MotoGP 2020: Saingan Untuk Pusingan 8 Semakin Sengit!
Sesi kelayakan semalam menunjukkan lima orang pelumba mencatatkan perbezaan masa kurang daripada 0.010s dan ini membuktikan persaingan untuk musim ini sememangnya kompetitif. Dalam sesi latihan bebas pada hari Jumaat, Brad Binder merupakan pelumba terpantas dengan catatan masa 1'31.628s, hanya 0.002s di hadapan pelumba LCR Honda, Takaaki Nakagami manakala Fabio Quartararo mencatatkan masa ketiga terpantas.
Memandangkan jarak pungutan mata keseluruhan di antara para pelumba teratas tidak begitu jauh, takhta juara untuk musim ini jelas masih terbuka untuk direbut! Jom kita dengar, apa komen mereka?
Andria Dovizioso: “Kejuaraan kali ini memang amat menarik. Masing-masing ada saat jatuh dan bangun sendiri. Ini membuatkan jurang mata antara kami cukup rapat. Saya gembira kerana dapat berada di dalam situasi ini tetapi perlu meningkatkan prestasi agar mampu memberi cabaran lebih sengit. Untuk menjadi juara, saya perlu melakukan segalanya.”
Valentino Rossi: “Perlumbaan pada minggu lepas cukup menarik dan sukar untuk dilupakan, terutamanya buat mereka yang berada di dalam akademi. Saya amat berbangga dengan para pelumba kali ini dan gembira dengan kejayaan Bezzecchi, Bagnaia dan Morbidelli. Kami perlu membaiki segala kelemahan untuk pastikan jentera lebih mantap pada saingan Ahad ini. Cuaca dan keadaan litar juga memainkan peranan penting buat semua pelumba.”
Joan Mir: “Kami telah mencuba banyak kali tetapi masih agak sukar untuk mencari sesuatu yang boleh mempercepatkan lagi catatan masa. Saya perlu lebih kompetitif dan paling penting, saya kini lebih yakin dengan keupayaan jentera saya. Ini membolehkan saya mendapat rentak yang lebih baik... mungkin tidak terlalu laju tetapi ada peningkatan.”
Franco Morbidelli: “Jujurnya sukar untuk dijelaskan kerana sesi ujian amat berbeza dengan persaingan sebenar. Ramai pelumba berpeluang mencuba sesuatu yang baru untuk lebih baik, lebih faham dengan jentera tetapi keputusannya tetap pada perlumbaan sebenar nanti.”
Francesco Bagnaia: “Adalah sesuatu yang normal semua orang memikirkan tentang Valentino Rossi terutamanya para pelumba seperti kami yang datang dari Moto3 dan Moto2. Apabila melihat Rossi di atas litar, sesuatu perasan yang luar biasa akan dirasa kerana kami membesar bersamanya sebagai idola dan kini berlumba pula dengannya. Tahun lepas saya berlumba dengannya di ranch miliknya, kini dalam saingan kelas prima dan ia adalah saat yang cukup istimewa.” RR