Isu Terkini

Julai 2024

Dari Litar / 10 Jun 2016

WSBK 2016, Pusingan Ke-6 (SIC, Malaysia) Fahmi Hampir Jadi Juara

Pelumba harapan negara, Zulfahmi Khairuddin ternyata memberi persembahan cukup mantap dalam perlumbaan akhir kelas WSPP yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 13-15 Mei lalu. Fahmi dari pasukan Orelac Racing VerdNatura memacu jentera Kawasaki ZX6rnya dengan pantas sekali di sesi ujian masa untuk melayakkan dirinya di petak kelima.

Perlumbaan akhir dijadualkan pada awal petang terpaksa ditunda akibat cuaca yang tidak mengizinkan. Seperti yang kita jangkakan, para pelumba negara lebih laju dan lebih berkeyakinan untuk bersaing di litar basah berbanding pelumba luar negara.

Zulfahmi menjulang piala kedudukan kedua di podium litar Sepang.
Zulfahmi menjulang piala kedudukan kedua di podium litar Sepang.

Ya… Fahmi membuktikannya sebaik sahaja lampu merah dipadamkan. Tidak sampai satu lap, Fahmi telah berjaya memimpin perlumbaan tetapi diekori rapat oleh beberapa pelumba lain seperti Kenan Sofuoglu, Ayrton Badovini, Gino Rea, Patrick Jacobsen dan Kyle Smith. Keyakinan pelumba muda dari Banting ini cukup tinggi apabila mula membuka jarak di kala para pencabarnya yang lain masih mencari rentak.

Litar SIC baru diturap sepenuhnya juga memberi kelebihan buat Fahmi yang lebih arif tentang selok belok litar ini. Dengan sorakan lebih daripada 12,000 penonton pada hari Ahad, Fahmi berjaya memimpin hampir keseluruhan perlumbaan. Lap demi lap Fahmi semakin jauh sehinggalah tinggal lima lap sebelum tamat melihatkan rentak Fahmi kini diekori oleh Badovini yang ternyata semakin pantas.

Tom Sykes tidak mampu dicabar oleh pelumba lain dalam perlumbaan 1.
Tom Sykes tidak mampu dicabar oleh pelumba lain dalam perlumbaan 1.

Sedikit demi sedikit Fahmi berjaya dirapati dan bermulalah drama pintas memintas di antara kedua-dua pelumba ini. Walaupun di dalam litar basah, kesungguhan dan keberanian dua pelumba ini cukup mengujakan. Fahmi cuba membuat serangan akhir di selekoh 15 pada lap terakhir. Dia membrek dengan keras tetapi sedikit melebar membolehkan Badovini menggunakan ruang yang sedikit terbuka untuk muncul juara dengan catatan masa 33:22.944s, hanya 0.050s di hadapan Fahmi. Tempat ketiga dimenangi oleh Gino Rea dari pasukan GRT Racing yang menunggang jentera MV Agusta F3 675.

Zulfahmi membaca RR sebelum berlumba.
Zulfahmi membaca RR sebelum berlumba.

Zulfahmi kini berada di tangga ke-10 keseluruhan dengan kutipan sebanyak 40 mata. Tahniah diucapkan dan semoga terus maju jaya di perlumbaan akan datang.

“Saya mahu terus meninggalkan para pelumba lain tetapi ia amat sukar untuk dilakukan. Pada empat lap terakhir kami berdua cuba mengatasi satu sama lain. Saya cukup yakin mampu memintas Ayrton pada selekoh terakhir tetapi tayar hadapan hampir-hampir membuang. Perlumbaan kali ini memang hebat tetapi saya tetap kecewa dengan kekalahan ini. Kini saya ingin menumpukan perhatian pada perlumbaan akan datang dan cuba untuk mendapatkan keputusan yang baik,” komen Zulfahmi.

Perlumbaan seterusnya akan berlangsung di Donington Park, UK pada 27-29 Mei nanti.

