Isu Terkini

Oktober 2024

Bintang / 12 Oktober 2020

Z8 Emas Bersinar Megah

Sekali pandang memang tak puas… kalau tengok dan renung motor ini memang kena lama-lama, baru puas. Nak tahu mengapa? Tarikannya sama seperti mana kita tengok barang kemas atau jongkong emas… itulah Bintang Bulan Ini, sebuah Kawasaki Z800 milik Mohd Raimi Nabil b. Abdul Razzaq dari Senawang, Negeri Sembilan.

Raimi Nabil atau lebih dikenali di kalangan rakan-rakan motor sebagai Bello berumur 30 tahun. Sudah berumahtangga dan kini bekerja sebagai Penolong Jurutera di JKR. Minatnya pada motosikal mekar sejak di usia muda lagi dan motosikal pertama dimilikinya ialah sebuah MZ Moskito 125. “Memang biasalah orang lelaki dengan dua roda tak boleh dipisahkan dan saya hanya pendam minat dari kecil sehingga mempunyai kerjaya sendiri.”

Bello hanya menunggang sebaik sahaja memperoleh lesen dan antara kenangan yang tidak boleh dia lupakan ialah dalam perjalanan pulang ke rumah ketika waktu maghrib. “Kira-kira satu kilometer sebelum sampai ke tempat kejadian, saya sudah tak ingat apa-apa sehinggalah ketika luka-luka saya sedang dibersihkan oleh emak dan ayah di rumah. Selepas itu barulah saya mendengar cerita daripada rakan-rakan dan mak ayah apa sebenarnya yang berlaku.”

“Menurut mereka, saya telah terlanggar seorang budak yang menaiki basikal. Walaupun basikalnya terus rosak tetapi budak itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Selepas hentaman itu, saya terbaring di tengah jalan untuk seketika dan walaupun luka di sana sini, saya masih mampu bangun untuk ke bengkel motosikal. Bila motor sudah siap dibaiki, saya pulang ke rumah dengan menunggang di hadapan rumah berulang kali tanpa menyedari perbuatan saya sehinggalah ayah datang memeluk saya. Saya dibawa masuk dan ketika disapu ubat, waktu itulah baru sedar sakit dan bertanyakan apa yang terjadi. Memang aneh sekali.”

Pada tahun 2010, Bello posting ke Kuching, Sarawak dan berkenalan dengan ramai kawan motosikal di dalam Kelab Rekreasi LC Crew Sarawak (KRLCCS). “Saya ketika itu membeli sebuah Yamaha 135LC dan bersama kelab inilah saya mula jatuh cinta dengan aktiviti berkonvoi dan menunggang bersama-sama rakan-rakan motor. Saya telah bermotor ke beberapa daerah di Kuching dan yang paling jauh ialah ke Miri. Walaupun penat tetapi pengalaman menunggang di destinasi baru memang cukup menarik sekali.”

Selepas beberapa lama menunggang Yamaha 135LC, Bello mula jatuh cinta pada jentera Kawasaki Z800 tetapi menyimpan hasratnya sehinggalah pulang ke semenanjung pada tahun 2015. Bello menyukai Kawasaki Z800 kerana rekabentuknya yang garang, bunyi yang mantap, prestasi enjin mengagumkan dan perkhidmatan lepasan jualan yang baik.

“Komuniti pemilik Z800 memang ramai sekali sehinggakan jika ada perhimpunan khusus untuk jentera Z8 sahaja sudah cukup besar seperti 'Bike Week'. Terdapat banyak kelas pemilik Z800 di seluruh Malaysia dan salah satu kebaikannya ialah kami (para pemilik Z800) dapat memberi bantuan kepada penunggang Z8 lain jika ditimpa masalah dalam perjalanan tidak kira di mana sahaja.”

Menurut Bello, menerusi kumpulan dalam aplikasi whatsapp, segala info dapat dikongsi dengan cukup pantas. Kalau ada masalah, kongsikan dalam kumpulan Z8 dan para pemilik Z800 yang berdekatan akan datang memberi bantuan tidak kira waktunya. Bello juga cukup berpuas hati dengan ketahanan enjin jentera Kawasakinya ini dan untuk mendapatkan alat ganti juga mudah, cepat dan harganya juga berpatutan.

Selepas bertukar daripada 135LC kepada model yang jauh lebih besar, Bello banyak menghabiskan masa dengan menunggang ke beberapa tempat khusus untuk mendapatkan keserasian dan gaya tunggangan yang selamat. Kira-kira setahun selepas membeli Z8, Bello membuat keputusan untuk mengubah warna asal menjadi warna emas agar tampak lebih menarik, unik dan menyerlah. Dia meneliti model-model motosikal emas lain di internet untuk mendapatkan lebih maklumat dan idea. Warna emas memang cantik tetapi agak sukar untuk dilakukan dengan kemas.

