MotoGP 2016 : Penantian 6 Tahun Telah Berakhir!
Tahniah buat pasukan Ducati Racing atas kejayaan menempa kemenangan buat pertama kalinya sejak enam tahun yang lalu. Saat terakhir pelumba Ducati berdiri megah di podium tertinggi ialah pada tahun 2010 menerusi pelumba lagenda, Casey Stoner di Litar Phillip Island.
Lebih menarik sekali, ini juga merupakan perlumbaan pertama MotoGP di Litar Red Bull Ring sejak tahun 1997. Litar ini telah diubahsuai beberapa kali dan kini, ia telah dikenali dengan nama Red Bull Ring, Spielberg. Menurut MotoGP, Valentino Rossi merupakan satu-satu pelumba kelas prima yang pernah bersaing di litar ini iaitu ketika berlumba dalam kelas 125cc.
Seorang lagi pelumba, Jack Miller juga pernah berlumba di litar ini pada tahun 2011 ketika mengambil bahagian dalam perlumbaan International German Motorcycle Championship (IDM).
Litar sepanjang 4.3km ini terkenal sebagai litar highspeed yang tentunya memberi kelebihan buat jentera pantas seperti Ducati Desmosedici GP16 berbanding jentera lain. Seperti yang dijangka, pelumba pasukan 'Merah' ini, Andrea Iannone telah berjaya meraih petak pertama selepas mengungguli sesi ujian masa meninggalkan Valentino Rossi di petak kedua dan Andrea Dovizioso ketiga. Tiga lagi pelumba tersohor iaitu Lorenzo, Marquez dan Vinales masing-masing bermula di barisan kedua.
Sebaik sahaja perlumbaan akhir dimulakan, Iannone dan Dovizioso menggunakan kelebihan kuasa enjin mereka untuk memecut meninggalkan pencabar lain. Rossi antara pelumba yang berjaya merapatkan diri manakala terkaman Marquez di selekoh pertama hampir-hampir membuatnya dan Lorenzo terbabas ke tepi litar.
'The Doctor' mengerahkan seluruh tenaga dan pengalamannya untuk kekal bersama dua pelumba Ducati di hadapannya dan akhirnya berjaya memintas seorang demi seorang. Apa pun, kedudukannya tidak tahan lama kerana kemaraan Iannone dan Dovizioso tidak mampu dihalang lagi.
Selepas berjaya memintas Rossi, kedua-dua pelumba Ducati terus bersaing sesama sendiri sehingga lama kelamaan mereka sudah mula membuka jarak. Rossi cuba mengejar tetapi diberi tekanan hebat oleh rakan sepasukannya, Lorenzo yang ternyata mempunyai rentak lebih baik.
Pendahulu kejuaraan, Marc Marquez pula tidak mampu untuk membawa jenteranya ke hadapan lalu mengemaskan tunggangan untuk menafikan serangan dan percubaan pelumba Suzuki, Maverick Vinales.
Iannone dan Dovizioso memacu jenteranya ke tahap maksimum hampir di setiap selekoh. Dovizioso merupakan pelumba terpantas dengan kelajuan maksimum, 313kmj tetapi masih gagal untuk merapati Iannone yang terus unggul memimpin perlumbaan. Ternyata pemilihan tayar merupakan salah satu faktor penting untuk setiap pelumba di litar ini mengekalkan kedudukan di sepanjang perlumbaan 28 lap itu.
“Ia amat penting buat Ducati untuk menamatkan persaingan hari ini di tempat pertama dan kedua. Kami telah bekerja keras selama empat tahun untuk ke tahap ini dan saya amat gembira menjadi sebahagian daripada projek ini,” komen Dovizioso selepas melintasi perlumbaan pusingan ke-10 di tempat kedua.
Khemah pasukan Ducati 'bergegar' sebaik sahaja Iannone melintasi garisan penamat di tempat pertama. Seluruh pasukan termasuklah Casey Stoner yang kini merupakan penunggang uji untuk Ducati meraikan kejayaan ini dengan penuh bangga dan emosi. Inilah yang mereka tunggu sejak enam musim yang lalu.
“Saya sangat-sangat gembira kerana kami berjaya melakukan satu perlumbaan yang mengagumkan. Saya bermula agak perlahan dan berusaha untuk berada di hadapan tanpa mencuba dengan terlalu keras kerana tahu saya mampu untuk mendapatkan rentak yang lebih baik di penghujung persaingan. Saya memilih untuk menggunakan tayar lembut dan jentera saya hari ini sangat sempurna. Saya amat berterima kasih kepada seluruh pasukan Ducati kerana bekerja dengan baik sekali,” kata Andrea Iannone.
Pasukan Yamaha pula terpaksa berpuas hati dengan kejayaan kedua-dua pelumba mereka menamatkan saingan di posisi ketiga dan keempat. Lorenzo yang kembali meraih kemenangan podium menyifatkan kedudukannya di tempat ketiga sudah cukup membanggakan kerana kemantapan jentera Ducati bagaikan berada di dalam kelasnya tersendiri.
“Untuk menamatkan perlumbaan hanya tiga saat di belakang juara memang cukup hebat dan lebih penting apabila dapat meraih beberapa mata penting untuk kejuaraan tahun ini. Apa pun boleh berlaku di dalam dunia perlumbaan. Kami perlu terus fokus, mengharapkan sedikit tuah dan menunggu saatnya,” jelas Lorenzo.
Walaupun masih dalam rawatan akibat kecederaan bahu selepas terlibat dalam kemalangan serius di sesi latihan bebas, Marc Marquez masih mampu tersenyum penuh bangga apabila menamatkan cabarannya di Austria di tempat kelima. Selepas sedar tidak mampu lagi untuk menyaingi Rossi dan Lorenzo, Marquez terus cekal untuk mengekang kemaraan Vinales (Pasukan Suzuki) yang berada di belakangnya.
“Selepas apa yang berlaku semalam, saya gembira dengan perlumbaan hari ini. Bahu saya tidak sakit ketika berlumba, jadi tiada alasan untuk tidak bersaing. Saya tahu Ducati dan Yamaha amat pantas dan inilah posisi terbaik yang boleh diperoleh dan amat positif sekali kerana jumlah mata tidak jauh bezanya berbanding Lorenzo,” kata Marc Marquez.
Marquez masih di depan dalam carta keseluruhan dengan 181 mata diikuti Jorge Lorenzo di tangga kedua dengan 138 mata. Valentino Rossi di tangga ketiga dengan 124 mata manakala Dani Pedrosa di tangga keempat dengan 105 mata.
Perlumbaan kali ini juga agak tidak memihak kepada para pelumba negara. Hafizh Syahrin yang sedang berentap cukup hebat dalam Moto2 telah dilanggar oleh pelumba Itali yang menyebabkan kedua-dua pelumba ini terbabas. Walaupun masih mampu meneruskan perlumbaan, Hafizh kehilangan banyak masa untuk mengejar dan sekadar menamatkan saingan di tempat ke-21.
Dalam saingan Moto3 pula, pelumba Honda Asia Team, Khairul Idham Pawi menyifatkan saingan kali ini agak susah dan terpaksa bekerja keras untuk melengkapkan perlumbaan di tempat ke-27. Bagi Adam Norrodin (Pasukan Drive M7 SIC Racing), kesilapan kecil di penghujung perlumbaan telah menyebabkan dia telah dipintas. Namun begitu, kemampuannya untuk mengawal mesin dan menamatkan perlumbaan dengan selamat berjaya menaikkan semangat pelumba muda ini untuk terus berjaya pada cabaran berikutnya. RR
Popular