Nicky Hayden mahir mengendalikan jentera di dalam litar basah dan menjadi juara Perlumbaan 2.
Nicky Hayden mahir mengendalikan jentera di dalam litar basah dan menjadi juara Perlumbaan 2.

Worls Superbike

Dua Juara Berbeza Di Litar SIC

Itulah yang berlaku dalam persaingan pusingan keenam WSBK kali ini. Pada perlumbaan 1 yang diadakan pada hari Sabtu, keadaan litar yang cukup sempurna ternyata memberikan kelebihan buat pasukan Kawasaki yang dibarisi oleh Tom Sykes dan Jonathan Rea.

Perlumbaan 1 WSBK dimenangi oleh Tom Sykes (tengah).

Tom Sykes yang berjaya mencatatkan masa terpantas menempah petak pertama diikuti oleh wakil Yamaha, Alex Lowes dan juara bertahan, Jonathan Rea. Kelebihan bermula di petak pertama digunakan sebaik-baiknya oleh kedua-dua pelumba Kawasaki untuk memimpin perlumbaan. Sykes dan ZX10Rnya bagaikan lipas kudung memecut dengan cukup tangkas dan sempurna. Litar Sepang yang sepanjang 5.543 km ini diratah dengan begitu tenang sehinggakan Rea dan Davies tidak mampu lagi memberi saingan.

Peminat boleh mencuba dan membeli topi keledar di khemah LS2.
Peminat boleh mencuba dan membeli topi keledar di khemah LS2.
Khemah MOTUL yang luas.
Khemah MOTUL yang luas.

Dengan catatan masa lima saat lebih pantas daripada Rea dan tujuh saat pula di hadapan Davies, Sykes akhirnya berjaya meraih kemenangan berharga buat diri dan pasukannya. Tempat kedua sekali lagi menjadi milik pasukan Kawasaki menerusi Jonathan Rea diikuti Chaz Davies dari pasukan Ducati di posisi ketiga.

Perlumbaan 2

Tahniah buat pelumba dari Amerika yang cukup popular dengan gelaran The Kentucky Kid selepas memenangi perlumbaan akhir yang berlangsung dalam cuaca yang kurang sempurna. Walaupun bermula di petak keempat, ia langsung tidak menyekat bekas juara MotoGP ini daripada membuat serangan dua pelumba Kawasaki di hadapannya.

Alex Lowes dari pasukan Yamaha bermula di petak kedua perlumbaan 1
Alex Lowes dari pasukan Yamaha bermula di petak kedua perlumbaan 1

Belum pun tamat satu lap, Hayden sudah berada di posisi kedua untuk memberi tekanan tanpa henti kepada Rea dan dia berjaya. Hayden yang memang terkenal antara pelumba cukup pantas di litar basah memacu Honda CBR1000RRnya dengan cemerlang sekali untuk mengetuai perlumbaan akhir. Seperti yang dilakukan oleh Sykes pada perlumbaan 1, Hayden juga terus memerah pendikitnya dengan hasrat membuka jarak sejauh yang mungkin.

Replika perlumbaan ZX-10R menjadi tarikan utama.
Replika perlumbaan ZX-10R menjadi tarikan utama.

Memang suatu yang amat-amat hebat melihat Nicky Hayden berada di hadapan sekali seperti mana dia pernah lakukan suatu ketika dahulu. Sedang cuba menghabiskan pentas akhir ini, tanpa disedari dia sedang diekori oleh tiga pelumba hebat iaitu Davies, Rea dan Giugliano.

Nicky Hayden menang perlumbaan 2 (tengah).

Rea dan Davies akhirnya menjadi mangsa Giugliano yang menunjukkan tunggangan yang semakin meyakinkan. Pelumba Ducati ini berjaya mencatatkan masa terpantas tetapi gagal mengejar Hayden yang sudah jauh di hadapan seterusnya menerima kibaran bendera penamat di tempat kedua. Rea pula berjaya menjinakkan Davies beberapa lap sebelum tamat untuk meraih tempat ketiga dengan kutipan 16 mata penting.