“Untuk mendapatkan warna emas yang benar-benar berkualiti, proses mengecat perlu dilakukan sebanyak tiga lapisan iaitu yang pertama berwarna putih diikuti pula dengan warna krom. Selepas semua permukaan krom telah sempurna dan cantik, baru ianya 'disalut' pula warna emas. Proses mengecat ini memerlukan kepakaran agar tiada kecacatan pada mana-mana bahagian yang diwarnakan.”

Proses mengecat bermula dari beberapa bahagian utama seperti bahagian hadapan, madgad, pelindung enjin, 'ekor' belakang dan tangki. Selepas siap, barulah Bello membeli beberapa aksesori seperti tempat pemijak, tuas brek, tuas klac dan chain adjuster untuk ‘ditukar’ menjadi emas. Apabila satu persatu bahagian Z8 ini dipasang semula, ternyata wajah baru Kawasakinya semakin cantik dan menyerlah.

Untuk diserasikan dengan bentuk Z8 Bello yang sudah cukup mengancam, dia menukar ekzos asal kepada jenis slip-on yang mempunyai bunyi cukup mantap. Z8nya bagaikan bergema dan dapat dikenali dari jauh lagi.

Dengan berbelanja kira-kira RM3,500, ternyata Kawasaki Z800 milik Bello telah bertukar daripada jentera biasa kepada yang luar biasa.“Ini mungkin satu-satunya Kawasaki Z800 emas di Malaysia dan sudah pasti mendapat perhatian setiap kali saya berhenti di mana sahaja. Warnanya yang cukup menyerlah adalah sebab utama mengapa Z8 saya diminat ramai.”

Sememangnya Bello tiada hasrat untuk menjual mesin emasnya ini kerana terlalu sayangkannya. Jika dahulunya dia mengimpikan untuk menunggang sebuah Z800 tetapi kini Bello sedang mengidam sebuah Kawasaki ZX-10R kerana terlalu menyukai pretasi enjinnya, mengagumi rekabentuknya dan menyintai kemampuannya beraksi dengan mantap di jalanan biasa mahupun di litar.

“Biarlah saya ada dua atau tiga lagi motosikal tetapi untuk 'bercerai' dengan Z8 ini memang susah sebab ia adalah buah hati saya,” terangkan Bello. RR

Isu Pada

Mei 2017

Popular

  • Warta Roda

    Lagi kes bengkel terbakar. Kali ini 7 buah motosikal hangus dijilat api!

  • Dari Litar

    Marquez Jatuh...Pecco Raih Juara

  • Warta Roda

    Lelaki tumbuk pemandu wanita selepas anak dilanggar.

  • Model Baru

    Vespa GTS 300 Classic - Harga RM31,900

  • Warta Roda

    Nahas Treler & Kereta: 5 Mangsa Disahkan Maut

Artikel berkaitan

Yamaha XMAX 250 - Arai Nicky Hayden

Kawasaki H2 Gundam Dari Dungun

Yamaha R25 Jadi MT25 Jadi XSR25

Honda Fame 'Rare' Milik Orang Temerloh

Yamaha YZF-R25 'Garang' Dari Melaka

Yamaha Nmax Doraemon Raih Populariti

Modenas Jaguh Custom 'Ride To Nature'

Yamaha 135LC Custom Moped

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Nahas Treler & Kereta: 5 Mangsa Disahkan Maut

Tayar hadapan sebelah kanan sebuah treler pecah dipercayai punca kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer 58.1 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan di sini malam Khamis.

Warta Roda

Honda CBR150R Hadir Dengan Warna Serba Baru!

Boon Siew Honda Sdn. Bhd. dengan bangganya memperkenalkan Honda CBR150R dengan skema warna baharu lebih menarik. Warna serba menawan ini adalah inspirasi daripada DNA Honda Racing ikonik seperti mana yang dilihat pada model lagenda CBR1000RR-R, CBR650R dan CBR250RR.

Warta Roda

Lagi Kereta Langgar Lampu Isyarat Merah Rempuh Dua Motosikal

Lagi nahas tentang kereta langgar lampu isyarat Merah dan merepun dua motosikal.

Warta Roda

Penunggang motosikal maut terbabas ke dalam parit

Seorang lelaki berusia 57 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan masuk ke dalam parit di Jalan Kampung Engkeramut.