Joan Mir Pamer Keunggulan, Cipta Sejarah Buat Suzuki
Perlumbaan MotoGP yang dijalankan di Litar Valencia pada 8 November 2020 lalu telah menemukan kita dengan bakal juara musim ini iaitu Joan Mir dari pasukan Suzuki Ecstar yang mendominasi perlumbaan dengan penuh bergaya. Mir juga merupakan pemenang berbeza kesembilan dalam satu musim dan kini menjarakkan diri untuk takhta juara keseluruhan dengan 37 mata. Itulah 'corak' yang mewarnai persaingan kelas prima musim ini, sejarah baru tercipta hampir di setiap pusingan.
Turut mempamerkan tunggangan penuh bertenaga ialah Alex Rins (Team Suzuki Ecstar) yang melintasi garisan penamat di tempat kedua sekaligus mengembalikan kegemilangan pasukan Suzuki dengan kemenangan 1-2 pertama sejak tahun 1982. Turut berpuas hati dengan rentak saingan kali ini ialah pelumba Sepanyol, Pol Espargaro.
Perlumbaan pada awalnya dikuasai oleh Rin dan P.Espargaro yang bermula dengan cukup baik. Ketika kedua-dua pelumba ini berebut tempat, pelumba pasukan LCR Honda, Takaaki Nakagami mencuri tumpuan untuk berada di posisi ketiga diikuti rapat oleh Mir. Di belakang, Fabio Quartararo terbabas keluar litar bersama-sama Aleix Espargaro. Tiada sentuhan di antara mereka berdua cuma nasib kurang baik. Quartararo bangkit untuk meneruskan saingan demi kedudukannya dalam perebutan juara keseluruhan.
Rins tidak menunggu lama untuk memintas Pol Espargaro dan Mir juga melakukan perkara yang sama terhadap Nakagami. Kedua-dua pelumba pasukan Suzuki itu kemudiannya bersaingan sesama sendiri meninggalkan para pelumba lain. Ketika saingan berbaki 11 lap sahaja lagi, Rins membuat kesilapan yang memberi peluang buat Mir memintas. Rins cuba memberi saingan tetapi tunggangan sempurna yang ditunjukkan oleh rakan sepasukannya itu gagal untuk dicabar.
Mir mula membuka jarak dan akhirnya menerima kibaran bendera penamat di tempat pertama dengan catatan masa 41:37.297 diikuti Alex Rins dan Pol Espargaro. Nakagami berjaya melupakan kekecewaannya tempohari dengan kejayaan di tempat keempat. Saingan sengit untuk merebut tempat kelima dimenangi oleh Miguel Oliveira dengan menewaskan pelumba Ducati, Jack Miller.
Khemah pasukan Yamaha agak muram apabila keempat-empat pelumbanya kurang menyerlah pada persaingan kali ini. Rossi yang kembali berlumba selepas disahkan sihat, gagal menyempurnakan tugasnya akibat masalah teknikal. Franco Morbidelli hanya mampu berada di tempat ke-11 manakala Maverick Vinales dan Fabio Quartararo masing-masing di posisi ke-13 dan ke-14.
“Ia adalah saat yang cukup mengagumkan.... segalanya sempurna. Tidak ada kata-kata yang boleh menggambarkan pe-rasaan saya ketika ini. Semasa di Austria sebelum ini, saya benar-benar ingin jadi juara tetapi ianya tidak berlaku. Ini adalah saatnya! Saya cukup gembira walaupun perlumbaan belum bermula. Ini kerana pasukan kami telah bertungkus lumus untuk mendapatkan prestasi jentera yang baik dan telah pun mendapatkan catatan masa cukup baik di sesi kelayakan. Kemenangan saya dan Rins (1-2) memang sesuatu yang istimewa buat pasukan Suzuki,” komen Joan Mir.
Kedudukan Keseluruhan MotoGP 2020
- Joan Mir - Team Suzuki Ecstar - 162 mata
- Fabio Quartararo - Petronas Yamaha SRT - 125 mata
- Alex Rins - Team Suzuki Ecstar - 125 mata
- Maverick Viñales - Monster Energy Yamaha MotoGP - 121 mata
- Franco Morbidelli - Petronas Yamaha SRT – 117 mata
Moto2
Selepas dua pusingan gagal menamatkan perlumbaan, Marco Bezzecchi dari pasukan Sky Racing Team VR46 bangkit semula untuk meraih kemenangan yang cukup bermakna. Saingan akhir kelas ini berlangsung dengan penuh drama. Tumpuan sekarang ini adalah untuk melihat pertarungan di Enea Biastianini (pendahulu carta juara keseluruhan) dengan Sam Lowes yang akhirnya berputih mata selepas terbabas di selekoh 6. Insiden itu memberi impak besar dalam carta keseluruhan yang kini dipimpin oleh Enea Biastianini.
Pelumba pasukan Petronas Sprinta Racing, Xavi Vierge bermula di posisi pole tetapi segera diberi tekanan oleh Joe Roberts (Tennor American Racing). Perebutan ini 'tamat' apabila Roberts terbabas dan gagal untuk kembali bersaing. Bezecchi berjaya memintas Vierge, Jorge Martin dan Remy Gardner untuk memimpin perlumbaan. Tidak lama kemudian, Sam Lowes sertai 'kumpulan' ini dan tanpa membuang masa, terus menerkam Bezzecchi di depan.
Tinggal 10 lap sebelum tamat, Lowes terbabas dan memberi peluang buat Bezzecchi di hadapan menghabiskan sisa perlumbaan dengan tenang. Martin kekalkan momentum di tempat kedua diikuti pelumba Australia, Remy Gardner di tempat ketiga. Hafizh yang terbabas di awal saingan tidak mampu untuk meneruskan cabaran manakala Kasma Daniel menamatkan saingan di tempat ke-21.
Moto3
Tunggangan sempurna yang ditunjukkan oleh Raul Fernandez telah memberikan kemenangan pertamanya untuk musim ini. Ketenangannya mengawal keadaan dari awal hingga tamat persaingan mendapat pujian ramai.
Perebutan untuk gelaran naib juara di antara Sergio Garcia dan Ai Ogura juga tidak kurang sengitnya. Terdapat insiden yang melibatkan beberapa orang pelumba seperti John McPhee, Alonso Lopez, Raul Fernandez dan pendahulu kejuaraan Albert Arenas yang akhirnya tidak dapat meneruskan cabaran.
Raul Fernandez menang buat pertama kali dalam kelas Moto3 diikuti oleh Sergio Garcia di tempat kedua dengan perbezaan masa hanya 0.703s manakala tempat ketiga dimenangi oleh Ai Ogura. Arenas kehilangan mata berharga manakala kedudukannya kini sudah 'diancam' oleh Ogura yang hanya ketinggalan tiga mata di belakang.
Perlumbaan kini tinggal dua pusingan sahaja lagi iaitu di Litar Valencia pada 15 November 2020 diikuti pusingan akhir pada 22 November 2020. RR
Popular