Tiga Pusingan Sahaja Lagi....Siapa Juara MotoGP 2020?
Perlumbaan MotoGP tahun ini hampir tamat...tinggal tiga pusingan sahaja lagi dengan mempertaruhkan 75 mata yang amat penting. Saingan kali ini memang menarik kerana kita telah melihat lapan pemenang berbeza, jarak mata keseluruhan yang rapat di antara para pelumba dan....pelumba yang berada di tangga teratas keseluruhan iaitu Joan Mir dari pasukan Suzuki Ecstar belum lagi pernah mencapai kemenangan.
Di kala menghampiri pusingan berikutnya yang dijadualkan akan berlangsung di Litar Valencia pada hujung minggu ini, Joan Mir pastinya akan terus memburu kemenangan sulungnya. Dengan kelebihan 14 mata, pelumba muda, konsistensi yang telah dia pamerkan setakat ini melayakkannya sebagai calon terbaik untuk dinobatkan sebagai juar dan mengembalikan kemahsyuran jentera Suzuki setelah sekian lama memberi cabaran. Apa pun, Mir perlu berdepan dengan beberapa pencabar yang tidak kurang hebatnya seperti Fabio Quartararo, Maverick Vinales, Franco Morbidelli, Alex Rins dan Andrea Dovizioso.
Pelumba pertama yang akan cuba memberi tentangan sengit ialah Fabio Quartararo yang telah mempamerkan kecemerlangan untuk meraih kemenangan di tiga pusingan sebelum ini. Litar Valencia juga amat sesuai untuk jentera Yamaha M1 miliknya....mampukah dia kembali ke tangga tertinggi podium pada minggu ini? Quartararo perlu mencari peluang terbaik untuk berada di hadapan Joan Mir jika dia benar-benar inginkan kejuaraan.
Maverick Vinales sememangnya kepinginkan gelaran juara tetapi masih belum menjadi kenyataan. Dengan hanya ketinggalan 19 mata di belakang Joan Mir, peluang masih terbuka dan dalam dunia perlumbaan, segalanya tidak mustahil. Apa pun boleh berlaku dan berubah dalam sekelip mata. Jangan lupa pada Franco Morbidelli juga ya! Dia merupakan seorang lagi jagoan pasukan Yamaha yang semakin berkeyakinan dan bertenaga. Kemenangan keduanya baru-baru ini telah disempurnakan dengan cukup sempurna. Dengan perbezaan mata yang agak jauh, Morbidelli perlu 'menyerang habis-habisan' dalam tiga pusingan paling penting ini jika ingin bergelar juara keseluruhan.
Turut memiliki peluang walaupun agak tipis ialah Andrea Dovizioso. Kemampuannya untuk memberi cabaran dalam saingan 2020 pada mulanya agak mengagumkan tetapi lama-kelamaan, rentaknya tidak lagi sepantas dulu. Walaupun begitu, pelumba Itali ini masih mampu berada di antara 10 pelumba terpantas di setiap perlumbaan dan telah berjaya naik ke podium sebanyak dua kali. Dovizioso kini berada di tangga kelima keseluruhan dengan 109 mata.
Antara pelumba yang terus cekal mencari kemenangan ialah rakan sepasukan Mir iaitu Alex Rins yang telah mendominasi perlumbaan di Aragon tempohari untuk dinobatkan sebagai juara. Rins juga merupakan antara pelumba yang cukup berpengalaman dan memiliki semangat juang yang tinggi untuk membuat kejutan. RR
Kedudukan Keseluruhan MotoGP 2020
1 Joan Mir - Team Suzuki Ecstar - 137 mata
2 Fabio Quartararo - Petronas Yamaha SRT - 123 mata
3 Maverick Viñales - Monster Energy Yamaha MotoGP - 118 mata
4 Franco Morbidelli - Petronas Yamaha SRT - 112 mata
5 Andrea Dovizioso - Ducati Racing Team- 109 mata
6. Alex Rins – Team Suzuki Ecstar - 105 mata