Street Cub Pak Long Ranggi!
Ranggi', unik, lain dari yang lain, canggih dan cantik dipandang! Itulah kata-kata yang boleh diungkapkan apabila melihat motosikal ini buat kali pertama. Mengubahsuai motosikal dengan hasil tangan sendiri memberikan kepuasan yang tersendiri kepada setiap pemiliknya. “Segala penat lelah dirasakan berbaloi dengan hasil yang menarik perhatian setiap mata yang memandang.” Hobi anak jati negeri Kedah ini adalah mengubahsuai motosikalnya mengikut kreativiti tersendiri. Inilah Zulkifli Bin Abu Bakar, Bintang Bulan Ini yang lebih mesra disapa dengan nama Pak Long.
Pak Long yang berusia 41 tahun ini masih kelihatan muda dan segak bergaya apabila menunggang Street Cub rekaannya. Pak Long dan rakan-rakan seringkali menyertai perhimpunan dan pertandingan motosikal tercantik di sekitar kawasan utara tanah air dan mereka pernah ke Ipoh, Perak untuk menyertai pertandingan di sana pada tahun lalu. “Kami menyewa sebuah lori untuk memuatkan lebih kurang 10 buah motosikal custom street cub semata-mata untuk bertemu rakan-rakan motosikal custom di sana. Kami disambut mesra oleh mereka dan dapat berkongsi idea dan pendapat masing-masing dalam dunia Street Cub. Itulah kepuasan tak terhingga apabila bertemu kawan-kawan yang 'sekepala',” kata Pak Long.
Bercerita mengenai pengalaman belajar menunggang, Pak Long berkongsi cerita ketika dia mula-mula menunggang Vespa milik ayahnya di kampung ketika berumur 11 tahun. “Bila 'start' enjin dan bergerak, semuanya okay sebab selalu tengok cara ayah bawa motor. Bila nak berhenti pula barulah masalah timbul..macam mana nak berhenti? Tak tahu macam mana nak brek! Maklumlah waktu tu baru sahaja dapat menunggang motor buat pertama kali.” Akhirnya mendapat idea, saya terus lepaskan pendikit dan berjaya memperlahankan sehingga motor terus tersangkut di celahan pokok pisang. Saya selamat, motor pun selamat,” katanya sambil ketawa.
Pak Long juga pernah memiliki motosikal Yamaha RXZ 135, Kawasaki Serpico 150 dan Modenas Kriss manakala motosikal idaman kalbunya adalah sebuah motosikal keluaran Amerika Syarikat iaitu Harley Davidson. Setelah tamat waktu bekerja, Pak Long menghabiskan masa untuk mengubahsuai motosikal di bengkel miliknya sendiri. Selain itu juga, dia mengisi masa lapang bersama rakan dengan bermain bola sepak dan sepak takraw.
PENGUBAHSUAIAN
Segala pengubahsuaian dilakukannya sendiri dengan bantuan rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama. Motosikal CX5 berjenama Demak ini menjadi pilihan Pak Long kerana ia mudah diselenggara dengan alat ganti yang mudah didapati di mana-mana bengkel sekalipun. Malah, beberapa alat ganti dari jenama Honda juga boleh dipasang pada model ini.
“Antara proses yang paling sukar untuk dilakukan ialah proses mengubahsuai casis agar sempurna dan tidak senget. Perlu memberi lebih perhatian dan ketelitian dalam mereka semula casis. Kerangka utama ditambah dengan satu besi di tengah-tengah untuk menguatkannya. Bahagian saspensi hadapan yang diambil dari Honda C70 dipotong dan dilebarkan dengan teliti termasuklah lengan ayun belakang juga dilebarkan untuk memuatkan saiz tayar dan sport rim yang lebar. Saspensi belakang ditukar kepada sekeping besi menjadikan sistem ini tidak lagi berfungsi seperti motosikal custom jenis bobber. Bahagian pelana juga ditukar dengan pelana rekaannya sendiri. Sistem ekzos berkembar ini adalah hasil tangan Pak Long sendiri.
“Malah bahagian sportrim juga menjalani pengubahsuaian yang ekstrim untuk memantapkan rupa keseluruhan motosikal saya. Rim kereta bersaiz 17 inci yang amat lebar digabungkan dengan rim tiga jejari motosikal yang dicuba berkali-kali (trial & error) dengan rakan-rakan.” Menurutnya lagi, bahagian penyambung sproket belakang dengan sport rim custom adalah yang paling sukar dilakukan namun setelah menemui formula yang tepat, masalah penyambung yang cepat rosak itu dapat diatasi. Kos untuk membuat rim lebar custom ini melebihi RM3,000 iaitu bersamaan dengan harga motosikal yang dibelinya sebelum pengubahsuaian. Tayar superbike bersaiz 180/50-17 depan, belakang dan sepasang brek cakera dipadankan bagi memantapkan lagi street cub ini.
Selepas berpuas hati dengan bentuk yang dihasilkan, barulah Pak Long memulakan proses mengecat dengan gabungan warna biru muda pada bahagian badan dan jingga namun warna ini tidak kekal lama kerana pada awal tahun ini dia terlibat dalam kemalangan dan terus ditukar dengan rekaan corak terbaru yang lebih garang. Setiap inci bahagian street cub ini dicat airbrush berkonsepkan celoreng tentera digabung dengan elemen hip-hop menjadikan rekaan ini nampak 'ranggi!'
“Bagi saya inilah kepuasan maksimum apabila mengubahsuai motosikal sendiri. Rupa bentuk yang dilakukan sendiri berada di depan mata dan nampak cantik. Malah, rekaan ini hanya ada satu sahaja. Selepas berbelanja sebanyak RM8,000 lebih dan melalui berbagai proses selama beberapa bulan, rupa terbaru memang lain dari yang lain,” jelasnya. Menurut Pak Long lagi, dia berhajat untuk mengubahsuai lagi motosikalnya ini jika mendapat idea baru dan sesuai dengan kehendaknya. RR
Popular