Kemelut Yamaha - Maverick Vinales: Akhiri Kontrak Lebih Awal
Yamaha dan Maverick Vinales telah bersetuju untuk mengakhiri kontrak dan perjanjian di antara mereka dengan lebih segera. Pada GP Belanda yang diadakan 28 Jun lalu, pihak Yamaha telah mengumumkan kontrak pelumba dari Sepanyol itu yang sepatutnya berlanjutan sehingga 2022 akan dipendekkan sehingga penghujung musim ini.
Namun begitu, berikutan peristiwa yang berlaku di Litar Austria dan setelah dipertimbangkan oleh kedua-dua pihak, keputusan yang dicapai adalah untuk tidak lagi bekerjasama.
“Ketika mengumumkan tamatnya kerjasama ini, komitmen telah dipersetujui oleh pelumba dan krew pasukan untuk saling menyokong serta bekerjasama sebaiknya sehingga ke penghujung musim agar kami tamatkan projek 2021 dengan bergaya,” komen Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing, Lin Jarvis.
“Dukacitanya di GP Styrian (Austria), perlumbaan tidak berjalan dengan baik dan menyebabkan kami terpaksa mengakhiri kerjasama ini lebih awal. Dengan keputusan itu, pihak pelumba bebas untuk memilih masa depannya dan membolehkan pasukan kami menumpukan perhatian dalam persaingan 2021 ini bersama pelumba gantian,” tambahnya lagi.
“Perlumbaan di Austria tidak seperti yang diharaplan dan ia amat mengecewakan. Saya bersyukur dengan peluang yang diberi dan berterima kasih atas sokongan sepanjang 4 ½ setengah berlumba bersama pasukan ini. Saya sentiasa menghormati Yamaha dan mendoakan yang terbaik,” Maverick Vinales.
Dikatakan masalah dalaman ini bertambah parah apabila Maverick menyatakan terdapat pelbagai masalah elektronik yang diterima menerusi paparan panel meternya yang menyebabkan dia terpaksa kembali ke pitlane.
Pihak Yamaha pula dikatakan terpaksa melakukan keputusan itu berdasarkan analisa data yang menyimpulks tindakan Vinales di atas litar boleh menyebabkan kerosakan enjin. Keadaan tersebut boleh memberi risiko buat Vinales dan orang di sekelilignya.
Apa sebenarnya yang berlaku? Apa yang boleh kita harapkan ialah agar kedua-dua pihak bersikap profesional dan memberikan persembahan terbaik di setiap pusingan selepas ini. Buat Maverick Vinales, semoga berjaya dengan pasukan baru. RR