Azroy Hakeem tawan litar Terengganu
Pelumba pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem telah menyempurnakan perlumbaan dengan mudah dan menawan litar Permotoran Terengganu selepas bergelar juara dalam saingan CP150 pusingan keempat Cub Prix Malaysia PETRONAS.
Litar yang sepanjang 1.371 kilometer merupakan litar kegemaranya selepas turut bergelar juara pada tahun 2019. Dalam sesi ujian kelayakan, Azroy telah muncul sebagai pelumba terpantas.
Azroy kemudian meneruskan rentaknya dengan cemerlang dan menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan masa 16:40.336s. Manakala tempat kedua milik Md Aiman Tahiruddin dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing (16:41.346s) dan Md Helmi Azman (HI REC SCK Honda Racing) di tempat ketiga (16:43.825s).
Azroy kini terus memimpin kedudukan teratas secara keseluruhan dengan kutipan 81 mata diikuti Md Helmi Azman (66 mata) dan Md Aiman Tahiruddin (45 mata).
CP125
Dalam saingan CP125 telah menyaksikan kebangkitan juara kategori Wira musim lalu, Md Aliff Danial Md Asri (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) memenangi tempat pertama dengan catatan masa 13:06.521s.
Adib Rosley yang mula menunjukkan taringnya pada pusingan keempat selepas menamatkan cabarannya di tempat kedua (3:09.390s) dan Hafiza pula di tempat ketiga dengan catatan masa 13:15.210s.
Bagaimanapun, kedudukan secara keseluruhan masih ditawan oleh pelumba dari pasukan ONEXOX TKKR SAG, Md Shafiq Rasol (67 mata) diikuti rakan sepasukannya, Md Hafiza dengan 57 mata dan Md Syafiq Rosli (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) 56 mata.
Wira
Sementara itu, Rahimi Razu telah beraksi dengan cukup bergaya sekali di laman sendiri apabila muncul juara dalam perlumbaan akhir kelas Wira. Pelumba dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing ini telah menamatkan cabarannya dengan catatan masa 10:47.161s.
Tempat kedua berada dalam genggaman Md Haziq dari pasukan (Boss Susu Motorsports) dengan masa terpantas 10:48.380s. Manakala ditempat ketiga sah milik Md Aeiman Hafidz Shahril (ONEXOX SAG) dengan catatan masa 10:50.874s.
Kemenangan yang diraih oleh Rahimi Razu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu keseluruhan apabila mengumpul 78 mata.
Perlumbaan pusingan kelima akan berlangsung di Litar Lumba Tangkak, Johor pada 10-11hb Oktober 2020 nanti. RR