Harley-Davidson Softail Springer: Chopper Berkonsepkan Punk
Bila sebut pasal Punk pasti dikaitkan dengan fenomena muzik ataupun sub-budaya yang meliputi fesyen dengan gaya rambut Mohawk. Namun budaya tersebut bukan sahaja digunapakai oleh segelintir masyarakat, tetapi diperluaskan lagi sehingga dijadikan sebagai konsep untuk membuat motosikal kustom. Apa yang lebih menarik, Bintang Bulan ini menampilkan sebuah motosikal Harley-Davidson Softail Springer keluaran tahun 1993 milik En. Taymen Chua yang diubahsuai berkonsepkan Punk.
Lebih dikenali sebagai Taymen, beliau kini berusia 49 tahun dan merupakan seorang pengusaha seni airbrush motosikal yang menetap di Kuala Lumpur. Sememangnya dunia motosikal telah pun diminati sejak kecil lagi. Selain bermotosikal, beliau juga sering menghabiskan masa lapang bersama anaknya dan membuat semburan airbrush pada motosikal.
Beliau yang berasal dari Melaka ini telah menamatkan pengajian di Kolej MIA (Malaysia Institute Of Art) Melawati, Kuala Lumpur pada tahun 1993. Menurutnya, selain mempunyai minat dalam dunia motosikal, beliau juga sangat sukakan seni. Pada tahun 1997, En. Taymen telah membuka satu perniagaan membuat semburan airbrush untuk motosikal di Sungai Besi selama tiga tahun. Selepas itu, En. Taymen ke Kampung Baru untuk tempoh hanya setahun sebelum berpindah sekali lagi ke Setapak dan menetap di sana sehingga sekarang. Sejak dari itu, perniagaannya telah mendapat permintaan yang ramai.
“Membuat lukisan airbrush pada mulanya bukan mudah. Tetapi apabila sudah terbiasa, segala kesusahan itu menjadi senang untuk mereka yang sudah ada pengalaman. Airbrush ini seperti membuat solekan pada wajah manusia. Kita boleh menukarkan sesuatu yang suram itu kepada benda yang lebih menarik,” kata En. Taymen Chua.
“Saya memilih model Harley-Davidson Softail Springer kerana amat minat dengan motosikal jenis chopper. Bila diubahsuai hasilnya pasti dapat memuaskan hati. Saya juga suka menunggang motosikal jika ada masa terluang. Dengan menunggang, kita dapat menenangkan minda dengan melihat pemandangan yang berada di sekeliling,” tambah beliau.
Beliau pernah memiliki beberapa buah motosikal seperti Honda EX5, Honda Cub, Suzuki VS125, Vespa S150, Honda CB175, Honda CG125, Aprilia, Triumph Scrambler 900 dan Harley-Davidson Softail Springer. Namun beberapa jentera sudah pun dijual dan kini hanya tinggal empat buah motosikal sahaja. Antara konvoi yang pernah beliau ikuti bersama rakan-rakan motosikal adalah ke Phuket, Thailand. Ia adalah ride yang paling jauh beliau pergi dengan menunggang jentera Aprillia buat pertama kali. Selain model itu, En. Taymen juga pernah menunggang Harley-Davidsonnya ke destinasi tersebut sebanyak dua kali.
Selepas membeli jentera Harley-Davidson pada tahun 2004 pada harga RM70,000, En. Taymen tidak menunggu lama untuk mengubahsuai jentera kesayangannya agar tampak lebih menyerlah. Beliau membuat keputusan untuk mengubah 100% rupa asal H-Dnya. Bermulalah proses pengubahsuaian yang diingininya. Beliau terus menghantar jentera miliknya ke sebuah bengkel pengubahsuaian milik seorang kenalan.
Rekaan di bahagian badan sangat menarik kerana bentuk itu diserlahkan lagi dengan penggunaan 6 spike di atasnya. Menurut beliau, tempat mengisi bahan api telah dipindahkan di bahagian bawah. Dengan pengisian penuh, jentera ini boleh menyusuri perjalanan sekitar 152 kilometer. Untuk menjadikan bahagian belakang lebih gempak, mudguard belakang direka dengan runcing agar tayar belakang tampak lebih besar dan menyerlah dari pandangan belakang.
Fork hadapan dilengkapi dengan spring penyerap hentak berkembar yang berfungsi dengan baik. Manakala lampu utamanya telah digantikan dengan bentuk lampu yang lebih unik agar nampak kelainan. Walaupun kecil, ia mampu menerangi jalan raya dengan jelas apabila menunggang pada waktu malam. Penggunaan handle bar yang tinggi menyerlahkan lagi ciri-ciri chopper. En. Taymen juga turut meletakkan kepala tengkorak yang dikelilingi dengan aksesori spike untuk menampakkan lagi identiti punk.
Sistem ekzos asal tidak digunakan tetapi telah digantikan dengan rekaan ekzos yang baru untuk menghasilkan bunyi yang mantap. Walaupun jentera milik En. Taymen mengalami perubahan yang banyak, namun beliau masih mengekalkan spesifikasi enjin yang asal.
Boleh dikatakan hampir 80% bahagian yang dipasang adalah hasil kemahiran kenalannya. Selepas semuanya siap, barulah sentuhan terakhir daripada En. Taymen dibuat untuk memantapkan lagi jentera miliknya itu. Sebelum memulakan seni airbrush, beliau telah melukis corak yang diinginkan terlebih dahulu. Kemudian barulah proses semburan airbrush dilakukan pada badan motosikal.
Beliau telah menggunakan dua tona warna iaitu emas dan hitam sebagai warna utama pada motosikalnya untuk memberikan nafas baru. Kemudian barulah proses membuat corak dilakukan. En. Taymen telah melukis gambar berbentuk tengkorak dengan gaya punk. Barulah nampak lebih garang! Proses ini bukanlah mudah, ia perlu dibuat dengan teliti dan kesabaran untuk mendapatkan hasil yang menarik. Selepas itu barulah proses semburan cat clear dibuat sebanyak tiga lapisan untuk menyerlahkan dan melindungi warna pada motosikal. Menurut beliau, proses membuat airbrush pada jenteranya telah memakan masa selama 3 bulan.
Jumlah keseluruhan yang telah dibelanjakan adalah sekitar RM65,000. Beliau amat berpuas hati dengan rekaan terbaru motosikal kesayangannya. Proses pengubahsuaian ini telah mengambil masa yang lama iaitu hampir empat tahun untuk disiapkan sepenuhnya. Jika ada orang yang berminat untuk membeli motosikalnya, beliau akan mempertimbangkan permintaan tersebut.
Untuk makluman umum, En. Taymen juga ada membuat kelas tentang seni airbrush dengan yuran pendaftaran yang berpatutan. Untuk maklumat lanjut mengenai seni lukisan airbrush sila hubungi beliau di talian 019-315 4252. RR
Popular