Honda C70 Custom Daripada Kayu
Kecantikan sesebuah motosikal datangnya daripada pelbagai aspek. Ada yang gemar menunggang motosikal yang serba serbinya asli dan ada juga yang sukakan jentera miliknya mempunyai nilai citarasa persendirian dan kreativiti pemilik. Bila motosikal itu cantik, kita semestinya suka dan berpuas hati dapat melihat jentera ciptaan kita berdiri megah di depan mata. Keluaran edisi kali ini memaparkan sebuah jentera Honda C70 yang telah diubahsuai mengikut citarasa pemiliknya.
Lebih mengujakan apabila motosikal unik rekaan kita itu akan mendapat perhatian ramai setiap kali ditongkat. Itulah yang dinikmati oleh Bintang Bulan ini, Kapt (B) Hj. Fawzi B Kamarudin dari Port Kelang yang motosikalnya telah diubahsuai dengan menggunakan kayu pallet. Ke mana sahaja beliau pergi, pasti ada yang bertanya, bercerita dan turut bergambar sekali.
Dikenali sebagai Fawzi di kalangan rakan-rakan, beliau berumur 68 tahun dan merupakan seorang pesara tentera. Aktiviti seperti pertukangan amat diminati beliau dan kerap menghasilkan perabot seperti kabinet dan lain-lain yang mampu memberikan ketenangan kepadanya. “Dengan kemahiran yang ada, sangat mudah untuk menghasilkan sesuatu yang baru. Ini merupakan hobi saya dari dulu sehingga kini. Bila ada masa lapang, saya tidak akan mensia-siakannya. Sudah banyak perabot yang telah saya hasilkan di rumah dengan tangan sendiri. Antara hasil kerja kayunya adalah seperti sofa, meja, rak kasut, bingkai cermin dan pelbagai lagi.”
Dalam kehidupan setiap orang pasti ada kenangan manis ataupun pahit. “Sewaktu kecil saya pernah mencipta satu kenderaan mainan berbentuk kereta yang diperbuat daripada tin. Ia adalah rekaan pertama yang saya buat sendiri. Memang sangat teruja bila dapat disiapkan dengan begitu mudah sekali dan bermain bersama rakan-rakan.”
En. Fawzi berkata, “Sehingga kini saya tidak pernah terlibat dengan kemalangan jalan raya. Sebagai pengguna jalan raya kita perlu berhati-hati ketika menunggang tidak kira di mana berada. Punca utama berlakunya kemalangan ialah sikap pengguna yang tidak mematuhi peraturan jalan raya dan tidak memberikan tumpuan sepenuhnya ketika menunggang atau memandu.”
Beliau jarang menggunakan motosikal ini untuk ke tempat yang lebih jauh. En. Fawzi hanya menunggangnya di pekan berdekatan dan di kawasan kediaman sahaja. “Saya memang suka menunggang motosikal kerana sangat mudah untuk dikendalikan melalui laluan yang sempit dan terutama untuk mencari parkir.”
Pengubahsuaiaan
En. Fawzi mula menunggang motosikal sejak memasuki tentera, waktu itu dalam umur 20an. Beliau telah dilatih cara untuk menunggang dan pengawalan motosikal dengan baik. Honda C70 ini merupakan jentera pertama milik beliau yang diberikan oleh adiknya. Selepas 10 tahun menunggang motosikal tersebut, En. Fawzi mula membuat keputusan untuk mengubahsuai jenteranya sendiri untuk menampakkan kelainan. Oleh kerana beliau mempunyai kemahiran yang agak tinggi dalam seni pertukangan, beliau telah mengubah bentuk badan Honda C70nya dari yang asal kepada kayu.
Ciptaan yang dihasilkan ini menggunakan tangannya sendiri. Katanya, “Sebelum timbul idea untuk mengubah suai, saya dapati madgad hadapan telah pecah dilanggar seseorang. Apabila difikirkan untuk membeli yang baharu secara tiba-tiba saya mendapat idea untuk membuat mudguard sendiri menggunakan saki-baki kayu semasa membuat beberapa perabot.”
Projek dimulakan dengan penanggalan seluruh badan jenteranya dan dileraikan satu persatu. Madgad adalah bahagian pertama yang telah diubah diikuti dengan bahagian sisi, belakang dan kepala. Untuk membuatnya beliau menggunakan kayu pallet. “Pada mulanya seperti susah untuk dibuat, tetapi bila keyakinan pada diri kita itu muncul, baru proses berikutnya menjadi lebih senang dan cepat,” tambah beliau.
Proses kemudian adalah mengukur terlebih dahulu sebelum melakarnya supaya mendapatkan bentuk yang sesuai pada badan jentera. En. Fawzi telah memotong beberapa keping kayu yang akan diserasikan pada jentera miliknya. Untuk membuat bentuk amat sukar kerana perlu dilakukan dengan berhati-hati supaya dapat menghasilkan rupabentuk yang kemas.
Apabila hampir kesemua bahagian telah siap dipasang, barulah dicat varnish pada setiap bahagian kayu demi melindungi kayu itu daripada cepat rosak, cahaya panas dan hujan. Proses ini dapat memberi penampilan kayu pada jenteranya supaya kelihatan lebih menarik. Kayu tersebut diskrukan pada badan motosikal.
Secara keseluruhan, ia telah mengambil masa selama tujuh bulan untuk disiapkan. Memang agak lama kerana En. Fawzi hanya akan menumpukan perhatian dalam pengubahsuaian ini bila ada waktu lapang sahaja dan kos cuma RM1,200. Hasilnya memang kemas, berkualiti dan sangat memuaskan. “Memang C70 saya akan menjadi tumpuan di mana sahaja ia dibawa dan antara soalan paling sering saya terima ialah adakah ia untuk dijual?”
“Buat masa sekarang saya masih tidak lagi mahu menjualnya. Ia amat berharga dan dengan motosikal inilah saya dapat bergerak ke mana yang ingin dituju. Untuk mencipta yang baru memang boleh tetapi masalahnya jentera retro seperti ini semakin hari semakin sukar untuk didapati,” katanya.
Terdapat beberapa bahagian yang masih belum disiapkan pada jentera Honda ini. En. Fawzi akan membuat penambahbaikkan pada jenteranya itu di masa akan datang agar kelihatan lebih sempurna.
RR ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada En. Fawzi dan keluarga kerana turut menjemput kami menjamu selera di rumahnya. RR
Popular