Gabit Menyinar Di Australia!
Tahniah buat pelumba negara, Mohammad Habibullah Mohd Salleh atau lebih dikenali oleh Gabit selepas mempamerkan tunggangan yang cukup bertenaga di Kejohanan FIM Asia Supermoto 2016 di Newcastle, Australia untuk menamatkan cabaran di kedudukan kedua.
Perlumbaan kedua (Hari Ahad) yang juga secara kebetulan dengan sambutan Hari Bapa berlangsung dalam cuaca yang lebih baik berbanding persaingan sebelumnya. Ini menggamit lebih ramai penonton untuk memenuhi litar Newcastle Foreshore dengan anggaran sekitar 25 hingga 28 ribu pengunjung. Dengan keadaan litar yang kering dan sempurna, ia membolehkan tanah diolah dan dibuat dengan lebih seimbang untuk keselamatan para pelumba.
Pelumba tempatan, Luke George ternyata cukup selesa dan serasi dengan keadaan litar untuk mendominasi sesi kelayakan seterusnya menjadi pemenang perlumbaan 1 (Hari Sabtu) manakala Gabit jauh di belakang. George berjaya mengulangi kecemerlangannya untuk bermula dengan tepat dan memimpin perlumbaan dari awal hingga akhir.
“Kemenangan hari ini sungguh tidak dijangka. Keadaan trek memang bagus dan tiada kesilapan dibuat dan saya rasa ia merupakan faktor yang memberikan kemenangan hari ini,” komen juara Pusingan 1, George.
Kehebatan pengendalian para pelumba diuji ketika masing-masing berebut-rebut mendapatkan kedudukan terbaik walaupun berlaku beberapa insiden yang mencemaskan. Salah satu daripadanya ialah apabila salah seorang pelumba terhenti di tengah persaingan yang menyebabkan tiga lagi pelumba terbabas dan tertimpa sesama sendiri.
Gabit yang melintasi garisan penamat di tempat kedua ternyata tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya sehingga menitiskan air mata. “Saya bangkit dari tempat keenam dalam grid hingga ke tempat kedua. Nasib saya memang baik kerana beberapa pelumba telah melakukan kesilapan di awal perlumbaan dan saya berjaya mendapat tempat ketiga. Saya amat bangga dengan persembahan di sini dan berharap akan mengulanginya di Malang, Indonesia nanti.”
Dalam Perlumbaan Kelas Asian, Gabit berjaya memenangi kedua-dua perlumbaan selepas menewaskan pencabar terdekatnya iaitu Khairi Zakaria, abangnya sendiri iaitu Gaban dan Shinji Tomita dari Jepun. Dalam kelas ini, Gabit berada di tangga teratas dengan kutipan 50 mata diikuti oleh Khairi Zakaria 42 mata, Gaban 40 mata dan Shinji Tomita 36 mata.
Kejohanan FIM Asia Supermoto 2016 pusingan dua akan berlangsung di Malang, Indonesia pada 8 dan 9 Oktober ini. RR
Popular