Zaqhwan Juara MSBK 2021
Pelumba pasukan Boon Siew Honda Racing, Md Zaqhwan Zaidi telah merangkul takhta juara dalam saingan kelas prima 2021 Malaysia Superbike Championship selepas menyapu bersih ketiga-tiga perlumbaan pada saingan Pusingan 2 yang berlangsung di penghujung Oktober lalu.
Dengan menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R baru, Zaqhwan telah mempamerkan tahap tunggangan yang cukup cemerlang seterusnya berjaya mencipta kemenangan hatrik.
Dalam Perlumbaan 1 dan 2, Zaqhwan telah diberikan tentangan oleh pelumba Yamaha Team Asean, Kasma Daniel Kasmayuddin yang juga telah memberi kejutan di sesi latihan dengan rekod baru catatan masa untuk saingan MSBK1000.
Pertembungan di antara Zaqhwan dan Kasma telah mempertontonkan kekuatan hamburan kuasa jentera Honda CBR1000RR-R yang dicabar oleh kelincahan penuh bertenaga Yamaha YZF-R1M. Seperti yang kita semua tahu, sebaik sahaja Kasma dapat menyesuaikan diri dengan jenteranya, para pelumba lain harus bersiap sedia! Namun begitu, untuk menewaskan Zaqhwan bukanlah mudah!
Walaupun sengit, Zaqhwan akhirnya berjaya menewaskan Kasma hanya dengan perbezaan masa 0.449s dalam Perlumbaan 1 dan 0.592 saat pada perlumbaan seterusnya.
Pada Perlumbaan 3, jentera Honda milik Zaqhwan ternyata terlalu pantas untuk diekori. Selepas bergelut dengan talaan dalam pusingan kedua ini, Azlan Shah Kamaruzaman akhirnya menarik nafas lega apabila berjaya menerima kibaran bendera menamat di tempat kedua pada perlumbaan akhir.
Selepas dua kali di tempat ketiga dan sekali di tempat kedua, Azlan berjaya meletakkan dirinya sebagai naib juara MSBK tahun ini. Tempat ketiga keseluruhan dimenangi oleh Kasma Daniel diikuti Md Ramdan Rosli.
“Saya sangat teruja dan gembira dengan keputusan perlumbaan kali ini. Akhirnya dapat juga saya menunggang jentera baru. Kami dapat menguji jentera baru ini untuk jarak yang memuaskan dan terima kasih buat seluruh pasukan yang menyediakan motosikal saya di tahap tertinggi. ” kata Zaqhwan.
Nota: Motosikal baharu itu (CBR1000RR-R) dijadualkan menjadi jentera tunggangan Zaqhwan dalam Kejuaraan FIM Asia Road Racing tetapi acara tersebut terpaksa dibatalkan akibat pandemic Covid19. Ini adalah kali pertama Zaqhwan berpeluang untuk menerima cabaran bersama jentera yang ditunggu-tunggunya.
MSBK 600
Ia adalah minggu yang cukup sempurna buat Ibrahim Norrodin. Dengan kawalan yang sempurna serta semangat jati diri yang tinggi, pelumba SIC Racing itu telah berjaya mendominasi ketiga-tiga saingan dengan penuh bergaya.
Lebih menarik, perlumbaan kali ini turut disertai oleh pelumba CEV Moto2 dan juga abang kepada Ibrahim iaitu Adam yang menunggang Kawasaki ZX6R. Adam berjaya meraih kedudukan tempat kedua dalam Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 3 selepas ditawaskan oleh Mohd Syarifuddin dan Azroy Hakeem pada saingan kedua.
Walaupun memberikan persembahan yang cukup mantap, Ibrahim terpaksa akur takhta juara bukan menjadi miliknya. Koleksi mata yang dimiliki oleh Ibrahim gagal memintas mata milik rakan sepasukannya, Mohd Syarifuddin yang akhirnya dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan MSBK 600 dengan 105 mata manakala Ibrahim di tangga kedua dengan perbezaan 10 mata sahaja.
MSBK 250
Kejayaan Md Izam yang diiktirafkan sebagai juara keseluruhan kelas ini pastinya menambah kegembiraan buat seluruh krew pasukan Boon Siew Honda. Pelumba muda ini ternyata berpotensi besar untuk melangkah sama jauh seperti mana para pelumba lebih senior dalam pasukan Honda.
Izam meraih kemenangan hatrik pada perlumbaan pusingan pembuka tirai untuk membawa pulang 75 mata sempurna. Kecemerlangannya bagaimana pun sedikit tercalar apabila ditewaskan oleh Danial Syahmi, Md Idlan dan Hakim Danish pada pusingan kedua.
Daniah Syahmi mengungguli Perlumbaan 1 dan 2 tetapi tewas di tangan Hakim Danish dalam saingan terakhir. Bagi Izam pula, kekecewaannya dalam saingan awal telah berjaya ditebus untuk meraih tempat kedua dalam Perlumbaan 2 dan 3.
Dengan kutipan 128 mata, Izam gagal digugat oleh Danial yang berpuas hati di tangga kedua dengan 122 mata. Tangga ketiga dimenangi oleh Hakim Danish dengan 89 mata. RR
Popular