'The Beast' Pamer Tunggangan 'Masterclass' di Qatar
Perlumbaan pembuka tirai musim baru 2022 memberi nikmat dan kenangan paling manis buat pelumba pasuka Gresini Racing MotoGP, Enea Bastianini yang berjaya menewaskan para pelumba untuk meraih kemenangan dengan penuh bergaya. Lebih menyentuh hati apabila kemenangannya itu dihadiahkan buat pengasas Gresini Racing, Fausto Gresini yang telah meninggal dunia tahun lalu akibat virus Covid 19.
Saingan bermula menarik! Jorge Martin yang berada di petak pertama gagal menggunakan kelebihan yang ada untuk mempimpin perlumbaan sebaliknya tempatnya dirampas oleh Marc Marquez dan Pol Espargaro yang memiliki rentak lebih pantas. Turut bermula dengan baik ialah Brad Binder manakala Bastianini berjaya meloloskan diri di tempat keempat.
Selepas empat lap berlalu, Pol mendahului dan mula membuka jarak. Para pelumba yang terus memberi cabaran dengan semakin sengit terdiri daripada Marc Marquez, Brad Binder, Mir, Bastianini, Aleix Espargaro dan Martin. Juara bertahan, Fabio Quartararo agak ketinggalan khususnya setiap kali tiba di laluan lurus.
Marc kemudiannya melebar ketika cuba mempertahankan kedudukan yang membolehkan Brad Binder merampas kedudukan. Pada lap berikutnya, Marc dipintas pula oleh Bastianini. Kedua-dua pelumba itu terus mengejar Pol di depan dan setiap lap menunjukkan kedudukan semakin hampir.
'Kisah' pelumba di belakang pun tidak kurang hebatnya. Francesco Bagnaia (Pecco) terbabas ketika cuba memintas Martin yang menyebabkan kedua-duanya terkeluar. Jack Miller turut 'terbabas' tidak lama kemudian. Ini bermakna tiga pelumba Ducati gagal menghabiskan saingan pada perlumbaan pertama ini.
Ketika perlumbaan berbaki 10 lap sahaja lagi, Bastianini atau popular dengan gelaran 'The Beast' mula menunjukkan taringnya. Jentera Ducati sememangnya mempunyai kelebihan di Qatar jika dilihat sebelum-sebelum ini. Bastianini menggunakan tenaga jenteranya di laluan lurus untuk mengatasi lawan.
Pol yang bermati-matian meraih kemenangan akur dengan kepantasan 'The Beast' dan ketika cuba mengejar, Pol melebar (nasib hampir sama seperti Marc). Satu kesilapan kecil dalam saingan MotoGP amat merugikan, inilah yang menimpa Pol yang terpaksa melepaskan kedudukannya kepada Binder. Belum sempat 'bernafas', Pol terpaksa menahan setiap serangan adiknya (Aleix) yang turut mengidamkan tangga podium.
Dengan tunggangan yang cukup sempurna, Bastianini dan GP21 menerima kibaran bendera penamat sebagai juara diikuti Brad Binder dan Pol Espargaro di tempat ketiga. Marc Marquez di tempat kelima, belakang Aleix manakala Fabio di tempat kesembilan. RR