Steve Martin Mula Dengan Langkah Kanan!
Pusingan pertama Pirelli Malaysia Superbike Championship telah berlangsung dengan jayanya di Litar Antarabangsa Sepang SIC pada awal Mei lalu. Dalam persaingan musim ini terdapat beberapa kategori dijalankan seperti Kejuaraan Superbike, Superstock, Supersport, Open 250 dan yang terbaru ialah siri Ducati 899 Cup. Sememangnya kejuaraan ini berjaya mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan dan pastinya menyemarakkan lagi industri sukan permotoran negara.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, perlumbaan kali ini bukan sahaja disertai oleh para pelumba tempatan sahaja tetapi juga berjaya ‘menjemput’ para penunggang berbakat dari Great Britain, India dan Singapura. Persaingan kali ini juga turut disertai oleh pelumba-pelumba berpengalaman negara seperti Muhd Zamri Baba, Hazlanshah Mohd Noor, Muhd Al Amirul Asshahid (Gaban), Ahmad Nashrul Baharuddin, Ahmad Afif Amran, Taufiq Roslan, Fitri Ashraf dan ramai lagi.
Dalam kategori Superstock 1000, pelumba dari Britain, Steve Martin telah berjaya memulakan kempennya musim ini dengan cemerlang sekali. Dengan memacu jentera Kawasaki ZX10R, Steve mengungguli perlumbaan 1 dan 2 dengan tunggangan yang cukup kemas dan meyakinkan. Antara pelumba yang pada mula mampu memberi tentangan ialah Nashrul Baharuddin dan Nasarudin Mat Yusop yang masing-masing menunggang Honda CBR1000RR dan BMW S1000RR.
Amat mengujakan apabila juara motocross kebangsaan tiga kali, Gaban turut menyertai perlumbaan kali ini dengan menggunakan mesin Honda CBR1000RR. Tahniah diberikan kepada Gaban, walaupun berlatarbelakangkan sukan motocross, kemantapannya mengendalikan jentera ini sehingga berada antara enam pelumba terbaik.
Walaupun Steve Martin menang dengan cukup bergaya dalam saingan Superstock 1000, pelumba ini ternyata tidak mampu menyaingi kepantasan pelumba negara Muhd Zamri Baba yang menunggang jentera Honda CBR1000RR. Zamri Baba muncul sebagai juara perlumbaan 1 kategori Superbike sungguhpun mengalami kecederaan bahu. Zamri berjaya mencatatkan masa 30:30.795 saat meninggalkan Martin tiga saat di belakang.
Menunggang dalam kesakitan sememangnya cukup sukar menyebabkan Zamri akhirnya terpaksa melepaskan kedudukan di hadapan kepada pelumba dari India, Rajini Krishnan yang menjuarai perlumbaan 2. Ketika cuba untuk memberi cabaran, jentera Martin pula dilanda masalah memaksa dia bersara seawal lap keenam memberikan peluang kepada Sharulnizam Ramli untuk mendapatkan podium pertamanya.
Dalam kategori Supersport, tangga-tangga podium diisi oleh para pelumba yang cukup sinonim dengan perlumbaan motosikal tempatan. Juara bertahan, Muhd Farid bersama jentera Kawasaki ZX6R memulakan musim barunya begitu cemerlang sekali dengan memenangi kedua-dua perlumbaan walaupun menerima tentangan hebat daripada seorang lagi penunggang Kawasaki, Hazlanshah di tempat kedua. Pelumba dari pasukan Petronas Yamaha, Ahmad Afif akhirnya kembali mendapat rentak untuk mengakhiri saingan perlumbaan 2 di tempat ketiga.
Kategori Open 250 Cup dimenangi oleh satu-satu pelumba wanita iaitu Siti Norafizah Muhamad yang mencapai kemenangan dalam kedua-dua perlumbaan. Kepantasan dan kelincahannya meratah setiap selekoh gagal ditandingi oleh para pelumba lain lantas memberikan Norafizah 50 mata sempurna.
Ducati 899 Cup yang baru diperkenalkan ini dianjurkan untuk menggalakkan para pemilik Ducati 899 khususnya untuk merasai pengalaman bersaing di dalam persekitaran yang selamat dan mengujakan. Perlumbaan yang dipromosikan oleh Kelab Ducati Malaysia ini bakal diadakan sebanyak empat pusingan bermula Mei lalu.
Dalam perlumbaan pembuka tirai, Shamsul Bakhtiar Esa telah menunjukkan prestasi membanggakan dengan memenangi kedua-dua perlumbaan. Walaupun kebanyakan para pelumba bersaing buat pertama kalinya, kesungguhan dan semangat tinggi yang ditunjukkan ternyata layak mendapat pujian. Tahniah juga buat Mohd Akimullah dan Muhd Hidayat yang menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga. RR
Popular