Yamaha 135LC Custom Moped
Kreativiti dan seni adalah satu gabungan mantap yang membolehkan seseorang itu merekacipta apa jua benda dengan sangat cantik dan unik. Itulah gambaran terbaik yang boleh kami berikan buat Bintang Bulan Ini, Sdr Nik Rahizal Bin Nik Mutaffa Kamal yang lebih mesra dengan panggilan Nik.
Nik berumur 30 tahun, sudah berumah tangga dan minat dengan pelbagai aktiviti bermotosikal seperti pengubahsuaian dan berkonvoi ke pelbagai destinasi menarik. Peminat nasi kandar dan burger ini juga merupakan seorang Youtuber yang berkongsikan minatnya terhadap dunia dua roda di laman sosial. Layari laman youtube: Nik Rahizal (NR Official).
Minatnya dalam dunia motosikal berputik sejak di zaman remaja lagi. Pada usia 15 tahun, Nik sudah boleh menunggang, bermula dengan skuter Suzuki VR125. Motosikal yang digunakan kini ialah Yamaha 135LC V2 tetapi Nik juga pernah memiliki Yamaha Lagenda 110ZR.
Idea untuk mengubahsuai jentera Yamaha ini adalah untuk mengenengahkan kreativiti Nik yang cukup mengagumkan. Kata Bintang dari Pulau Pinang ini, untuk menukar hampir keseluruhan rekabentuk Yamaha tersebut memerlukan masa dan kemampuan untuk berbelanja yang sememangnya menggunakan kos yang agak tinggi.
“Projek ini dimulakan dengan memasang aksesori terlebih dahulu. Aksesori-aksesori ini dibeli dari kawan, kenalan dan online. Selepas itu, barulah saya membeli dan memasang cover set utama. Jujurnya, ia adalah satu proses yang agak sukar dan memerlukan kesabaran kerana setiap bahagian perlu diukur dengan tepat.”
“Untuk tidak senget dan yang paling penting ia harus berdaya tahan khususnya apabila ditunggang dalam kelajuan tinggi. Oleh itu, selain pemasangan, ujian perlu dilakukan beberapa kali.”
Nik turut menukarkan semula lampu asalnya kepada HID Projector Headlamp + Universal Spot Light yang bukan saja cantik tetapi juga memberikan suluhan yang terang dan tepat. Baginya, walaupun ingin jadikan jenteranya kekal cantik, faktor keselamatan tidak wajar diremehkan.
Selepas berpuas hati dengan pemasangan 'badan' baru serta aksesori-aksesori dengan sempurna, proses terakhir yang bakal menyerlahkan keseluruhan jentera milik Nik ini ialah proses mengecat. Bagi meraih kualiti yang tinggi, Nik membuat keputusan untuk menggunakan kaedah airbrush dengan mengabadikan rekacorak yang selalu digunakan pada topi keledar Valentino Rossi. Seperti yang kita tahu, Valentino Rossi sentiasa menggayakan topi keledar dengan corak yang berbeza, unik dan sangat menarik.
“Saya memilih elemen Valentino Rossi disebabkan beliau adalah seorang pencinta motosikal dan pelumba lagenda. Pelumba seperti Valentino Rossi sukar dicari ganti dan memiliki aura yang lain daripada yang lain.”
Antara aksesori yang menjadi pilihan Nik dalam proses pengubahsuaian ini ialah:
- Cover set Hybrid Fullset (Custom Fiber)
- Belly Pan (Fiber)
- Handle X1R + universal switch
- Throttle grip universal
- Brake Lever Racing Boy
- Meter RPM KOSO
- Mudguard Kawasaki Ninja 250
- USD Alloy Fork Cover
- Sport Rim Racing Boy SP522
- Disc Brake Racing Boy (Full Alloy)
- Brake Caliper Racing Boy (2-piston)
- Universal Fork Slider
- Alloy Engine Cover Racing Boy
- Nob1 Titan Exhaust
- Chain Tensioner Racing Boy
- Chain Adjuster Racing Boy
- Alloy Chain Cover Racing Boy
Untuk menukar bentuk asal Yamaha 135LCnya menjadi seistimewa ini memakan masa yang cukup lama. Projek Nik ini bermula pada tahun 2015 sehingga pada tahun 2018 dengan menelan kos sekitar RM13,000. Hasilnya? Tidak dinafikan, ia memang sangat menarik. Nik sering membawa 135LC barunya ke acara-acara Motorshow yang dianjurkan di pelbagai tempat di kawasan utara seperti Pulau Pinang, Kedah dan Perak.
“Saya amat seronok dan berbangga apabila berjaya meraih kemenangan di beberapa pertandingan motosikal cantik yang diadakan. Itulah juga peluang untuk saya menikmati pengalaman berkonvoi dan kembara bersama LC ini. Buat masa ini memang tidak ada niat untuk menjualnya lagi melainkan jika ada tawaran yang menarik.”
“Kenangan pahit bagi saya ialah ketika kehilangan ibu tercinta pada tahun 2017 yang lalu. Selepas ketiadaan beliau (ibu), saya tidak lagi minat untuk mengubahsuai motosikal. Mujurlah saya mempunyai sahabat-sahabat dan orang terdekat yang banyak memberikan kata-kata semangat untuk meneruskan hidup. Selepas itu barulah saya dapat kuatkan diri untuk kembali bermotosikal. Syukurlah.”
Menurut Nik, dia sedang bercadang untuk menggunakan set tayar yang lebih besar di bahagian hadapan dan belakang cuma belum pasti sama ada untuk menggunakan barang-barang dari SBK atau Pro Arm Honda NSR. Semuanya bergantung kepada kemampuan Nik pada masa itu.
“Motosikal idaman? Jika ada rezeki, saya sentiasa sukakan Yamaha YZF R6 kerana bentuknya yang cukup mantap serta memiliki spesifikasi enjin serba moden,” RR
Popular