Benelli TNT135: Rekaan Unik Tersendiri
Keluaran edisi Mei kali ini memaparkan sebuah jentera Benelli TnT 135 yang diubahsuai mengikut cita rasa pemiliknya tersendiri untuk menampakkan jentera yang lebih menarik lagi. Bintang Bulan Ini, iaitu Mohd Faridz Bin Abd Aziz yang berasal dari Johor kini menetap di Kuala Lumpur bersama keluarga.
“Motosikal akan menjadi lebih cantik dengan hasil kreativiti sendiri. Daripada rupa asal bertukar ke wajah yang berbeza setelah diubahsuai, di situlah saat manisnya apabila motosikal rekaan kita menjadi perhatian ramai. Ini merupakan salah satu hobi saya dari dulu sehingga kini dan ia dapat menenangkan fikiran serta meningkatkan ilmu pengetahuan. Selain itu, ia juga menjadikan hobi kita lebih bermakna dengan adanya aktiviti di masa lapang seperti berkonvoi bersama kawan-kawan maupun ketika mengilatkan motosikal kesayangan,” kata En. Faridz.
Beliau berumur 34 tahun dan lebih dikenali di kalangan rakan-rakannya sebagai Riz. Sudah berkahwin dan bekerja dengan PDRM serta sangat meminati aktiviti sukan takraw dan rugbi kerana ianya adalah aktiviti yang mampu meningkatkan kecerdasan minda, stamina dan pelbagai lagi. Dia pernah mewakili daerah dan PDRM dalam kedua-dua sukan tersebut. Pengalaman paling manis buat Riz ialah ketika terpilih sebagai pemenang dalam satu peraduan telco yang membawa pulang wang tunai yang agak lumayan. Dia juga tidak sangka telah menjadi orang yang bertuah mendapat hadiah tersebut.
Walaupun sudah mengenali dunia permotoran sejak kecil lagi, Riz sudah mula pandai menunggang ketika berusia 15 tahun dengan motosikal Honda C70 milik bapanya. “Pada waktu itu saya suka menunggangnya. Ia senang dibawa, mudah untuk diselengara dan menjimatkan petrol. Kadang-kadang dengan senyap saya tunggang motosikal ayah saya untuk berjalan-jalan, walaupun ketika itu masih tiada lesen lagi” kata Riz sambil ketawa.
Motosikal pertama yang dimilikinya ialah Yamaha R6. Model ini bukan sahaja cantik, malah mempunyai rupa hadapan yang agresif. Kerana keinginan untuk mencuba sebuah motor touring, Riz memiliki sebuah Kawasaki ER-6n sebelum menukar kepada KTM Duke 250. Sesetengah orang memang suka mengubah cita rasa terhadap motosikal kerana ingin merasa sendiri prestasi setiap jentera yang ditunggang. Ada ketika Riz mula meminati Vespa 150 dan terus dimilikinya.
Selepas beberapa lama menunggang Vespa 150, Riz mula jatuh cinta terhadap jentera Benelli TnT 135 dan menyimpan hasrat untuk membelinya pada harga RM8,000. Riz menyukai TnT 135 kerana rekabentuk yang sporty, kecil, mudah dibawa dan prestasi enjin yang mengagumkan.
Setelah membelinya Riz menyertai sebuah kelab permotoran TnT 135 Malaysia dan mula mengikuti aktiviti konvoi bersama rakan-rakan ke beberapa tempat seperti Melaka dan Port Dickson. Banyak pengalaman yang Riz perolehi ketika menunggang ke pelbagai destinasi. Disamping turut dapat berkenalan dengan rakan-rakan baru yang menunggang jentera seperti ini.
Pengubahsuaiaan: “Sesetengah rakan saya ada yang telah mengubahsuai motosikal mereka. Ini membuatkan saya lebih tertarik untuk mencuba. Banyak aksesori yang dipasang pada jentera ini,” kata Riz.
Bahagian pertama yang dipilih oleh Riz untuk diubahsuai adalah sticker body motosikal kepada yang baru. Rekabentuk corak telah direka sendiri oleh Riz. Contoh design telah diambil serba sedikit daripada internet supaya dapat dijadikan corak untuk satu motor. Selepas siap, design telah dihantar kepada rakannya untuk proses printing. Di situ mereka akan memainkan warna yang sesuai untuk diserasikan pada warna badan motosikal sebelum dicetak.
Kemudian proses warp sticker akan dilakukan pada badan motosikal. Pada permulaannya, base colour perlu diutamakan terlebih dahulu sebelum membuat langkah yang seterusnya. Ia dibuat secara berperingkat mengikut bahagian-bahagian yang ditetapkan seperti kepala, tangki, sisi badan dan sebagainya. Ia memakan masa empat hari untuk menyempurnakan keseluruhan body.
Rim depan dan belakang masih dikekalkan bentuk yang lama. Riz hanya menukar dari segi warna (fluorescent) sahaja iaitu di depan manakala belakang berwarna hitam dengan menambah sedikit corak kotakkotak seperti warna rim hadapan. Untuk menjadikan ia lebih menarik lagi, dia telah menambah sedikit stiker timbul yang dilekatkan di kedua belah tayar hadapan dan belakang. Pandang dari jauh sudah nampak tulisan timbul yang tertera pada tayar.
Untuk menampakkan lebih menarik lagi, Riz telah membeli footrest berwarna emas melalui perniagaan online. Barang tersebut telah ditempah dari negeri China. Inilah kelemahan bila membeli barang dari luar, risikonya mesti ada seperti bracket tidak sama, kedudukan lubang skru tidak sepadan dan lain-lain. Footrest dibeliya adalah berjenis custom yang bukan dikhaskan untuk jentera Benelli TnT. Antara aksesori tambahan lain, Riz telah menambah sejenis lampu projektor LED. Penggunaan lampu ini menambahkan lagi kecerahan menunggang pada waktu malam supaya dapat fokus pada sesuatu perjalanan.
Untuk diserasikan dengan Benelli TnT 135 ini, Riz telah menukar ekzos asal kepada jenis slip-on, barulah jentera ini lebih sedap didengar. Pulas sahaja keluarlah bunyi “vroomm” yang ternyata menawarkan bunyi yang sangat mantap.
Dengan perbelanjaan sebanyak RM3,000, Benelli miliknya ternyata mendapat perhatian setiap kali dia berhenti. “Motosikal ini tidak ditekankan pada kelajuan, ia direka untuk satu jenis fun bike. Walau modifikasi macam mana sekali pun ia tetap selesa untuk ditunggang. Saya amat berpuas hati dengan rekaan sekarang ini, jika ada peluang mungkin akan ada perubahan yang bakal dilakukan mengikut masa dengan cara saya tersendiri. Kalau diikutkan dalam masa setahun sudah tiga kali saya mengubah warna badan motosikal ini,” kata Riz.
“Antara motosikal yang paling saya minati adalah Ducati Panigale dan Multistrada. Saya memang suka dengan rekabentuk kedua-dua model ini. Bila ada rezeki suatu hari nanti saya akan milikinya,” komen Riz menutup bicara. RR
Popular