Hafizh Syahrin Terus Mencabar Bersama KTM!
Pelumba sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah sudah bersedia untuk memberi cabaran pada musim keduanya dalam kelas MotoGP tahun ini bersama pasukan terbaru Red Bull KTM Tech 3. Selepas melakarkan sejarah buat Malaysia sebagai pelumba pertama negara menyertai perlumbaan MotoGP, Hafizh yang kini berusia 24 tahun mendapat perhatian dan kepercayaan pengeluar motosikal berprestij dunia dari Austria, KTM untuk mengerahkan jentera RC16 ke tahap yang lebih membanggakan.
Ketika ditemuramah pada 31 Januari lalu, Hafizh ternyata amat berbangga menjadi pelumba untuk pasukan Red Bull KTM Tech 3 dan sudah bersedia untuk membuktikan kemampuannya. Jika dibandingkan dengan mesin yang ditungganginya musim lalu, jentera RC16 ini memiliki kuasa tork yang lebih bertenaga tetapi dia perlu lebih latihan untuk mengenal pasti karaktor keseluruhan jentera ini terutamanya dari segi pelarasan untuk masuk/keluar selekoh. Dengan pengalaman yang dipelajari musim lalu, Hafizh akan cuba untuk tidak melakukan kesilapan yang sama seterusnya berusaha gigih untuk membawa KTM ke puncak.
Selepas mencuba jentera RC16 di Valencia dan Jerez pada November 2018 lalu, Hafizh yang juga dikenali dengan nama panggilan 'El Pescao' telah berjaya menyempurnakan sesi ujian 'Winter Test' yang berlangsung pada 6-8hb Februari lalu di SIC dengan catatan masa yang boleh dibanggakan.
Dalam kenyataannya di laman sesawang rasmi KTM, Hafizh menyatakan dia dan pasukannya berjaya memperbaiki catatan masa dari masa ke semasa. Pada hari terakhir sesi ujian, dia semakin selesa dan serasi dengan jentera tunggangannya itu. Oleh kerana keadaan fizikalnya yang kurang baik, Hafizh tidak dapat mengekalkan rentak yang diingini di saat-saat akhir. Namun begitu, dia sudah mula positif serta yakin dengan kemantapan jentera RC16 itu dan amat pasti lebih banyak peningkatan dapat dilakukan sebelum permulaan pertama dilangsungkan.
Pasukan KTM hadir ke musim ini dengan penuh bergaya dan berkeyakinan tinggi. Selain El Pescao, KTM dibarisi oleh tiga lagi pelumba ternama seperti Pol Espargaro dan Johann Zarco (Red Bull KTM Factory Racing) manakala Hafizh Syahrin dan Miguel Oliveira dalam pasukan Red Bull KTM Tech 3. RR
Popular