Castrol POWER1 Racing Team: Pencabar Terkini Kelas Wira!
Castrol merupakan nama yang cukup penting dalam perlumbaan motosikal di dalam dan luar negara. Jenama global ini sering menjadi 'pemain' penting dalam usaha untuk meningkatkan mutu produk-produk keluaran mereka dan pada masa yang sama melahirkan pelumba bertaraf dunia. Sejak pertengahan era 90an lagi, Castrol membantu para pencinta sukan permotoran tanah air khususnya dalam saingan cub prix menerusi penajaan kejuaraan dan pasukan demi perkembangan bakat ke tahap yang lebih tinggi.
Selamat kembali! Itulah ucapan terbaik buat Castrol Malaysia selepas membuat keputusan untuk kembali ke arena perlumbaan motosikal untuk musim 2020 menerusi pasukan serba baru iaitu Castrol POWER1 Racing Team. Pasukan yang memberi cabaran dalam kelas Wira ini dikelolakan oleh lagenda cub prix negara, Tuan Haji Wazi Abd Hamid (Team Principal) dan disokong oleh Yuzi Racing dari segi teknikal.
“Kami (saya dan Shahrol Yuzy) membuat penilaian terhadap beberapa orang calon pelumba berdasarkan prestasi dan pencapaian mereka pada musim 2018 dan 2019. Dengan penajaan dan kerjasama daripada Castrol, pasukan baru ini diwakili oleh dua orang pelumba berbakat besar iaitu Md Haziq Harith dan Allan Harris. Menerusi pemantauan kami, para pelumba muda itu telah menunjukkan keputusan yang konsisten dan ini hanya hadir dengan adanya disiplin yang tinggi,” ujar Wazi.
“Selepas mendapat persetujuan, kami perlu cepat membentuk pasukan dengan sempurna dan menyusun latihan-latihan yang perlu diikuti oleh setiap pelumba. Sayangnya penularan COVID-19 dan perlaksanaan PKP telah merencatkan setiap perancangan. Ini memang cukup mencabar,” tambah Wazi.
Sebagai seorang yang cukup berpengalaman dalam dunia perlumbaan, Shahrol Yuzy mula mengatur langkah untuk memulakan latihan. Dengan menggunakan dua buah jentera Honda Wave yang ditala semula, Yuzy telah merangka jadual latihan untuk Haziq dan Allan. Antara litar yang menjadi pusat latihan ialah di Tangkak, Speedway PLUS Circuit (Elite) dan Litar Sepang.
Ketika negara diarahkan untuk perlaksanaan PKP, latihan fizikal dan mental diteruskan walaupun di rumah. Oleh kerana latihan fizikal dan latihan menunggang di litar tidak dibenarkan, Wazi dan Yuzy telah mengaturkan jadual latihan dalam rumah yang wajib dilaksanakan oleh setiap pelumba seperti berlari, siri lompatan, angkat berat, berbasikal (indoor bicycle) dan lain-lain. Yuzy juga turut cuba mengawal corak gaya hidup para pelumbanya seperti pemakanan dan waktu tidur walaupun ketika ketiadaan perlumbaan.
Selepas menerima jadual perlumbaan baru, mereka dapati masa amat terhad tetapi sekali lagi, tunjuk ajar, pengalaman luas para pembimbing dan disiplin tinggi para pelumba membolehkan pasukan ini berada di depan. Saingan sulung musim 2020 telah menunjukkan hasil yang cukup positif dan membanggakan. Harith Haziq hampir-hampir menjadi juara manakala Allan Harris pula memperolehi pengalaman yang cukup bermakna.
Dengan kejayaan yang dicapai itu, gabungan di antara Castrol, Wazi dan Yuzy menarik perhatian ramai dan telah membuktikan bahawa mereka mampu mencipta kejutan di setiap pusingan. Menurut Wazi, dia cukup yakin dengan kemampuan Yuzy yang membimbing serta komitmen yang diberikan oleh para pelumbanya. Sebagai Team Principal, Wazi kini meletakkan sasaran pasukannya di antara lima yang terbaik.
“Bebanan membawa nama Castrol untuk kembali di dunia perlumbaan memang berat kerana ia jenama global tetapi dengan pengalaman yang ada, saya yakin dapat mencari jalan dalam soal pengurusan serta bagaimana untuk menang. Yuzy Racing memiliki kelengkapan serta kepakaran untuk mencari kemenangan, kini segalanya bergantung kepada seghairah mana kemahuan para pelumba untuk mencari kejayaan itu,” komen Yuzy.
Harith Haziq: Walaupun baru berusia 16 tahun, dia telah memiliki pengalaman yang cukup menarik. Harith memulakan kariernya dalam dunia perlumbaan motosikal ketika berumur sembilan tahun dengan menyertai siri perlumbaan poket bike. Pada tahun 2018, Harith mencari peluang untuk beraksi dalam perlumbaan cub prix dan Malaysia Superbike Championship 250 yang telah meraih beberapa kemenangan yang membanggakan. Pada tahun 2019, Harith turut dipilih untuk menyertai perlumbaan FIM CEV Repsol – European Talent Cup 250cc dan Kejuaraan Asia Road Racing AP250.
“Itu adalah pengalaman yang amat penting buat saya kerana dapat melihat dan belajar cara-cara berlumba dengan lebih mantap bersama-sama para pelumba di Eropah. Ternyata skill, semangat dan keberanian mereka cukup tinggi walaupun masih di peringkat remaja. Saya amat bersemangat untuk memberi cabaran dan akan berusaha gigih demi pasukan Castrol Power1,” komen Harith Haziq yang kini berada di tantgga keempat keseluruhan dengan 34 mata.
Bagi pelumba dari Klang, Allan Harris - minatnya dalam dunia permotoran bermula ketika dia masih kecil. Ini kerana bapanya juga merupakan pencinta motosikal dan bekas seorang pelumba cubprix juga. Anak sulung daripada tiga adik beradik ini memiliki pengalaman dalam saingan Yamaha NVX, Honda One Make Race dan Malaysia Superbike Championship 250 B untuk tahun 2018 dan 2019. Pada tahun lalu, Allan juga dipilih sebagai pelumba Wildcard ARRC AP250 dan menyasarkan untuk terus mencapai keputusan yang baik. RR
Popular