Yamaha R25 Jerung Dari Port Klang...
Kalau kita berbual mengenai hidupan marin, jerung merupakan antara spesis yang cukup unik dan mengagumkan. Walaupun ia sentiasa kelihatan tenang, jerung merupakan sejenis haiwan pemangsa yang cukup agresif dan bijak. Itu kisah kehidupan di laut. Manakala dalam dunia MotoGP pula, pada musim 2015, Valentino Rossi pernah menggunakan topi keledar yang mempunyai rekacorak seekor ikan jerung sedang mengejar ikan kecil yang menggambarkan dirinya ketika itu sedang dicabar oleh para pelumba lain.
“Keunikan corak inilah yang menyebabkan saya ingin mengabadikannya pada motosikal saya dan tidak sangka hasilnya cukup mengagumkan. Tahun ini pula umur saya sama dengan nombor motosikal pelumba kegemaran saya, Rossi…memang sesuai sekali,” kata Bintang Bulan Ini, Azahari Mansor dari Port Klang, Selangor.
Walaupun sudah mula menunggang motosikal sejak berumur 12 tahun lagi, minatnya untuk memiliki jentera sport bermula ketika dia bekerja di Bangsar pada tahun 1993. Pada ketika itu selebriti negara seperti Awie Wings, Amy Search, Erra Fazira dan ramai lagi sering makan malam di Bangsar sambil menunggang motosikal berkuasa tinggi. Sejak itu, Azahari bertekad untuk menyimpan duit demi mendapatkan motosikal yang diminatinya.
Motosikal pertama yang dimilikinya ialah Cagiva Mito 125 yang sangat popular pada era 90an dulu. Model ini bukan sahaja cantik dan laju tetapi juga mendekatkan pemiliknya dengan pelumba lagenda, Eddie Lawson. Sememangnya model Cagiva Mito merupakan motosikal idaman para remaja ketika itu. “Karaktor jentera Itali memang cukup berbeza dengan mesin-mesin dari Jepun dan saya adalah peminat jentera sport dari Itali. Jiwa saya, jiwa sportbike. Dari dulu hingga kini…”
Selepas itu, Azahari membeli pula sebuah lagi model popular pada tahun 90an iaitu Aprilia RS125. Model ini begitu digilai kerana pecutan dan rekabentuknya yang mantap. Dengan motosikal-motosikal yang dipunyainya itu, Azahari bermotor hampir ke mana sahaja bersama rakan-rakannya. Kisahnya dengan motosikal agak terhenti seketika apabila dia mendirikan rumah tangga dan mendapat pekerjaan baru.
“Walaupun saya agak slow sedikit bermain motor selepas kahwin, Cagiva saya masih disimpan dan saya membeli pula sebuah Yamaha 125Z (First Generation) kerana sukakan bentuk dan kelajuan yang mampu dicapainya.”
Ketika bertugas di sebuah syarikat logistik yang berurusan dalam hal ehwal perkapalan, penghantaran, pengangkutan dan pergudangan, Azahari sering ke luar negara dan inilah yang membakar kembali semangatnya untuk membeli sebuah motosikal sport. “Selain negara-negara di Asia, saya juga beberapa kali bertugas di Australia dan semestinya di negara ini terdapat ramai penunggang dan pencinta motosikal. Oleh kerana terlalu inginkan menunggang, saya menyewa sebuah Harley Davidson dan menunggang ke pelbagai tempat di sana. Saya telah melawat ke semua negeri di Australia kecuali Sydney sahaja yang belum lagi berjaya sampai.
Azahari juga pernah mencuba untuk menunggang sebuah mesin naked tetapi sayangnya dia terjatuh pula ketika cuba memasuki selekoh ketika dalam perjalanan ke Sepang. Nasib Azahari baik kerana mengenakan pakaian keselamatan yang lengkap, kalau tidak mungkin luka parah. Dia juga akui betapa pentingnya menunggang dengan pakaian menunggang yang sesuai tidak kiralah kepada sesiapa sahaja sama ada motosikal berenjin 110cc atau pun 1400cc.
Pengubahsuaian:
“Sebelum model Yamaha R25 ini berada di pasaran, saya telah pun tengok melalui media sosial dan terus jatuh cinta kerana bentuknya yang mirip dengan model-model berkuasa tinggi dari Yamaha. Apabila R25 berada di pasaran, saya terus membelinya dan sangat menyukainya. Ia pantas dan sesuai untuk tunggangan di selekoh.”
Selepas tiga bulan, Azahari mula mengubahsuai jenteranya dengan meletakkan stiker dan mengecat di beberapa bahagian. Selepas beberapa lama, dia menukar rekacoraknya lagi sehinggalah puas hati dengan corak terkini yang berkonsepkan ikan jerung. Tangki asal R25nya telah ditukar dengan tangki Yamaha R6 yang lebih besar dan lebih cantik. Sistem ekzos motosikalnya juga telah diganti dengan sistem ekzos slip-on Akrapovic. Ekzos ini bukan hanya sedap didengar tetapi juga membantu rekabentuk sisinya tampak mantap. Oleh kerana Azahari ni juga seorang kaki leper, dia turut menukar tempat pemijak asal kepada yang lebih tinggi. R25 memang sedap masuk/keluar selekoh dan jika tempat pemijak terlalu rendah, ia mudah tersentuh dengan jalan! Oleh itu, dia tukarkan dengan yang lebih tinggi.
“Selepas saya tengok Rossi membuat rekacorak grafik itu, saya rasa ia memang cantik dan unik. Saya dan seorang rakan yang pakar dalam proses mengecat terus berbincang tentang bentuk, warna dan konsep. Bagi menyiapkan rekaan itu, dia memerlukan kira-kira sebulan untuk disempurnakan. Walaupun agak lama, ketelitian hasil kerjanya memang mengagumkan sekali. Saya betul-betul berpuas hati!”
Corak dan hasil kerja motosikal itu memang sangat halus dan kemas sekali. Sekali tengok memang tak puas hati... kena tengok banyak kali. Itulah yang dikatakan seni... berbaloi walaupun terpaksa tunggu lama.
Sejak memulakan pengubahsuaian, Azahari telah berbelanja hampir RM8,000 dan apabila semuanya siap, R25 barunya cukup bergaya dan ranggi sekali. Tidak kira ke mana sahaja dia pergi, pasti ada kenalan baru yang menyapa dan berkongsikan minat yang sama. “Sejak dulu lagi saya memang susah kalau nak jual motor termasuklah R25 Jerung ini. Suatu hari nanti pastinya saya akan beralih kepada jentera touring seperti Kawasaki GTR tetapi Yamaha R25 ini tetap saya simpan,” kata Azahari. RR
Popular