“Saya cukup gembira dengan kejayaan ini. saya cuba untuk membuka jarak dan tidak dapat mengetahui bagaimana tayar jentera ini beraksi di dalam hujan. Apabila litar mulai kering, saya semakin risau kerana ia sudah mulai memberi kesukaran. Bagaimana pun, saya akhirnya berjaya menjadi juara,” jelas Nicky Hayden.

Al Ogura (9) mendahului perlumbaan SAATC di peringkat awal.

Shell Advace Asia Talent Cup

Tahniah buat pelumba Thailand, Somkiat Chandra selepas mempamerkan tunggangan yang cukup matang pada perlumbaan akhir yang dijalankan di litar yang panas dan terik. Selepas bermula dengan baik, kumpulan paling hadapan diungguli oleh Somkiat Chandra, Andi Izdihar, Gerry Salim, Al Ogura dan Kazuki Masaki.

Kumpulan pendahulu ini mengecil pada lap keempat berikutan insiden yang berlaku pada Ogura dan Masaki. Sedang cuba mengejar Chandra di depan, Gerry Salim pula terbabas dan memberi peluang buat Yamanaka untuk memecut ke hadapan. Chandra yang mendapat tempat ketiga pada perlumbaan 1 terus mengekalkan momentum untuk muncul juara diikuti Ryusei Yamanaka untuk sekali lagi memenangi tempat kedua manakala Juara Perlumbaan 1, Andi Izdihar hanya mampu menamatkan persaingan di tempat ke-3.

Seorang peminat BMW mencuba Virtual Reality Motorcycle Ride.
Seorang peminat BMW mencuba Virtual Reality Motorcycle Ride.
GIVI pamerkan kotak barang & topi keledar terbaru.
GIVI pamerkan kotak barang & topi keledar terbaru.

Somkiat kini berada di tangga teratas keseluruhan dengan 106 mata diikuti oleh Ryusei 100 mata di tangga kedua dan Andi Izdihar yang mengumpul 93 mata di tangga ketiga. Para pelumba muda ini pastinya akan terus berentap dan memberi saingan pada pusingan berikutnya yang akan diadakan di Litar Antarabangsa Zhuhai pada 16 hingga 18 September nanti. RR

Oleh: Azuan & Saiful
Foto: Firdaus, Kel Edge, Noriah & Saiful




 

Isu Pada

Jun 2016

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Pelumba Negara Tampilkan Aksi Memberangsangkan

Akid Pertahankan Kejuaraan CP150

Podium Berganda Buat Qabil Di Sepanyol & Raih Keempat Keseluruhan di ESBK

CP125: Syamil Akan Raikan Gelaran Juara Lebih Awal Jika Menang Hujung Minggu ini?

MotoGP Malaysia: Walaupun Raih Juara, Misi Pecco Belum Selesai....

GP Valencia 2024 Dibatalkan...Litar Untuk Pusingan Akhir Belum Dipastikan Lagi

Disyorkan untuk anda

EICMA 2024: Skuter Adventure Maksi Pertama Dari KYMCO!

Kymco memperkenalkan skuter pengembaraan maxi pertamanya di EICMA.

Dari Litar

Francesco Bagnaia Tawan GP Thailand Dalam Hujan

Francesco Bagnaia (pecco) membuktikan keupayaannya apabila menjuarai GP Thailand dalam keadaan cuaca dan litar yang sangat sukar.

Warta Roda

KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024

Penganjuran KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024 yang dianjurkan semperna Hari Malaysia pada (15/9 - 16/9) lalu telah terlaksana dengan jayanya.

Berita Kelab

KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024

Penganjuran KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024 yang dianjurkan semperna Hari Malaysia pada (15/9 - 16/9) lalu telah terlaksana dengan jayanya.