MotoGP 2016 : Musim Penuh Drama Menutup Tirai
Tahun 2016 sememangnya memberikan kita 1001 macam kisah suka duka dalam perlumbaan tersohor ini. Kita mulakan dengan pemilihan Michelin sebagai tayar rasmi kelas MotoGP. Walaupun tanggungjawab ini amat berat, pengalaman luas syarikat tayar dari Perancis ini membolehkan mereka mengeluarkan produk demi produk saban hari. Jurutera dan pereka Michelin tidak pernah 'berehat' daripada mengkaji, menguji dan memperkenalkan produk-produk terbaik.
Dengan pengenalan tayar baru ini, ternyata keupayaan para penunggang dilihat sama rata dan sama hebat. Gaya tunggangan terpaksa diubah untuk disesuaikan dengan tayar-tayar baru dan ini sememangnya menyukarkan para pelumba tetapi memberikan keterujaan buat para peminat untuk meneka siapa bakal menjadi juara.
Belum pernah dalam sejarah MotoGP kita melihat seramai sembilan orang pemenang berbeza dalam satu musim. Musim ini kita menyaksikan Jorge Lorenzo, Marc Marquez, Valentino Rossi, Jack Miller, Carl Crutchlow, Dani Pedrosa, Maverick Vinales, Andrea Iannone dan Andrea Dovizioso mampu melintasi garisan penamat sebagai juara pusingan.
Walaupun juara (Marc Marquez) keseluruhan MotoGP 2016 telah pun dinobatkan di Motegi, pemenang tempat kedua hanya dapat diketahui pada perlumbaan pusingan ke17 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada akhir Oktober lalu. Rossi sekali lagi menamatkan cabarannya pada musim ini di tempat kedua keseluruhan selepas muncul sebagai naib juara di Sepang. Malaysia juga menyaksikan pemenang kesembilan musim ini yang dimiliki oleh Andrea Dovizioso dari pasukan Ducati.
Perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang juga telah melakarkan rekod terbaik dalam sejarah penganjuran negara dengan kehadiran penonton sebanyak 161,553 orang sepanjang tiga hari perlumbaan. Tahniah juga diucapkan buat SIC di atas penyambungan kontrak penganjuran MotoGP selama lima tahun sehingga 2021.
Dari Malaysia, para pelumba terbang ke Valencia untuk menyambung cabaran terakhir pada musim ini. Semestinya ia perlumbaan yang amat penting buat beberapa pesaing seperti Lorenzo, Iannone, Vinales, pasangan adik beradik Espargaro, Smith dan Baz kerana kesemuanya akan berpindah ke pasukan baru pada musim hadapan. Semestinya mereka ingin menghadiahkan keputusan terbaik pada perlumbaan ini.
Pemergian Lorenzo paling dirasai selepas sembilan tahun bersama Yamaha dengan kejayaan merangkul kejuaraan dunia sebanyak tiga kali iaitu pada 2010, 2012 dan 2015.
Semangat juang pelumba berusia 29 tahun ini dibuktikan dengan kemampuannya meraih petak paling hadapan dan berjaya melakukan holeshot untuk memecut ke hadapan sepantas kilat. Lorenzo meratah setiap selekoh Litar Valencia tanpa memikirkan apa yang berlaku di belakangnya untuk memberi kemenangan terakhirnya bersama Yamaha.
“Minggu ini cukup mengagumkan. Saya mendapat petak pertama, lap terpantas dan kemenangan. Saya berada dalam saingan MotoGP bersama Yamaha ketika berumur 20 tahun dan mendapat petak pertama dalam perlumbaan pertama saya. Kini selepas hampir 10 tahun, saya meninggalkan Yamaha juga dengan kejayaan mendapatkan petak pertama. Inilah hadiah paling hebat buat Yamaha atas segala sokongan dan kerja keras selama ini,” komen Jorge Lorenzo yang akan berpindah ke pasukan Ducati pada musim hadapan.
Perebutan tempat kedua di Valencia antara Marquez, Iannone, Rossi dan Vinales lebih sengit. Rossi ternyata mengerahkan seluruh tenaganya untuk membawa M1 ke hadapan tetapi dengan mudah dia dipintas oleh Iannone dan GP16 setibanya di laluan lurus. Keadaan ini berlaku hampir di setiap lap. Rossi membuat pintasan di dalam selekoh... Iannone meratah Rossi di laluan lurus.
Pergelutan dua pelumba Itali itu ternyata memberikan peluang untuk Marquez mengatasi kedua-duanya untuk menang di tempat kedua. Iannone menggembirakan pasukan Ducati dalam penampilan terakhirnya dengan kemenangan tempat ketiga diikuti Rossi dan Vinales.
PELUMBA NEGARA
Syabas diucapkan buat para pelumba negara seperti Hafizh Syahrin (Moto2), Khairul Idham Pawi-KIP (Moto3) dan Adam Norrodin (Moto3) yang memberi persembahan amat membanggakan pada tahun ini. Hafizh ternyata merupakan pelumba paling konsisten dan meraih kedudukan kesembilan dunia dengan pungutan sebanyak 118 mata.
Walaupun ia adalah penampilan sulungnya dalam Moto3, KIP berjaya membuat kejutan dengan dua kemenangan dan mengakhiri musim ini di tangga ke-19 keseluruhan manakala Adam di kedudukan ke-28.
Tidak lupa juga kepada dua pelumba wildcard negara iaitu Ramdan Rosli (Moto2) dan Hafiq Azmi (Moto3) yang memberi tunggangan bergaya dan cemerlang di hadapan ribuan penonton yang membanjiri SIC pada perlumbaan pusingan ke-17 tempohari. Ramdan berjaya melintasi garisan penamat di tempat ke-12 dan Hafiq pula di tempat ke-11. Tahniah!!
Prestasi hebat yang dipertontonkan oleh KIP telah mendapat perhatian dan kepercayaan pihak Honda untuk membawa pelumba muda ini ke persaingan lebih tinggi. Untuk musim 2017, Khairul Idham Pawi akan bergandingan dengan Takaaki Nakagami dalam pasukan Idemitsu Honda Team untuk persaingan Moto2.
Adam Norrodin akan terus menggalas cabaran negara dalam Moto3 dan bakal bergandingan dengan pelumba Jepun, Ayumu Sasaki dalam pasukan SIC Racing Team. RR
SENARAI PELUMBA MOTOGP 2017
1. Movistar Yamaha MotoGP:
Valentino Rossi & Maverick Vinales
2. Repsol Honda Team:
Marc Marquez & Dani Pedrosa
3. Ducati Team:
Jorge Lorenzo & Andrea Dovizioso
4. Team Suzuki Ecstar:
Andrea Iannone & Alex Rins
5. Monster Yamaha Tech 3:
Johann Zarco & Jonas Folger
6. LCR Honda: Carl Crutchlow
7. Ducati Pull&Bear Aspar Team:
Karel Abraham & Alvaro Bautista
8. Ducati Avintia Racing:
Hector Barbera & Loris Baz
9. Aprilia Racing Team Gresini:
Aleix Espargaro & Sam Lowes
10. Red Bull KTM Factory Racing:
Bradley Smith & Pol Espargaro
11. Marc VDS Racing Team: Jack Miller
12. Ducati Octo Pramac Yakhnich:
Danilo Petrucci & Scott Redding
13. Honda EG 0, 0 Marc VDS: Tito Rabat
Popular