Affendi Semakin Temui Rentak
Usaha gigih tanpa mengenal jemu akhirnya membuahkan hasil! Itulah yang dinikmati oleh pelumba pasukan Yamaha Petronas CKJ, Mohd Affendi Rosli selepas menempa kejayaan sulungnya dalam kelas prima di litar Muar pada 2 Mei lalu. Kali terakhir Affendi muncul juara ialah pada perlumbaan pusingan kesembilan (Jempol, Negeri Sembilan) tahun lepas. Bermula di tempat kedua tidak memberikan masalah buat Affendi untuk tiba terlebih dahulu di selekoh pertama.
Perlumbaan akhir pada hari itu ternyata lebih istimewa dengan kehadiran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Ternyata, kehadiran Tuanku membakar semangat para pelumba untuk memberikan tunggangan terbaik.
Affendi yang berada di hadapan diekori rapat oleh para pelumba lain seperti Md Azhar Abd Jalil, Elly Idzlianizar dan Zamri. Naib juara pusingan 1 dan 2, Zamri Baba tidak bernasib baik apabila ditimpa masalah di awal perlumbaan seterusnya memberi peluang buat Affendi memecut dengan lebih selesa. Azhar Abd Jalil dari pasukan Motul Yamaha YY Pang yang pada mulanya berada di kedudukan kedua akhirnya terpaksa akur dengan kepantasan para pelumba lain yang ternyata lebih cekap mengatur strategi.
'Bintang' sebenar perlumbaan hari itu ialah Ahmad Fazli Sham dari pasukan Petronas Yamaha Maju Motor. Dia yang bermula di petak terakhir berjaya memintas seorang demi seorang sehingga mampu berada di kedudukan kedua. Affendi yang pada mulanya memacu solo di hadapan terpaksa mempertingkatkan kelajuan apabila mendapati Fazli semakin lama semakin rapat. Walaupun sudah mampu berada betul-betul di belakang Affendi, segalanya sudah terlambat buat Fazli apabila terpaksa menerima bendera penamat di tempat kedua hanya dengan perbezaan masa 0.213 saat.
Tempat ketiga dimenangi oleh Abd Muhaimin selepas berjaya menahan segala cubaan daripada Fazrul Sham dan Fitri Ashraff yang masing-masing menamatkan cabaran di tempat keempat dan kelima.
"Setelah dua pusingan berlalu, kami nampaknya mula menemui rentak sebagaimana yang ditunjukkan pada musim lepas. Meskipun aksi saya pada hari pertama tidak begitu baik, namun saya masih mampu beraksi dengan konsisten dan mencatat masa sepusingan yang agak pantas. Mudah-mudahan jurutera pasukan akan terus bekerja keras bagi mendapatkan jentera yang kompetitif seperti hari ini,” jelas Affendi.
Prestasi cemerlang Fazli di litar Muar ini telah melonjakkan dirinya di tangga teratas carta mata keseluruhan dengan 48 mata, diikuti Elly Idzlianizar (42 mata) dan Abd Muhaimin di tempat ketiga.
CP115
Tuah berlumba di 'kampung halaman'! Tahniah buat pelumba dari Skudai, Kasma Daniel yang kini menunjukkan tunggangan yang semakin kemas dan ini semestinya memberi tekanan terutamanya kepada pasukan Motul Yamaha YY Pang yang dibarisi oleh para pelumba hebat seperti Tengku Amirul, Izzat Zaidi atau Syafiq Rosli (M Seki Liberty Honda) dan Ahmad Syukran dari pasukan Petronas Yamaha CKJ yang muncul naib juara di Batu Kawan.
Selepas menjadi pelumba terpantas di sessi shoot out, Kasma dijangkakan bakal menerima tentangan hebat daripada Izzat, Tengku dan Syukran. Benar! Izzat bermula dengan baik untuk berada di hadapan sekali dan berharap rakan sepasukannya, Tengku dapat mengikut rentak untuk berada di kedudukan kedua. Rancangan itu gagal kerana mereka dipisahkan oleh Kasma yang meratah setiap selekoh litar Dataran Tanjung Emas ini dengan begitu sempurna sekali.
Belum sampai pun separuh perlumbaan, dua pelumba garang iaitu Tengku dan Syukran terpaksa bersara awal. Ada yang mengalami masalah enjin dan ada pula yang terlanggar guni di tengah jalan...macam-macam! Ketiadaan mereka memberikan keyakinan yang semakin tinggi buat Kasma untuk melintasi garisan penamat di tempat pertama dengan catatan masa 53.770 saat diikuti Izzat di tempat kedua dan Fareez Afeez di tempat ketiga.
