Isu Terkini

Julai 2024

Dari Litar / 10 Ogos 2019

MARQUEZ 'TAWAN' SACHSENRING KALI KE-10

Perfect 10! Itulah yang dicipta oleh pelumba pasukan Repsol Honda, Marc Marquez di litar Sachsenring, Jerman pada 7 Julai yang lalu. Sememangnya tidak ramai pelumba yang mampu kekalkan tahap konsistensi sehebat Marquez buat masa ini. Kali pertama Marquez mencipta kemenangan di litar ini ialah pada tahun 2010 dalam kategori 125cc. Setahun kemudian, Marquez sekali lagi mencipta kemenangan di Sachsenring dalam Moto2 selepas menewaskan Stefan Bradl dalam satu pertarungan sengit.

Tahun demi tahun berlalu... Marquez sentiasa mengungguli litar Sachsenring hinggalah persaingan pada tahun ini. Dominasi pelumba dari Sepanyol ini bermula sejak di awal sesi ujian masa. Namun begitu, Marquez ternyata mengagumi tahap tunggangan Fabio Quartararo yang semakin baik. Dengan catatan masa 1'20.400s, dia berjaya menempah petak kedua diikuti
oleh Maverick Vinales di petak ketiga.

Dengan permulaan yang sempurna dan ketangkasan jentera Honda RC213V, Marquez terlebih dahulu dapatkan selekoh pertama tetapi rentaknya dapat diikuti oleh Alex Rins, Quartararo dan Vinales. Selepas prestasi cemerlang di dua pusingan sebelum ini (Catalunya & Assen), pelumba pasukan Yamaha PETRONAS SRT itu ternyata memiliki kesungguhan dan semangat yang cukup tinggi. Tidak seperti selalu, Marquez agak tertekan dengan gaya tunggangan Quartararo yang agresif dan mantap. Sayangnya, impian Quartararo untuk meraih
podium ketiganya berturut-turut musnah apabila dia terbabas ke luar litar pada lap pertama, selekoh ketiga.

Marquez yang cukup selesa di depan mula membuka jarak tanpa diberi saingan oleh sesiapa pun. Rins  mengerahkan seluruh tenaga jenteranya untuk menyerang pelumba di depan tetapi rentaknya sedikit ketinggalan. Pelumba Suzuki ini juga perlu berwaspada kerana di belakangnya, Vinales dan Crutchlow sentiasa menunggu peluang untuk membuat serangan.
Mimpi buruk pasukan Suzuki menjadi kenyataan apabila Rins terbabas pada lap ke-18 di selekoh 11. Tiada apa yang mampu dikatakan selain akur dengan ketentuan untuk bersara awal. Insiden tersebut membuka peluang buat tiga orang pelumba untuk meraih podium. Marquez yang sudah hampir lima saat di depan hanya perlu menunggang dengan tenang untuk menjuarai litar Jerman buat kali ke-10 berturut-turut.

Kemenangan ini juga menjadikannya pelumba paling banyak menjadi juara di setiap musim bermula pada tahun 2013 yang lalu. Kejayaan ini telah meleburkan rekod yang dipegang oleh lagenda Giacomo Agostini (1967 hingga 1972) dan Valentino Rossi (20012006).

Maverick Vinales mendapat tempat kedua selepas berjaya mengekang kemaraan pelumba pasukan LCR Honda Castrol, Cal Crutchlow di tempat ketiga. Kelompok ketiga yang disertai oleh Petrucci, Dovizioso, Jack Miller, Joan Mir dan Rossi lebih sengit dan lebih seronok ditonton. Untuk kali ini, prestasi jentera Ducati sedikit ke belakang berbanding para pencabarnya dan ini adalah satu masalah yang perlu diatasi segera memandangkan misi mereka adalah untuk menjadi juara musim ini.

“Ia adalah satu strategi paling sempurna. Saya dapat menunggang dengan cemerlang sekali dan ini dirasakan sejak di sesi latihan bebas lagi. Kami telah mencuba pelbagai jenis tayar yang berbeza dan beberapa talaan lain. Dengan itu kami dapat membuat perbandingan dan lebih faham. Sememangnya saya amat gembira menang lagi di sini dan terima kasih buat pasukan Honda sepanjang separuh musim pertama ini. Sekarang kita akan bercuti!” Kata Marc Marquez.

“Kami telah dapat rasakan hanya mampu berada di tempat kedua dan dari itu, objektif kami tercapai. Ini juga adalah pencapaian terbaik saya di litar ini dan keputusan ini amat penting buat saya. Saya cukup gembira dan Yamaha sedang berusaha hebat untuk menjadi lebih baik. Saya tahu di mana kelebihan dan kelemahan jentera saya. Pada cuti musim panas ini, saya akan terus memperbaiki diri. Saya tidak sabar ke Brno untuk mencuba beberapa talaan baru dan untuk melihat sama ada kami dapat melangkah setapak ke hadapan,” komen Vinales.

