"Mimpi Jadi Kenyataan!" Francesco Bagnaia, Juara Litar Aragon
Perlumbaan pusingan 13 yang berlangsung di Litar Aragon ternyata antara yang paling menarik untuk ditonton untuk musim ini. Seperti yang kita tahu, Francesco Bagnaia (Pecco) dari pasukan Ducati telah mencuba beberapa kali tetapi tidak berjaya. Namun begitu, usaha pelumba muda ini membuahkan hasil apabila akhirnya dinobatkan sebagai juara dalam perlumbaan pusingan ke-13 yang diadakan di Litar Aragon.
Permulaan yang sempurna memberikannya peluang untuk berada di depan. Turut mendapatkan posisi yang baik di peringkat awal ialah Jack Miller, Marc Marquez, Fabio Quartararo dan Aleix Espargaro.
Ketika Bagnaia dan Marc Marquez mula menjarakkan diri, Fabio yang berada di belakang mula ketinggalan dan dilihat sedang bergelut dengan masalah cengkaman tayar. Pelumba dari Perancis itu semakin perlahan dan menyebabkannya dipintas oleh beberapa orang pelumba seperti Joan Mir dan Jorge Martin.
Di depan, pertarungan di antara Marc dan Pecco terus sengit. Kedua-duanya saling mencabar dan cuba buktikan siapa lebih 'berkuasa'. Jarak mereka mula semakin jauh meninggalkan pelumba lain. Miller yang berada di tempat ketiga kemudiannya melakukan kesilapan dan dia dipintas oleh Mir dan Aleix.
Tiga lap sahaja lagi! Marc mula menyerang tetapi segera ditangkis dengan kawalan jentera yang cukup hebat. Sekurang-kurangnya tujuh kali Marc membuat cubaan memintas tetapi digagalkan segera oleh Pecco. Apabila saingan sudah ditahap kemuncak, Marc membuat serangan akhir dari dalam tetapi tindakannya itu tidak berhasil. Dengan kelebihan masa yang sedikit itu, Pecco gunakan untuk membuka pendikit sehabis-habisnya untuk menerima kibaran bendera penamat di tempat pertama.
Marc Marquez cukup gembira di tempat kedua kerana ia adalah bukti bahawa dia sudah semakin sihat, kuat dan serasi. Tempat ketiga dimenangi oleh penyandang juara Joan Mir manakala Aleix Espargaro terus mengharumkan nama Aprilia di tempat keempat.
“Saya sangat gembira dengan kejayaan ini kerana telah bekerja sangat keras untuknya. Saya berterima kasih kepada seluruh pasukan, keluarga dan kekasih saya yang memberikan sokongan padu selama ini. Sukar untuk dinyatakan tetapi ia bukanlah sesuatu yang mudah. Marc adalah pencabar yang hebat. Walaupun belum berada di tahap 100%, dia benar-benar mahukan kemenangan dan telah menjadikannya sangat kompetitif. Saya hanya lakukan yang terbaik dan ia adalah mimpi yang menjadi kenyataan,” komen Francesco Bagnaia.