatlioglu dari Turki sah bergelar juara dunia untuk saingan WSBK 2021. Kejayaan penuh bersejarah ini dicipta di perlumbaan antarabangsa pertama yang diadakan di Pertamina Mandalika International Street Circuit, Indonesia.
Seperti yang semua peminat WSBK tahu, Jonathan Rea telah mendominasi saingan kelas prima sejak begitu lama sekali. Selama enam tahun jaguh Kawasaki ini meraih kemenangan tanpa menerima cabaran sengit daripada para pelumba lain. Ketika mula-mula Alvaro Bautista berpindah dari MotoGP ke WSBK, dia benar-benar kelihatan mampu untuk menyekat kemaraan Rea. Bautista menang di beberapa pusingan awal tetapi sayangnya prestasi pelumba dari Sepanyol itu tidak konsisten hinggalah ke penghujung musim.
Selepas enam tahun membawa jenama Kawasaki ke puncak, kedudukan Rea mula tergugat apabila Toprak mula meraih posisi yang semakin baik bermula di Estoril pada bulan Mei 2021. Toprak berjaya meraih kemenangan sulungnya pada perlumbaan pusingan keempat di United Kingdom tetapi Rea kembali membuktikan keunggulannya di pusingan kelima dengan memenangi semua perlumbaan manakala Toprak hanya mampu untuk berada di tangga ketiga.
Toprak kembali merebut mata penuh pada perlumbaan Pusingan 6 dan kemudiannya takhta kejuaraan ini turut menjadi rebutan pelumba Ducati, Scott Redding. Pelumba berusia 28 tahun itu membuat kejutan dengan meraih kemenangan.
Pada pusingan akhir (Litar Mandalika), Rea telah mengungguli kelas prima ini sejak di sesi ujian masa lagi. Walaupun diuji dengan cuaca antara yang terburuk dalam kalendar WSBK musim ini, Rea mencatatkan masa terpantas untuk merebut petak pertama. Rea membuktikan kemampuannya untuk mendapat keserasian dengan cepat walaupun di litar yang serba baru untuk semua pelumba.
Perlumbaan 1 memberikan keterujaan buat para penonton dan peminat WSBK di seluruh dunia. Dua jaguh dari Yamaha dan Kawasaki cuba mengatasi satu sama lain. Segala pengalaman dan keberanian digunakan sebaiknya untuk menewaskan lawan. Rea tidak dapat melarikan diri daripada Toprak yang mengekori dari belakang bagai bayang-bayang.
Mereka berdua saling bertukar posisi dan ini menyulitkan Rea untuk menafikan cubaan pelumba Turki di belakangnya untuk bergelar juara. Dalam kekalutan itu, Rea akhirnya berjaya melintasi garisan penamat terlebih dahulu dengan perbezaan hanya 0.670s. Tempat ketiga dimenangi oleh Scott Redding yang ketinggalan 2.155s di belakang.
Rea sekali lagi unggul dalam saingan kedua dan terakhir selepas berjaya menewaskan Redding di tempat kedua dan Michael Van Der Mark ketiga untuk menambah 25 mata lagi. Toprak hanya berada di tempat keempat diikuti Tom Sykes kelima.
Apa pun, kedudukan tersebut cukup untuk Toprak Razgatlioglu mendapatkan 564 mata dan meletakkan dirinya sebagai pelumba termuda ketiga yang bergelar juara dunia di usia 25 tahun, 1 bulan dan 5 hari selepas James Toseland (2004) dan Troy Corser pada tahun 1996. Tahniah buat Toprak.
Kedudukan Keseluruhan WorldSBK
- Toprak Razgatlioglu 564 mata
- Jonathan Rea 551 mata
- Scott Redding 501 mata
- Andrea Locatelli 291 mata
- Michael Ruben Rinaldi 282 mata
WorldSSP
Walaupun terpaksa bertarung dalam hujan yang cukup lebat, ia tidak menghalang Raffaele De Rosa untuk menundukkan juara musim ini, Dominique Aegerter dengan penuh bergaya. Kemahirannya mengendalikan jentera di litar yang basah dan licin membolehkannya membuka jarak di pertengahan saingan. Namun begitu, ketika menuju ke dua lap terakhir, Aegerter berjaya merapatkan posisi dan cuba untuk mengejar.
De Rosa tenang mengawal keadaan untuk meraih kemenangan dan meletakkan dirinya sebagai pelumba ketiga tertua yang berjaya memenangi kelas WorldSSP di usia 34 tahun, 7 bulan dan 26 hari. Dia juga merupakan pelumba Itali pertama yang berjaya menang di saingan ini dengan menunggang jentera Kawasaki.
Perlumbaan 2 pula memberi tuah buat Jules Cluzel selepas berjaya menahan kemaraan Aegerter dan Federico Caricasulo yang sangat bertenaga pada lap terakhir. Terlebih dahulu, saingan awal diungguli oleh Caricasulo dan pelumba Turki, Can Oncu yang memecut bagaikan lipas kudung sebaik sahaja lampu merah dipadamkan. Kumpulan kecil di depan ini kemudiannya disertai oleh Niki Tuuli dari Finland.
Can Oncu melebar dan pada masa yang sama, Cluzel mula mendapat rentak yang lebih baik dan berjaya merapatkan dirinya bersama kelompok utama. Kedudukan itu merupakan satu usaha gigih yang cukup cemerlang memandangkan dia bermula di petak yang ke-13.
Aergerter dan Caricasulo bertarung sengit sehingga hampir terbabas dan telah menyebabkan kedua-dua pelumba itu tersasar. Cluzel mengambil peluang keemasan itu untuk memimpin perlumbaan sehingga tamat. Turut mendapat tuah ialah Tuuli yang juga berjaya memintas dua pelumba yang sudah agak ketinggalan di belakang.
Tuuli berjaya menamatkan saingannya di Indonesia sebagai naib juara manakala Aegerter yang cuba menebus kekecewaannya di saingan awal terpaksa berpuas hati di tempat ketiga. RR
Keputusan Keseluruhan WorldSPP 2021
- Dominique Aegerter 417 mata
- Steven Odendaal 323 mata
- Manuel Gonzalez 286 mata
- Jules Cluzel 279 mata
- Philipp Oettl 182 mata
Popular