Yamaha Ego V1 - 'Restoration' Menarik
Bagi peminat skuter, Yamaha Ego adalah antara model yang diminati ramai kerana ia comel, mudah diselenggara dan sesuai untuk semua golongan penunggang tidak kira lelaki mahupun perempuan. Bintang kali ini memang istimewa. Namanya ialah Khairul Anuar Khairudin yang berasal dari Tanjung Karang tetapi kini menetap di Gombak, Selangor.
Berumur 34 tahun, sudah berkahwin dan bekerja sebagai seorang Pereka Industri. Selain bermotosikal, hobi Khairul ialah mengumpul kereta kecil atau hotwheel kustom. Minatnya pada motosikal lahir sejak kecil lagi dan antara kenangan awalnya ialah menunggang buat pertama kalinya ketika berusia lapan tahun. Motor siapa? Motor Suzuki RC100 milik atuknya yang digunakan ke sawah.
“Saya sukakan motosikal kerana ia mudah dan cepat. Kita dapat pergi ke mana sahaja tanpa perlu risau pada kesesakan jalan raya. Motor pertama milik saya ialah Yamaha Super 88. Dengan motosikallah saya pernah terlibat dengan satu insiden yang bagi saya adalah pengalaman manis yang tidak akan dilupakan. Enjin yang panas selepas lama di atas jalan menyebabkannya rosak/’jem’ sehinggakan saya hilang kawalan terus melanggar pokok pisang tapi mujurlah tidak ada kecederaan serius,” kata Khairul.
Antara motosikal yang pernah Khairul miliki ialah Yamaha Super 88, Yamaha SSTwo, Yamaha Ego dan Yamaha XJ6. Yamaha Ego V1 milik Khairul adalah kepunyaan arwah ibunya dan pada masa yang sama dia juga minat dengan motor-motor lama. Menurut Khairul, motor-motor lama ini meninggalkan banyak memori dan mempunyai nilai-nilai nostalgik.
Yamaha Ego miliknya memang cukup berjasa. Ketika masih belajar, Khairul gunakannya untuk berulang alik dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dan sekarang, ia digunakan sebagai alat pengangkutan harian ke tempat kerja.
“Antara pengalaman yang sukar dilupakan ialah ketika balik dari kerja. Valve putus di Lebuhraya Persekutuan yang menyebabkan saya terpaksa menolak sampai ke Seksyen 2. Saya tinggalkan di bengkel dan naik Grab untuk pulang ke rumah. Bila motor dah siap, enjin dirasakan sudah tidak sebaik dulu dan saya terus malas nak baikinya lagi.”
Namun begitu, apabila ibunya meninggal dunia, hati Khairul terdetik untuk mengambil keputusan membaikinya semula dan teruskan amal jariah untuk ibunya. Khairul menggunakan kembali Egonya ke tempat kerja dan membawa anak-anak bersiar-siar di waktu lapang.
“Ketika ketiadaan Ego (rosak), saya berulang alik ke tempat kerja dengan menunggang Yamaha XJ6 yang dibeli dengan ayah saya. Bila lama-lama pakai, saya rasa ia tidak begitu menyeronokkan kerana agak laju sedangkan saya suka menikmati pemandangan sewaktu menunggang,” katanya.
Pengubahsuaian:
“Pada mulanya saya ingat nak lakukan full overhaul pada bahagian enjin sahaja, asalkan boleh diguna untuk jalan jauh mahupun kembara. Tapi apabila difikirkan semula, saya rasa lebih baik baikpulih sepenuhnya cuma ‘budget’ saya agak kecil. Hanya melalui simpanan dapatlah saya membeli alat ganti yang saya ingini.”
Konsep pengubahsuaian model ini adalah ke aras Touring Moped kerana itulah minatnya. Untuk tunggangan yang selesa dan stabil, skuternya dilengkapkan dengan fork hadapan, penyerap hentak berspring dan bakul depan didapatkan di Thailand. Bakul ini memang lebih praktikal terutamanya untuk membeli barang keperluan seperti beras, ikan dan sayur-sayuran.
Pelana diganti dengan jenis red stripe model pertama yang tampak lebih menarik dan kemas. Kotak barang belakang baru dipadankan pada monorack GIVI yang amat sesuai dengan skuternya. Untuk jadikan proses membrek lebih efisien, Khairul menggunakan brek cakera jenis Nissin – memang lebih mantap! Ego Khairul dilengkap dengan tayar-tayar bersaiz 80/90 di depan dan 90/90 di bahagian belakang.
Ok kerana proses pengubahsuaian ini dilakukan semasa Pelaksanaan PKP, ia agak memakan masa yang lama. Khairul menghabiskan sekitar lima bulan untuk menyempurnakan keseluruhan skuternya dengan kos keseluruhan mencecah RM2,000. Kini skuter Yamaha Ego V1 milik Anuar cantik, berseri-seri yang lebih selamat digunakan.
“Jika ada peluang, saya akan membeli sebuah MotoCompo yang lengkap dengan pakej turbo. Model ini bukan sahaja cantik malah ia adalah satu ciptaan kreativiti tinggi yang lain daripada yang lain.” RR
Popular