Pencinta MotoGP Lepas Rindu di Sepang.
Selepas dua tahun tidak menonton jentera-jentera MotoGP beraksi di litar, para pencinta motosikal khususnya MotoGP di Malaysia akhirnya dapatkan melepaskan rindu apabila pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah memberi kebenaran masuk menonton secara percuma pada 5 dan 6 Februari lalu.
Kebenaran masuk ke Grand Stand dengan percuma itu adalah bersempena dengan sesi ujian rasmi Sepang MotoGP 'Winter Test'. Namun begitu, para penonton terlebih dahulu melepasi beberapa syarat seperti lengkap dua dos vaksinasi, sentiasa memakai pelitup muka, mengekalkan jarak sosial, tidak membawa makanan dan lain-lain lagi.
Walaupun ia hanya sesi ujian, bunyi deruman enjin dan aksi para pelumba handalan meratah setiap selekoh di litar SIC ternyata mengembalikan memori pertarungan hebat mereka pada musim 2019 yang lalu. Jumlah penonton yang hadir ke litar SIC untuk dua hari (Sabtu dan Ahad) melebihi 11,000 ribu orang dan ini memang suatu yang cukup menggembirakan.
Sesi ujian 'Winter Test' ini tamat dengan jayanya. Pelumba pasukan Gresini Racing MotoGP, Enea Bastianini mengungguli catatan masa dengan kepantasan 1:58.131s pada hari Ahad untuk menewaskan pelumba terpantas Hari Pertama Aleix Espargaro dengan perbezaan masa hanya 0.026s.
Pasukan Suzuki mengesahkan mereka telah berjaya mendapatkan peningkatan enjin yang cukup ketara. Ini amat penting dan 'kunci' utama dalam pembangunan enjin dan talaan untuk memulakan musim ini. Alex Rins paling pantas dalam pasukan ini untuk berada di tempat keempat terpantas manakala Joan Mir di tempat ke-12.
Para pelumba lain seperti Juara 2021, Fabio Quartararo merasakan peningkatan masih terlalu kecil dan mahukan jentera Yamaha YZR-M1 lebih laju. Andrea Dovizioso juga memerlukan lebih banyak masa untuk memahami karaktor jenteranya.
Jaguh pasukan Repsol Honda, Marc Marquez yang kembali bertenaga untuk menyempurnakan 101 lap untuk mendapatkan talaan terbaik. Walaupun dua kali terbabas pada Sesi 1, ia tidak menghalang pelumba Sepanyol itu untuk terus mengejar impiannya musim ini.
Pelumba rookie, Marco Bezzecchi (Mooney VR46 Racing Team) turut mencuri tumpuan dengan tunggangan yang cemerlang. RR
Lima Pelumba Terpantas Hari Kedua:
- Enea Bastianini (Gresini MotoGP Team) - Ducati - 1:58.131
- Aleix Espargaro (Aprilia Racing) - Aprilia - +0.026
- Jorge Martin (Pramac Racing) - Ducati - +0.112
- Alex Rins (Team Suzuki Ecstar) - Suzuki - +0.130
- Maverick Viñales (Aprilia Racing) - Aprilia - +0.130