Helmi Mula Tunjuk Taring
Selepas pusingan kedua di Tangkak pada 23 Ogos 2020, para pelumba kembali ke Litar Antarabangsa Sepang pada awal September lalu. Jujur dikatakan, ramai yang merindui kemeriahan 'pesta' yang terdapat di ruang promosi seperti sebelum ini. Sejak puluhan tahun lalu, perlumbaan motosikal adalah 'ruang' terbaik buat para pengeluar produk berkaitan motosikal untuk mengenengahkan ciptaan masing-masing kepada para penonton yang hadir.
Sayangnya, penularan COVID-19 menyebabkan lumpuhnya pelbagai acara termasuk sukan permotoran. Apa yang boleh diharapkan ialah agar kes positif dapat dikurangkan sehingga segalanya boleh kembali seperti sediakala. Buat masa ini, kita ikut segala SOP yang ditetapkan dan terima kasih buat para pelumba yang terus memberikan komitmen yang tinggi dalam mengharungi musim 2020 yang mencabar.
Kembali kepada CP150 akhir! Ia adalah satu pertarungan yang cukup sengit. Di peringkat awal, amat sukar untuk ditentukan siapa yang bakal juara kerana kekuatan jentera dan kemantapan tunggangan yang dipertontonkan hampir sama. Selepas mengharungi satu pertarungan yang cukup sengit, Mohd Helmi Azman yang menunggang jentera Honda berjaya menewaskan para pencabar dengan catatan masa 14’15.941s dan ini adalah kemenangan kedua buat Helmi di Sepang selepas melakukannya pada pusingan pertama bulan lalu.
Saingan akhir CP150 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang disertai oleh para pelumba berpengalaman seperti Ahmad Afif, Azroy Hakeem, Affendi Rosli, Md Ramdan, Tengku Amirul dan ramai lagi. Ruang litar yang luas membolehkan para pelumba mencari ruang terbaik untuk membuat serangan dan ini menyebabkan kedudukan di hadapan seringkali bertukar. Walaupun sudah agak lama tidak beraksi, semangat dan kecekapan yang dipamerkan oleh Affendi Rosli wajar dijadikan contoh oleh para pelumba muda.
Menjelang dua lap terakhir, para pelumba mula mencari ruang terbaik untuk menyerang. Ketangkasan para pelumba kelas prima ini meratah setiap selekoh memang hebat sekali. Helmi akhirnya berjaya memintas Azroy pada detik-detik terakhir, menamatkan perlumbaan penuh dramatik itu dengan cukup bergaya. Walaupun terpaksa akur di tempat kedua, Azroy masih di tangga teratas keseluruhan CP150 dengan 56 mata diikuti Helmi 50 mata dan Md Akid Aziz dengan 41 mata.
CP125
Sementara itu seperti dijangka, perlumbaan akhir kelas CP125 terus dikuasai pasukan ONEXOX TKKR SAG Team. Pelumba mereka, Md Hafiza Rofa tampil dalam kelas tersendiri untuk muncul juara dengan merekodkan masa 11:05.311s.
Seorang lagi rakannya, Md Shafiq Rasol yang muncul juara di Tangkak minggu lalu, menamatkan perlumbaan hari ini di kedudukan ketiga dengan masa 11:06.384s. Tempat kedua menjadi milik Md Syafiq Rosli (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) yang merekodkan masa 11:06.609s. Shafiq Rasol terus mengukuhkan kedudukannya selaku pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 61 mata diikuti Syafiq Rosli (51 mata) dan Hafiza yang kini sudah mengumpul 41 mata.
WIRA
Tahniah diucapkan buat pelumba Yamaha dari Johor iaitu Md Aeiman Hafidz Shahril yang mengungguli saingan akhir sepanjang tujuh lap itu dengan catatan masa 9:54.353s. Turut mempamerkan tunggangan yang mantap ialah Rahimi Nabil Razu untuk merebut tempat kedua, ketinggalan hanya 0.022 saat. Tempat ketiga dan keempat kelas Wira diraih oleh Md Aqil Danial dan Md Izzat Md Raduan.
Rahimi yang menjuarai perlumbaan Pusingan 1 di Sepang bulan lalu, kini berada di kedudukan teratas dalam carta keseluruhan dengan mengumpul 53 mata diikuti oleh Aeiman dengan 38 mata dan Md Norhakim Norhafizullah dengan 35 mata.
CABARAN HONDA DASH 125
Ia adalah kemenangan cukup bermakna buat pelumba dari Melaka, Adib Hareez walaupun bermula di petak kelima. Permulaan yang baik memberinya peluang untuk bersama-sama kelompok hadapan. Walaupun cukup sukar untuk kekal di posisi paling hadapan ekoran tekanan yang diberikan oleh Md Danish, Adib akhirnya berjaya melintasi garisan penamat sebagai pemenang dengan kelebihan 0.302s.
Tempat ketiga dimenangi oleh Md Farid yang ketinggalan 3 saat di belakang diikuti oleh Md Imran dan Alid Imran masing-masing di tempat keempat dan kelima.
CABARAN YAMAHA PETRONAS SUPER SERIES
Ia satu persaingan akhir antara yang paling sengit pernah dilihat dalam kelas ini. Adalah satu kebanggaan apabila melihat para pelumba muda seperti Danish Aiman, Danial Johan, Md Afiq dan Md Faiz dan para pelumba lain memiliki keazaman untuk meraih tempat di podium.
Dengan perbezaan jarak sekitar 0.252 saat di antara empat pelumba paling depan, Danish berjaya membawa pulang 25 mata penting lagi untuk terus kukuh di tangga teratas dengan 60 mata. Danial gembira dapat kembali ke podium selepas kurang menyerlah dalam pusingan sebelum ini dan tahniah buat Afiq atas kejayaan podium pertamanya musim ini.
CABARAN YAMAHA NVX
Perlumbaan ini paling menarik perhatian kerana kesemua jentera memiliki warna dan corak grafik yang cukup ceria. Apa pun, perlumbaan akhir telah dimenangi oleh Md Aiman dari Kuala Lumpur dengan catatan masa 8:15.142s. Tempat kedua kali ini menjadi milik Arief Darius diikuti oleh pelumba dari Sabah, Mikail Abd Sadeh.
Selepas tamat persaingan di Litar SIC, Terengganu akan menjadi hos untuk Pusingan 4 yang dijadualkan berlangsung pada 19 September dan kembali ke Litar Tangkak pada 11 Oktober 2020. RR
Popular