Qabil Irfan Juara SIC Ohvale Junior Championship 2021
Saingan SIC Ohvale Junior Championship 2021 menamatkan musim sulungnya dengan catatan kejayaan penuh bererti buat Qabil Irfan yang dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Kelas 110cc. Kejayaan ini juga merupakan pencapaian cemerlang buat ZK Racing dan rakan-rakan penganjur kejuaraan dalam memperkasakan usaha pembangunan bakat dunia sukan permotoran di peringkat akar umbi.
Menghadapi cabaran penularan wabak Covid-19, ZK Racing, bersama-sama dengan Sepang International Circuit (SIC) dan Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) membulatkan tekad dan menguatkan semangat serta usaha untuk meletakkan tiga pelumba negara – Farish Hafiy, Farres Putra dan Emil Idzhar di FIM MiniGP World Finals di Valencia, Sepanyol.
Dengan kejayaan yang diukir pada tahun ini, pihak penganjur membayangkan perancangan yang lebih besar untuk tahun 2022 termasuk penganjuran perlumbaan di luar Litar Go Kart Antarabangsa Sepang, yang menjadi gelanggang tunggal untuk saingan musim ini.
Menutup saingan 110cc musim ini, Qabil, yang memenangi kedua-dua perlumbaan terus cemerlang walaupun di litar basah pada lap 4 untuk Pusingan 5. Pantas di grid permulaan, yang menjadi senjata utama beliau musim ini, pelumba cilik berusia sembilan tahun dari Terengganu ini dicabar oleh Adam Danial pada saingan di litar basah itu, yang akhirnya menyaksikan Adam terjatuh ketika memimpin perlumbaan; sekali gus memberikan laluan mudah untuk Qabil mencatat kemenangan ke 11 daripada 12 perlumbaan musim ini.
Selepas lima pusingan, Qabil mengumpulkan 284 mata untuk muncul juara keseluruhan dalam saingan SIC Ohvale Junior Championship 110cc. Adam menduduki tempat kedua dengan mengutip 219 mata. Tempat ketiga keseluruhan menjadi milik Shah Putra, yang mengumpul 167 mata; dengan tempat keempat keseluruhan diduduki oleh Airel Marzuki dengan 135 mata.
Saingan hari terakhir kelas 160cc menyaksikan penguasaan tiga wakil negara di FIM MiniGP World Series dengan Emil mengenepikan cabaran Farish dan Farres, yang masing-masing terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan ketiga untuk Perlumbaan 3 Pusingan 5, yang berlangsung ketika tengahari di litar kering itu.
Perlumbaan terakhir musim 2021 kelas 160cc lebih mencabar dengan bermula di litar kering sebelum hujan mula turun pada pertengahan saingan, yang dipendekkan kepada 15 lap daripada jarak asal 20 lap.
Perlumbaan bermula dengan Farish memimpin di depan sebelum dipintas oleh Farres, yang terjatuh apabila saingan berlangsung di litar basah. Selepas berjaya berada di depan, Farish mempamerkan tunggangan yang matang dan mantap untuk meraih kemenangan. Tahniah buat Emil yang menduduki tempat kedua. RR
Popular