GPX Legend Gentleman 200 Kini Tampak Lebih Menyerlah Buat Shah
Sesetengah pencinta dua roda sanggup membelanjakan duit untuk mengubahsuai jentera masing-masing supaya nampak lebih cantik. Bagi mereka, dengan pengubahsuaian ini, ia dapat memberikan kepuasan tersendiri kepada pemiliknya. Segala penat dapat dirasakan sangat berbaloi dengan hasilnya yang mampu menarik perhatian sekeliling.
Bintang Bulan Ini, Syahmir bin Idris atau lebih dikenali sebagai Syah berumur 27 tahun dan sangat gemarkan makanan masakan Thai. Beliau yang merupakan seorang penjual barangan percetakan kini tinggal bersama keluarga tercinta di Shah Alam. Selain suka dengan sukan rugby, silat, gym dan melakukan aktiviti lasak, hobi pada masa lapang bagi Syah adalah ride bersama rakan-rakan serta mengembara.
Antara pengalaman terindah yang beliau tidak dapat lupakan ialah semasa merantau bersama adiknya serta rakan mengembara ke seluruh Semenanjung dengan bermodalkan RM300 sahaja selama sebulan setengah. “Sebelum ini saya tinggal di Mesir selama 14 tahun sejak berumur 13 tahun kerana pembelajaran di sana. Sebaik sahaja pulang ke tanah air, saya dan adik merantau seluruh semenanjung untuk mengenali komuniti di Malaysia dengan lebih dekat. Kami mengembara dengan menaiki bas dan juga berjalan kaki. Semasa mengembara, kadang-kadang kami terpaksa tidur di tepi pondok ataupun menumpang di rumah orang. Dengan pengembaraan seperti ini, kami dapat berkenalan dengan ramai orang dari pelbagai jenis bangsa dan agama. Memang satu pengalaman yang cukup hebat dalam hidup saya,” kata Syah.
Setiap orang pasti ada kenangan pahit yang tidak dapat dilupakan. Semasa berkonvoi ke Fraser Hill, Syah yang menunggang jentera Legend Gentlemen 200 terlibat dengan satu kemalangan semasa berselisih dengan kenderaan lain di satu selekoh. Ketika itu, beliau yang ingin mengelak dari lubang terpaksa menjatuhkan diri daripada terjatuh ke dalam gaung. Mujur Syah tiada kecederaan yang serius hanya jenteranya sahaja yang mengalami kerosakan sedikit. Walaupun dengan keadaan tangki kemek dan bar hendal senget, beliau tetap meneruskan perjalanan untuk ke destinasi yang dituju.
“Seawal umur 14 tahun lagi saya sudah pandai menunggang motosikal. Jentera pertama yang saya naiki ialah model Honda CG milik seorang pakcik semasa di Mesir. Dalam hati memang sangat teruja apabila dapat menunggang sebuah motosikal. Kita dapat pergi ke mana sahaja yang ingin dituju. Sejak dari itu saya sentiasa inginkan sebuah motosikal sendiri.”
GPX Legend Gentleman 200 merupakan jentera pertama yang dibelinya pada tahun 2018. Beliau memilih model ini kerana menawarkan bentuk yang cukup menawan dan juga mampu milik. Kini beliau sudah pun memiliki dua buah motosikal iaitu Gentleman 200 dan Yamaha Avantiz.
Syah telah membangunkan satu kumpulan yang pada awalnya hanya dua orang sahaja. Tidak lama kemudian, beliau membangunkan satu komuniti yang digelar sebagai ‘GPX Brotherhood’ di dalam media sosial dan kini mampu mengumpul sekitar 300 orang penunggang jentera GPX.
Pengubahsuaian:
Timbulnya idea untuk membuat pengubahsuaian selepas melihat rekabentuk model tersebut sangat mudah untuk diubah dari segi klasik dan moden klasik. Proses pertama yang dilakukan adalah pada bahagian bar hendal. Menurut Syah, hendal asal pada jenteranya lebih rendah dan lurus. Beliau telah menukarkan bar hendal jenis Rizoma yang lebih tinggi sedikit berbanding yang lama untuk mendapatkan posisi tunggangan yang berbeza. Untuk memasangnya sangat mudah dan cepat kerana ia tidak perlu mengubahsuai apa-apa dari segi tapak.
Untuk tampak lebih menyerlah, beliau telah mengubah badan motosikalnya kepada warna Grey. Manakala pada bahagian lampu pula ditukarkan kepada jenis yang lain. Dari segi bentuk (berbentuk bulat) masih sama seperti yang lama kerana beliau ingin mengekalkan ciri-ciri klasik pada mesin miliknya. Menurut Syah, lampu baru ini hanyalah untuk sementara waktu. Dia dan mekaniknya akan melakukan perubahan lain pada lampu utama untuk menghasilkan rupa yang lebih garang.
Syah telah menukarkan tabung ekzos yang asal kepada jenis SC Project agar jenteranya nampak lebih gah lagi. Manakala di bahagian paip ekzos beliau telah menggunakan jenis power bomb. “Apabila kedua-duanya telah disambungkan, saya terus mengambil kunci motor untuk menghidupkan motosikal. Bunyi yang keluar daripada sistem ekzos tersebut ternyata lebih garang, nyaring dan menepati kehendak saya.”
Pelananya telah dipotong di bahagian penunggang dan juga pembonceng untuk mendapatkan bentuk yang cantik. Proses ini agak rumit sedikit dan memerlukan penelitian tepat kerana pemotongan yang salah akan merosakkan proses pengubahsuaian pelananya. Walaupun nampak sukar, hasilnya memang mengagumkan. Sarung pelananya disaluti jenis kulit serta membuat nombor lapan di tempat pembonceng. “Saya memilih nombor ‘8’ kerana ia merupakan angka kegemaran saya. Disamping itu, nombor tersebut juga merupakan bulan kelahiran saya,” kata Syah.
Enjin pada jenteranya masih dikekalkan yang asal. Menurut Syah, beliau akan mengubahsuai enjin pada masa akan datang untuk meningkatkan lagi hantaran kuasa pada motosikalnya.
Dengan berbelanja tidak melebihi RM2,000 melalui berbagai proses, rupa terbaru jenteranya memang nampak berbeza daripada yang asal. Pelbagai komen yang diterima, ada yang positf dan ada negatif. Syah berkata, jenteranya tidak akan dijual kepada sesiapa kerana beliau amat menyayanginya. Jika diberi peluang, Syah ingin memiliki sebuah motosikal idamannya iaitu Triumph Scrambler. RR
Popular