Hakim Danish Raih Kemenangan Berkembar Di Itali
Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli mencipta kemenangan berganda di Kejuaraan Ohvale Coppa Italia MiniGP yang diadakan di Litar Pomposa Comacchio, Itali baru-baru ini. Hakim Danish yang beraksi dalam kategori GP-2 Junior sebagai pelumba wildcard juga telah memecahkan rekod terpantas litar tersebut.
Perlumbaan ini turut disertai oleh enam orang pelumba dari Eropah dan telah dijalankan dalam dua sesi iaitu Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2. Pelumba negara yang berusia 14 tahun itu berjaya mendominasi kedua-dua perlumbaan dengan menewaskan Thomas Bonomi dari pasukan CMV dan wakil pasukan Dolomiti Corse, Davide Ferrazi dalam saingan pertama.
Perlumbaan kedua juga berpihak kepada Hakim walaupun diberi tentangan hebat oleh lawannya di peringkat awal. Tempat kedua dan ketiga akhirnya dimenangi oleh Davide Ferrazi dan Lorenzo La Sorsa.
Dengan adanya pengalaman bersaing di peringkat antarabangsa, Hakim Danish telah mempertontonkan kualiti dan keupayaan mengendalikan jentera dengan cukup mantap. RR