Honda C70 Dari Kedah - Motor Klasik Cun Melecun
Dunia retro sememangnya mempunyai ramai peminat, tidak kira lelaki mahu pun wanita, tua atau muda. Selain menggamit memori silam, rekabentuknya yang benar-benar unik dan memiliki daya tahan enjin membuatkan ia sentiasa dicari oleh mereka yang menjadikannya barangan koleksi yang berharga hingga ke hari ini.
Salah seorang daripada pencinta sejati jentera retro ialah saudara Abdul Razak Bin Hj Buhari atau lebih mesra dengan panggilan Jaq Kapcai. Berasal dari Kedah, berumur 51 tahun dan sudah pun berumah tangga dengan empat orang cahaya mata (sepasang lelaki dan perempuan). Jaq Kapcai berkerja sebagai seorang Eksekutif Jualan dan pencinta kembara atau melancong. Dia juga merupakan Pengerusi Club Antique Motor Kulim yang sentiasa aktif mengatur dan menganjurkan aktiviti berkonvoi dan kerja-kerja amal.
Jaq Kapcai sudah mula menunggang motosikal sejak di usia 11 tahun dengan menaiki motosikal, Honda C70 lampu bulat milik ayahnya. Motosikal pertamanya pula ialah Honda Fame, memang peminat Honda! Motosikal bukan sahaja minatnya tetapi ia adalah sebahagian daripada kehidupan Abg Jaq untuk kegunaan harian ke tempat kerja.
“Saya minat dengan motosikal lama/retro kerana ia memang sebuah jentera lagenda, sukar didapati dan cukup cantik. Motosikal milik saya sekarang ialah Honda GBO C70 yang dibeli kira-kira dua tahun yang lepas. Motor-motor lama cukup unik dan sememangnya sangat berbeza bila dibandingkan dengan motor sekarang dari segi ketahanannya dan antiknya,” katanya.
Pengubahsuaian:
Jangka masa untuk suatu pengubahsuaian adalah bergantung pada kos, komponen, alat ganti dan aksesori yang diperolehi. Jika ada modal yang cukup, segala proses ubahsuai hanya mengambil masa sekitar tiga minggu dan ke bawah. Menurut Abg Jap, barang-barang gantian boleh didapati dari laman sosial seperti Facebook atau dari kenalan sahabat-sahabat. Dari segi kos pula, selalunya dalam sekitar RM3,000.
Pada awalnya Abg Jaq tidak terlalu cenderung untuk mengubahsuai keterlaluan, dia lebih minat untuk kekalkan warna dan rupabentuk asal. Beliau hanya kemaskan beberapa bahagian kepada asal cuma membuat perubahan pada bahagian transmisi menjadi kepada empat gear.
Apabila melihat jentera-jentera retro yang sudah diubahsuai kelihatan cukup menarik, barulah Abg Jaq turut menyukainya. Dia menghantar ke bengkel yang benar-benar mahir dan memberikan idea untuk pembikinan mengikut citarasa sendiri.
Abg Jaq minat dengan warna-warna garang dan berdasarkan minatnya itu, beliau menzahirkan setiap kemasan pada rekacorak motosikalnya. Oleh kerana tidak memiliki kepakaran dalam bidang mengecat, dia terus menghantar ke sebuah bengkel yang telah memberikannya kepuasan. Sekali tengok memang tak puas, kena belek-belek.
Untuk tampak lebih unik, Abg Jaq memasang kotak besi di sebelah kanan motosikalnya. Kos untuk membuat kotak tersebut mencecah RM170 tidak termasuk tapak lagi yang berharga RM120. Kotak barang tersebut boleh menyimpan barangan keperluan seperti tayar ‘spare,’ atau stokin kalis air. Bila menunggang di waktu hujan, Abg Jaq akan simpan barang-barang penting lain di dalamnya. Kos untuk mengubahsuai C70 telah mencecah ribuan ringgit dan menurut Abg Jaq, kos pengubahsuian untuk sebuah lagi motosikal retro, Honda GBO sudah mencecah sekitar RM3,000.
“Kalau nak main motor retro ni kena pastikan dulu tanggungjawab terhadap keluarga diutamakan dan bila ada lebihan kewangan barulah buat motor kerana harga untuk barang-barang dan aksesori lama ni makin mahal. Minat itu bagus tetapi kena utamakan keluarga.”
Selepas siap, motosikalnya lebih garang dan menarik perhatian ramai lebih-lebih lagi model Honda C70 atau Honda GBO yang semakin sukar untuk dimiliki. “Rasa-rasanya jika dah minat mendalam dalam dunia retro, memang payah saya nak jual sebab motor lama susah betul nak dapat buat masa sekarang. Harganya pula jangan tanyalah… keras (mahal)!”
“Dengan Honda C70 bulat saya dah sampai setiap negeri di Malaysia cuma tolak negeri Sabah dan Sarawak sahaja lagi. Bercerita mengenai luar negara pula, saya telah menunggang ke Phuket, Krabi dan Awan Nano di Betong Thailand.”
“Sewaktu berkonvoi di Bandar Betong Thailand, motor Honda C70 mendapat perhatian ramai dan saya pernah bergambar dengan Pegawai tertinggi di Thailand. Kalau nak berkongsi tentang pengalaman pahit pula, Honda C70 milik saya pernah naik lori dari Tapah ke Melaka atas sebab rosak ketika berkonvoi. Syukur rasanya apabila rakan-rakan motor siap tolong beli barang di luar lebuhraya dan membaiki motor saya di homestay, tempat kami bermalam.”
“Saya juga pernah menolak motor sejauh 15 kilometer tanpa sebarang bantuan. Ketika itu saya menunggang Honda Wave dan dalam perjalanan pulang dari kerja. Saat itu baru saya terfikir betapa susahnya seseorang ‘rider’ itu diuji dengan motosikal rosak dan berseorangan.” Sejak dari peristiwa itu, Abg Jaq akan sentiasa membantu penunggang motosikal jika terlihat menghadapi kesukaran di tepi jalan.
Motosikal idaman Abg Jaq Kapcai ialah Honda Fame kerana ia memang ‘rare’, cantik dan tahan lasak. Sebagai seorang penunggang ‘otai’, Abg Jaq sentiasa menyarankan para penunggang motosikal dan kenalannya untuk berdisiplin, jangan sombong dan patuhi undang-undang sewaktu berada di jalan raya. Ia akan menyelamatkan nyawa. RR
Popular