Moto2

Jika abangnya cukup dominan dalam kelas prima, langkah yang sama sedang diikuti oleh Alex Marquez  yang kini berada di tangga tertinggi Moto2 dengan 136 mata, lapan mata di hadapan pelumba Switzerland, Thomas Luthi. Pada perlumbaan di Jerman awal Julai lalu, permulaan yang kurang sempurna dari Alex Marquez tidak menghalangnya untuk membuat serangan. Kepantasan Alex Marquez benar-benar hebat sehingga sukar dikejar oleh para pelumba lain terutamanya Marcel Schrotter, Iker Lecuona dan Brad Binder.

Marquez mula membuka jarak. Tidak lama kemudian, Binder juga dapat melepaskan diri daripada kelompok depan meninggalkan Schrotter, dan Lecuona berentap sesama sendiri untuk tempat ketiga. Sayang buat Lecuona yang terbabas di selekoh terakhir... lap terakhir. Memang bukan rezeki buatnya.


Dengan meraih kejayaan in, Marquez merupakan pelumba pertama Moto2 yang berjaya menjadi juara dari posisi pole sejak Francesco Bagnaia melakukannya di Jepun tahun lalu. Binder ternyata cukup berpuas hati di tempat kedua dan ia adalah keputusan terbaiknya pada musim ini.

Moto3

Pelumba Honda dari Itali, Lorenzo Dalla Porta meraikan kemenangannya penuh bangga selepas berjaya menewaskan sekurang-kurangnya lima pelumba dalam satu
pertarungan yang cukup sengit. Dengan perbezaan masa hanya 0.1 saat di antara empat pelumba teratas, ia sudah membuktikan betapa sukarnya persaingan kelas ini.

Dalam perebutan tiga posisi podium, Porta diberi cabaran hebat oleh Marcos Ramirez, Aron Canet, Romano Fenati dan Raul Fernandez. Ramirez sering di hadapan sekali tetapi segera berjaya dipintas oleh Fenati dan Porta. Pada lap ke-25 dan 26, Ramirez seakan-akan sudah berjaya memeluk piala kemenangan tetapi Porta berjaya mencari ruang pada lap ke-27 (lap terakhir) untuk membuat serangan seterusnya menerima kibaran bendera penamat sebagai juara litar Sachsenring 2019.

Porta kini berada di tangga teratas sekali dengan 125 mata, dua mata meninggalkan Aron Canet yang menang di tempat ketiga. Seorang lagi pelumba Itali, Niccolo Antonelli di tangga ketiga (87 mata) manakala Marcos Ramirez di tangga keempat dengan 78 mata.

Para pelumba kini akan berehat (cuti musim panas) kira-kira sebulan. Perlumbaan separuh musim kedua akan bermula di Brno, Republik Czech pada 4 Ogos nanti. Sudah pasti setiap pasukan akan mengambil peluang selama sebulan ini untuk memperbaiki dan mempertingkatkan kemampuan jentera masing-masing. RR

Isu Pada

April 2018

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Pelumba Negara Tampilkan Aksi Memberangsangkan

Akid Pertahankan Kejuaraan CP150

Podium Berganda Buat Qabil Di Sepanyol & Raih Keempat Keseluruhan di ESBK

CP125: Syamil Akan Raikan Gelaran Juara Lebih Awal Jika Menang Hujung Minggu ini?

MotoGP Malaysia: Walaupun Raih Juara, Misi Pecco Belum Selesai....

GP Valencia 2024 Dibatalkan...Litar Untuk Pusingan Akhir Belum Dipastikan Lagi

Disyorkan untuk anda

EICMA 2024: Skuter Adventure Maksi Pertama Dari KYMCO!

Kymco memperkenalkan skuter pengembaraan maxi pertamanya di EICMA.

Model Baru

Kawasaki ZX-6R 2025 Sudah Boleh Ditempah Bermula 1 Disember Ini. Harga asas RM59,900

MODENAS telah melancarkan kempen pra-tempahan untuk model ZX-6R terbaru bermula pada 1 Disember 2024 di semua bilik pameran Kawasaki All-Star.

Warta Roda

KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024

Penganjuran KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024 yang dianjurkan semperna Hari Malaysia pada (15/9 - 16/9) lalu telah terlaksana dengan jayanya.

Yamaha R9 - Generasi Terbaru Supersport

Untuk tahun 2025, Yamaha memperkenalkan model Supersport terbaru, R9 yang menawarkan prestasi cukup mantap dan teknologi canggih Siri R. Model ini direka berasaskan jentera perlumbaan sebenar.