GP Perancis Milik Toprak Razgatlioglu
Ia adalah minggu yang cukup sempurna buat pelumba Turki, Toprak Razgatlioglu dari pasukan Pata Yamaha with Brixx World SBK yang telah memenangi Perlumbaan 1 dan 2 dalam perlumbaan kelas prima yang berlangsung di Litar Magny-Cours, Perancis pada hari Sabtu dan Ahad lalu.
Walaupun begitu, kemenangan yang dicapainya tidak mudah tetapi dengan mempamerkan tunggangan yang hampir sempurna, Toprak ternyata tidak mampu digugat oleh sesiapa pun.
Persembahan para pelumba di sepanjang 21 lap perlumbaan sememangnya mengagumkan. Semangat dan kesungguhan yang ditontonkan memang mantap. Namun begitu, Toprak memiliki rentak dan konsistensi yang sangat hebat. Jonathan Rea (Kawasaki Racing Team) cuba memberi saingan tetapi masih tidak mampu mengejar rentak serta catatan masa pelumba di depannya.
Dengan kelebihan empat saat di depan, Toprak peroleh kemenangannya cukup bergaya diikuti oleh Rea dan seorang lagi pelumba Yamaha iaitu Andrea Locatelli di tempat ketiga.
Dalam perlumbaan kedua pula, Toprak bermula di petak paling depan dan berjaya mendapatkan rentak untuk memimpin. Kesilapannya di selekoh membolehkan Rea mendekatkan diri dan bermulalah episod kejar mengejar di antara kedua-dua pelumba ini. Kumpulan depan ini kemudiannya cuba dikejar oleh Scott Redding dan Alex Lowes.
Toprak mendapat peluang pada lap ke-11 untuk memintas ketika berada di hairpin (selekoh 5) tetapi segera dibalas semula oleh Rea di selekoh chicane Imola. Walaupun cuba untuk kekal di depan, Rea akhirnya akur dengan kemantapan tunggangan Toprak di beberapa lap selepas itu untuk meraih kemenangan berharga.
Toprak kini semakin yakin di tangga teratas keseluruhan dengan 370 mata diikuti Jonathan Rea kedua (363 mata) dan Scott Redding ketiga dengan 298 mata. RR