Z8 Merah & Biru Menyerlah
Kehadiran warna yang menarik menyebabkan sesebuah motosikal itu terserlah jika ia ditunggang di jalanan. Keunikan penciptanya pula menjadikan jentera ini menarik perhatian orang sekeliling. “Kawasaki Z800 sememangnya motosikal yang saya minati. Selain kemantapan enjin yang dimiliki pada jentera ini, rupa bentuknya juga memainkan peranan sehingga saya tertarik dengannya” kata Bintang Bulan Ini En. Ma’Raman.
Berasal dari Melaka tetapi beliau kini menetap di Selangor bersama keluarga tercinta. Selain bermotor, Man yang berumur 43 tahun turut meminati sukan bola sepak. Pada waktu lapang beliau sering menghabiskan waktu lapangnya dengan berkonvoi bersama rakan-rakan selain meluangkan masa dengan keluarga. “Berkonvoi merupakan salah satu sebab mengapa bermotor ini seronok. Kita pastinya dapat ramai sahabat motor yang baru. Bertemu dengan rakan-rakan baru dan lama memberikan peluang untuk kita berbual dan berkongsi pendapat mengenai minat masing-masing.”
Beliau pernah memiliki beberapa buah model Yamaha dan terakhir, Kawasaki Z800 merupakan jentera ke-9nya. Menurut Man, apabila berkonvoi seseorang penunggang itu secara tidak langsung menjadi lebih cekap dalam pengawalan mesinnya, berwaspada ketika berada di jalan raya dan mempunyai tindak balas yang pantas jika dalam situasi cemas.
Setiap orang pasti ada kenangan manis mahupun pahit. Peristiwa yang paling manis buat Man ialah ketika pertama kali berkonvoi menunggang Z800 bersama rakan-rakan selepas dua bulan dia membeli jentera model Kawasaki. Man berkonvoi ke negara jiran seperti Songkla, Danok, Koh Samui, Krabi dan Hatyai di Thailand selama 5 hari. “Mengembara dengan motosikal amat menyeronokkan tambahan pula dengan sahabat baik. Kita dapat berkunjung ke destinasi baru dan paling penting dapat menimba setiap pengembaraan itu supaya menjadikan kita penunggang berdisiplin dan cekap.”
“Berbanding model Z800 dan Z900 saya lebih minat dengan Z800. Model ini bukan sahaja cantik malahan nenunggangnya di lebuh raya tidak mengecewakan.
Walaubagaimanapun setiap orang ada minat yang tersendiri, tetapi bagi saya Z8 memang terbaik.”
Man mula pandai menunggang motosikal milik datuknya ketika berusia 12 tahun. Jentera pertama yang ditunggang ialah Honda C70. Biasalah bila pertama kali berada atas motor sangat seronok. Bermula saat itu, dia terus meminati dunia dua roda kerana motosikal adalah sebuah kenderaan yang mudah dibawa, parking, menyusuri jalan rasa tanpa kesesakan, mudah untuk dijaga dan kenikmatan ketika berada dalam kelajuan tinggi.
“Saya juga ingin menyuarakan sedikit luahan kepada sesetengah penunggang empat roda supaya memberi laluan kepada para penunggang motosikal di Malaysia ataupun di luar. Bila tiba sahaja waktu genting (kesesakan lalu lintas) amat sukar untuk kami mencelah di laluan sempit, lagi-lagi bila menunggang motosikal bersaiz besar,” kata Man dengan nada lembut.
Setelah lama menunggang dengan Kawasaki Z8, Man mula membuat keputusan untuk mengubah warna asal jentera tesebut kepada yang baru. Dia telah memberikan corak yang diminati kepada rakannya untuk proses melakar menggunakan tangan dan kemudian komputer. Man telah memilih warna untuk diserasikan pada motosikalnya. Timbulnya idea untuk warna seperti ini kerana dia tertarik pada beberapa buah motosikal yang berwarna-warni sewaktu berkonvoi di Johor. “Jarang saya lihat motosikal berwarna ini di Selangor. Bila saya memakainya seperti orang pertama yang menggunakannya.”
Untuk mendapatkan warna merah dan biru, proses mengecat perlu dilakukan dahulu iaitu warna hitam sebelum menampal stiker di seluruh badan motosikal. Proses mengecat bermula dari beberapa bahagian seperti mudguard, kepala, tangki dan bahagian belakang. Selepas semua permukaan mengecat telah kering dan rata, bahagian seterusnya adalah untuk menampal stiker. Ia memerlukan kepakaran untuk menampal supaya tiada kecacatan dan kerosakan di mana-mana bahagian ditampal. Antara bahagian yang paling sukar untuk ditampal adalah di bahagian bawah pelana. Sukar untuk melakukannya kerana mempunyai bahagian melengkung. Untuk menyempurnakannya ia perlu mengambil masa yang lama untuk disiapkan.
Man telah menggunakan cat 2K (jernih) untuk menampakkan lebih cantik dan tidak terkoyak. Dia telah mengecat motosikal itu sebanyak dua kali supaya stiker yang ditampal seperti hidup dan tahan lama. Untuk menambahkan lagi kecantikan pada motosikal ini, Man juga telah mengubah warna rim pada motosikalnya. Warna biru (depan) dan merah (belakang) untuk dipadankan dengan rekabentuk baharu motosikal beliau. Segala hasil kerja yang dibuat telah mengambil masa selama dua minggu untuk disiapkan. Ternyata wajah baru Kawasakinya semakin cantik dan menyerlah.
Man telah mengubah sistem ekzos standard kepada yang lain untuk menghasilkan bunyi lebih cukup mantap. “Dengan kos perbelanjaan sebanyak RM2,000 saja, kini ke mana sahaja motosikal yang dibawa pasti ada yang datang tengok. Rakan-rakan juga turut tertarik dengan rupa baharu motosikal saya. Bila dilihat, warna merah dan biru ini sama seperti dengan karakter dalam filem transformer iaitu “Optimus Prime” kata jiran-jiran saya.”
Sememangnya Man tiada hasrat untuk menjual motosikalnya kerana jentera inilah yang membawa dia ke mana-mana sahaja yang ingin dituju, berjumpa bersama rakan dan berkonvoi. Jika dahulu dia minat dengan model Yamaha R1 dan R6. Oleh kerana peringkat umur, pada masa sekarang inilah motosikal idaman dia, Kawasaki Z800. RR
Popular