Adam Norrodin Ganti Jake Dixon di GP British
Pelumba negara, Adam Norrodin akan beraksi bersama PETRONAS Sprinta Racing dalam saingan Moto2 untuk menggantikan Jake Dixon di GP British pada hujung minggu ini. Manakala Jake Dixon pula akan bersaing dalam kelas premier dengan menggantikan tempat Franco Morbidelli.
Adam telah bersama pasukan SIC pada tahun 2016 dalam Moto3 selama tiga musim. Sepanjang tempoh tersebut, pelumba berusia 23 tahun itu telah meraih kedudukan sepuluh teratas sebanyak tujuh kali dan mencatatkan masa terpantas di GP Malaysia pada tahun 2017. Beliau kemudian memulakan debutnya dalam saingan moto2 pada tahun 2019 sebagai pelumba gantian untuk enam perlumbaan yang terakhir bersama PETRONAS Sprinta Racing.
“Sukar untuk dikatakan bagaimana perasaan saya apabila dapat kembali beraksi dalam Kejuaraan Dunia di Silverstone, namun saya sangat gembira dan tidak sabar untuk beraksi semula. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Datuk Razlan Razali dan pasukan kerana memberikan peluang ini. Saya juga ingin berterima kasih kepada keluarga, para peminat serta semua pihak yang telah menyokong saya sehingga ke hari ini. Saya akan berusaha untuk buat yang terbaik pada hujung minggu ini,” kata Adam Norrodin.
Untuk musim 2021, Adam Norrodin telah beraksi di FIM CEV Championship dalam saingan Moto2 di mana beliau sekarang menduduki di tangga kelima setelah meraih podium tiga kali. RR