D'King Hakim Dari Kamunting
Selalunya apabila kita berbual dengan remaja yang minat pada dunia motosikal, kebanyakannya suka pada model sportbike kerana kelajuan dan bunyinya yang garang. Apabila bertemu dengan jejaka kacak dari Kamunting ini, dia ternyata agak berbeza kerana lebih berminat pada jentera lama. Siapa dia? Itulah Bintang Bulan Ini, Muhammad Nur Hakim bin Lukman.
Berusia 19 tahun dan dilahirkan dalam keluarga yang cukup dekat dengan dunia motorsport seperti Kejohanan Cub Prix Malaysia. Ayahnya, En. Lukman pernah bertugas sebagai Setiausaha Kejohanan (Secretary of the Meet) dan ibunya pula sebagai Penjaga Masa (Lap Scorer). Walaupun begitu, ia bukanlah satu kelebihan bagi Hakim untuk mendekati kenderaan dua roda sewenang-wenangnya.
Selepas berumur 15 tahun barulah ayahnya mengajar cara-cara menunggang motosikal dengan betul malah ayahnya sanggup menyewa sebuah scrambler selama seminggu (di Langkawi) demi membiasakan anak kesayangannya itu dengan jentera klac manual. Selepas bertambah cekap, barulah Hakim dibenarkan menunggang jentera yang lebih besar iaitu Kawasaki ER6n sehingga berjaya mendapat lesen B Full pada umur 16 tahun.
Hakim juga pernah menyertai latihan pengendalian motosikal di trek pengujian motosikal Boon Siew Honda di Batu Kawan bersama ayah, ibu dan dua orang rakannya. Lebih membanggakan, penyertaan mereka ini telah direkodkan oleh Boon Siew Honda sebagai keluarga dan orang awam yang pertama menjalani kursus pengendalian motosikal di trek pengujian motosikal tersebut.
“Saya memang suka pada motosikal kerana ia memberi ketenangan dan rasa bebas setiap kali menunggang. Antara konvoi yang pernah diikuti ialah ke Bukit Merah kira-kira tiga tahun yang lalu dengan menunggang Honda Click bersama 10 orang rakan-rakan yang menunggang pelbagai jenis jentera lain.”
Kenangan paling manis buat Hakim ialah ketika dapat bertemu, berbual dan bergambar dengan pelumba Valentino Rossi di Litar Antarabangsa Sepang pada tahun 2012. “Itu pengalaman manis tetapi saya juga pernah terlibat dalam kemalangan ketika pulang dari sekolah. Walaupun cuba sorokkan kejadian itu, segala terbongkar apabila mak melihat motosikal telah calar balar. Nasib baiklah ayah tidak mengamuk sebaliknya memberi nasihat agar lebih berhati-hati ketika menunggang,” cerita Hakim.
Hakim juga berkesempatan berjumpa dengan para pelumba tersohor tanahair seperti Wazi Abdul Hamid, Megananthan, Hafiz Syahrin, Shahrul Yuzy dan ramai lagi.
Pengubahsuaian
Pada awal tahun 2014, Hakim hampir-hampir berjaya mendapatkan motosikal yang diidam-idamkannya iaitu sebuah Yamaha RXZ (terpakai) tetapi hasrat untuk membeli jentera itu tidak tertunai kerana harga yang ditawarkan penjual agak tidak munasabah. Oleh itu, ayah Hakim membelikannya sebuah enjin dan casis Suzuki GT 250 dari Bukit Mertajam untuk diubahsuai menjadi sebuah motosikal café racer.
Aksesori pertama yang dibelinya ialah set tangki dan hornet (ekor) dari Jakarta. Set fairing, set panel meter rpm dan kelajuan pula didapati dari Bangkok. Menurut Hakim, dia agak kecewa apabila mendapati barangan yang dibeli melalui pos ini saiznya agak kecil untuk dipadankan dengan GT 250.
Nasibnya cukup baik... kebetulan ketika itu ada sebuah Yamaha RX 100 tersadai yang hendak dijual di Tanjung Piandang, Parit Buntar. RX ini bermasalah pada fork dan swing arm serta tidak ada karburetor. Setelah membeli RX ini, Hakim kemudiannya merujuk pelbagai majalah motosikal dan juga internet bagi mendapatkan idea untuk dipadankan kepada RX café racer.
Setelah berbincang dengan ayahnya, Hakim memilih untuk memantapkan rupabentuk jenteranya dengan skim warna motosikal lumba Yamaha Kenny Robert. Ayah Hakim kemudiannya merekabentuk semula café racer ini menggunakan program autocad sebelum mengemukakannya kepada Ali, seorang pemilik bengkel untuk proses seterusnya.
RX ini kemudiannya dilengkapkan dengan fork Kawasaki KIPSS 150, karburetor Yamaha 125ZR dan lengan ayun Yamaha RXS 115. Ali juga membuat overhaul engine, melengkapkan peralatan lain serta kerja mengecat mengikut skim warna King Kenny Robert termasuk sebuah topi keledar milik Hakim sekali. Tapak khas memasang fairing terpaksa dibuat semula untuk menyesuaikan kedudukan lampu, meter, kabel dan bar handel jenis clip-on.
Untuk keselesaan menunggang Hakim memilih tayar hadapan bersaiz 18” 90/90 (2.75/3.00) dan tayar belakang 18” 110/90 (3.75/4.00). Hakim juga memilih penyerap hentak bergas serta pelana custom made untuk keselesaan menunggang. Asbestos wrapper - pembalut ekzos lori digunakan untuk membalut ekzos RX ini dari manifold sehingga pangkal ekzos. Selain tampak kemas dan cantik, ia juga dapat melindungi penunggang daripada terkena bahang panas. Setelah hampir enam bulan, lengkaplah penjelmaan Café Racer Kenny Robert yang dikenali sebagai D’king.
“Saya bercadang menaiktaraf D’king ini dengan menukar karburetor lebih besar iaitu karburetor Yamaha TZM150. Untuk penapis udara, saya mungkin memilih penapis udara kereta. Di samping menggunakan tayar tanpa tiub yang lebar tapi mengekalkan ciri café racer dengan masih menggunakan rim jejari.”
Setakat ini D’king hanya digunakan untuk bersiar-siar sekitar Taiping dan paling menggembirakan Hakim dan ayahnya, jentera unik ini pernah mendapat tempat kedua dalam pertandingan Rekabentuk Cafe Racer di Taiping. Walaupun menyambung pelajaran di Kolej Politek Mara Ipoh, Hakim tidak menunggang jentera 'juara'nya ini tetapi berulang-alik dari asrama ke kolej dengan menggunakan motosikal Honda EX5. Hakim menyimpan hasrat untuk menunggang bersama ayahnya ke 1000 corner (Mae Hong Son) di Thailand.
Bila ditanya sama ada berminat dengan perlumbaan, Hakim mengakui turut berminat tetapi menyedari saiz badannya yang besar dan tinggi yang tidaklah begitu sesuai untuk menjadi seorang pelumba tetapi dia lebih cenderung untuk menyambung legasi ayahnya dalam bidang penganjuran motorsport terutama sebagai track designer.
Pada mereka yang ingin menghubungi Hakim boleh berbuat demikian melalui FB Hakim Eldy atau email [email protected]. RR
Popular