"Saya berterima kasih kepada seluruh pasukan kerana menyediakan jentera yang sangat sempurna pada minggu ini. Saya berjaya mencatat masa terpantas dalam kesemua sesi latihan sehingga ke perlumbaan akhir. Beraksi di halaman sendiri juga membakar semangat untuk mencipta kejayaan,” komen Kasma.
WIRA
Mohd Harith Farhan dari pasukan Kozi Yam Honda kini terus melangkah lebih jauh dalam carta mata keseluruhan di tangga pertama selepas meraih kemenangan kedua berturut-turut. Dalam saingan akhir, Harith ternyata bagaikan berada di kelasnya tersendiri. Dia bukan sahaja tidak mampu dipintas tetapi dengan mudah meninggalkan para pencabarnya yang lain jauh di belakang.
Qhuwarismi yang pada mulanya cuba merapatkan diri terpaksa pula menerima tentangan hebat daripada Mohd Ifran mengakibatkan dia tercicir lebih daripada dua saat di belakang pendahulu. Walaupun berada di tempat kedua, ia sudah cukup untuk meletakkan Qhuwarismi ke tangga keempat keseluruhan dengan kutipan 33 mata manakala Harith terus mara dengan 70 mata.
Saingan kelas Wira memang cukup sengit, para pelumba muda ini ternyata bukan sahaja mempunyai daya keazaman yang tinggi tetapi juga mula menunjukkan prestasi tunggangan yang semakin berkualiti.
Yamaha Petronas Super Series
Hebat! Tahniah buat Md Haziq Fairues yang berjaya membuat hatrik di Muar ini. Pelumba muda ini mencipta catatan masa terpantas di sessi kelayakan untuk menempah petak pertama. Kawalan pendikit yang tepat membolehkannya berada di hadapan 18 pelumba lain sebaik sahaja perlumbaan akhir dimulakan. Di awal perlumbaan dia terlebih dahulu menerima tekanan hebat daripada beberapa pelumba seperti Shahfiq Nizwan dan Shahfiq Shahrun tetapi kelincahannya memasuki setiap selekoh telah berjaya menjarakkan dirinya dengan cepat.
Haziq akhirnya menamatkan cabaran 10 lap di tempat pertama dengan catatan masa 10:45.123 saat meninggalkan Shahfiq Nizwan di tempat kedua dan Shahfiq Shahrun di tempat ketiga.
Untuk menjadikan perlumbaan ini lebih kompetitif, pihak Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) telah menganjurkan sebuah pertandingan khas di dalam perlumbaan ini. Tiga pelumba telah dipilih untuk dijadikan satu pasukan dengan kaedah pemilihan istimewa yang dicipta sendiri oleh HLYM. Terdapat enam kumpulan yang bersaing untuk mendapat mata penting untuk memenangi hadiah-hadiah menarik yang disediakan.
Semua pelumba perlu saling bantu membantu untuk menjadikan kumpulan mereka sebagai juara dan pastinya mampu menaikkan semangat ketika bersaing di litar. Apabila saingan semakin sengit, pastinya perlumbaan ini menjadi lebih dramatik dan seronok ditonton.
Cabaran Honda Future
'Kecil-kecil Cili Padi!' Mohd Firdaus Hamdan mungkin pelumba paling comel dalam perlumbaan ini tetapi ternyata hati dan semangatnya paling besar selepas berjaya memenangi perlumbaan ini buat kali pertama. Bermula di petak pertama bukanlah suatu perkara yang seringkali menjanjikan kemenangan mudah. Md Aznil dan Md Idham terlebih dahulu memimpin perlumbaan. Idham membuat kesilapan di awal-awal saingan menyebabkan dia dipintas bukan satu tetapi dua orang sekaligus.
Walaupun berada di depan, Aznil tidak senang duduk kerana diekori rapat oleh Firdaus yang menunggang dengan kemas sekali. Apa yang Aznil risaukan akhirnya menjadi kenyataan apabila Firdaus berjaya memintas beberapa lap sebelum tamat untuk muncul juara. Walaupun begitu, Aznil masih mampu senyum lebar di atas podium kerana dia kini sudah berada di tangga tertinggi sekali dengan 65 mata diekori Ahmad Idham, di tempat kedua dengan perbezaan empat mata sahaja. RR
Popular