Jejak Ukhwah Kelab Roda 2018
Tasik Raban terletak 20km dari Kuala Kangsar menuju Gerik, melintasi Jambatan Raja Muda Nazrin dengan panaroma yang berawan dan bergunung-ganang. Pemandangan di tasik ini cantik memberikan suasana tenang, udara yang bersih, damai lagi menyenangkan.
Terletak dalam daerah Lenggong, Perak dengan menawarkan banyak tempat menarik untuk dilawati seperti Galeri Arkeologi Lenggong (dalam renovasi) yang hebat dengan Perak Man. Lenggong kaya dengan hasilnya yang tersendiri iaitu ikan pekasam yang diusahakan secara cottage industri. Jenis ikan yang diawetkan terdiri daripada Lampam, Loma, Ketutu, Puyu dan lain-lain lagi. Dengan tertubuhnya Pusat Pengembangan Teknologi Produk Perikanan, di bawah Jabatan Perikanan Malaysia, ia dapat membantu dalam memberikan khidmat R&D kawalan dan perkembangan produk hasil perikanan terutama sekali ikan pekasam yang berjaya menembusi pasaran ke luar negara.
Resort Tasik Raban antara tempat penginapan yang ada di Lenggong. Diseliakan oleh Majlis Daerah Lenggong sejak April 2004, resort ini menawarkan pelbagai jenis penginapan. Selain chalet dan asrama, bilik dan dewan mesyuarat juga disediakan dengan harga yang sangat berpatutan. Ayuh kita ke sana…
Hari Pertama: 27 Julai 2018 (Jumaat)
Secara keseluruhan, seramai 130 orang yang hadir mengempakkan suasana di Tasik Raban ini. Mereka datang bermotosikal, berkereta dari Perlis, Pahang, Kedah, Perak, Selangor, WP, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor. Ada yang bujang, berkeluarga malah ada yang membawa anak, menantu dan cucu.
Memandangkan masih awal sementara menanti ketibaan peserta, Najmi (ahli kelab kelahiran Lenggong) mengambil peluang untuk membawa Kak Aida yang sampai awal untuk melihat persekitaran ditemani beberapa peserta lain. Antara yang dilawati ialah tempat memproses ikan pekasam milik Mak Su dan sangkar ikan tilapia milik Tuan Haji Halim Bakar. Penyediaan dan proses ikan pekasam ditunjuk oleh Mak Su dari awal pemprosesan hingga ke proses pembungkusan. Selama ini hanya diketahui keenakan memakannya sahaja.
Perjalanan peserta ke sini juga dipantau melalui media sosial bagi memastikan semua peserta selamat sampai (dan kepulangan) ke (dari) Tasik Raban. Hari Jumaat tersebut dibasahi hujan di merata kawasan. Ramai yang kebasahan tiba tanpa sebarang rungutan. Alah bisa, tegal biasa. Inilah pepatah yang telah tersemat dalam sanubari ahli Kelab Roda.
Kehadiran peserta disambut dengan pelbagai cara. Bersalam-salaman, berpelukan, gurau senda bukan perkara asing. Rezeki Marham Dollah berjumpa dengan Adam Malek. Mereka rakan semasa belajar di IKM. Idris Shuib dari Jitra dan Md Razib dapat berjumpa dengan Cikgu Shaharudin Bakar dari Segamat selepas TMBA 1 tahun 1989. Itulah nostalgia buat kawan-kawan lama yang baru bertemu kembali. Ada yang tidak berjumpa selama 30 tahun.
Abdul Latif Mat Saad sebagai pengerusi JUKR 2018 kecoh sikit dengan usikan dengan suaranya yang nyaring dan pandai berseloka, itulah orangnya. Beliau dibantu oleh Najmi sebagai bendahari, Tok Moh, Shafie, Meor, Mat Ramli, Khairul, Tok Wan, Elias, Mohd Asri dan Wadisham, selaku AJK, mengembeling tenaga bagi menjayakan aktiviti ini.
Kedatangan para peserta diraikan dengan jamuan petang iaitu bubur kacang durian beserta roti dan kuih muih untuk alas perut sementara menanti makan malam. Turut disajikan ialah durian kampung, Udang Kuning, D24, manggis dan rambutan. Lazat sungguh.
Jam 9 malam dewan mesyuarat riuh rendah dipenuhi oleh peserta yang hadir pada hari ini. Taklimat untuk aktiviti esok disampaikan oleh sdr. Latif sebagai pengerusi majlis selain sesi pengenalan diri serta pemberian cenderahati. Jam 11.30 malam taklimat serta penerangan selesai. Sesi makan durian dan cempedak disambung semula hingga ke larut malam.
Hari Kedua: 28 Julai 2018 (Sabtu)
Kebanyakan peserta amat teruja apabila berjumpa. Sebelum subuh lagi mereka dah mula rancak bercerita mengenai motor, destinasi, tempat, kenal tak? Itu adalah topik yang diperbincangkan hingga ke meja makan. Menu sarapan selain nasi lemak dan kueh, dihidangkan juga “pulut arun bersama sambal tumis, ikan pekasam beserta kelapa parut.” Ada sesetengah peserta tidak pernah merasai makanan tradisional sebegini. Memang sedap tambahan pula suasana yang sejuk dan cukup cantik menghadap pemandangan Tasik Raban.
Pukul 9.00 pagi mulalah acara sukaneka. Di antaranya adalah bowling buah kelapa, mengisi air dalam botol, bawa bola ping-pong dalam sudu, baling dan sambut belon berisi air dan permainan tuju guli. Walaupun permainan ini nampak senang, ada di antara pasukan langsung tidak dapat sebarang markah. Keceriaan terpancar dengan gelak ketawa. Hinggar bingar jadinya. Kecil besar tua muda tiada bezanya.
Provokasi di antara kumpulan sudah menjadi kelaziman. Ada juga sesetengah kumpulan yang main tipu. Inilah masanya untuk semua peserta bergabung dan bekerjasama bagi mengumpul markah untuk kumpulan masing-masing. Suasana memang riuh rendah dengan gurau senda peserta. Dengan cara inilah peluang untuk peserta beramah mesra. Bagaikan adik beradik dalam satu keluarga. Masa dua jam bersukan berlalu tanpa disedari. Kepanasan langsung tidak terasa. Matahari sesekali keluar dari celah awan mengintai kami. Syukur keadaan cuaca sangat baik sekali.
Pameran motosikal lama mengambil tempat. Para peserta dapat melihat sendiri motosikal yang jarang ditemui dan diselenggarakan oleh abang Najmi iaitu sdr. Mohamad Tarmizi B. M.Zain 57 tahun. Model tahun 1969 pun masih bernyawa lagi dan ada juga sekadar yang dibuat tontonan sahaja. Beliau mendapat motosikal Honda 50 dibelinya di Pengkalan Hulu pada tahun 1980 dengan harga RM150.
Penjual mati akal kerana motor tidak boleh dihidupkan walaupun sudah dihantar ke bengkel. Dengan berbekalkan doa serta harapan dan hanya berbelanja RM100 sahaja bagi menukar komponen yang rosak, sdr Tarmizi membuatnya semula seperti asal. Gembira tak terkira bila motor itu berjaya dihidupkan. Apalagi ronda satu kampunglah. Ada juga orang yang ingin membeli motor antik ini tetapi ianya bukan untuk dijual.
Pada hari tersebut juga terdapat pameran lukisan yang dihasilkan oleh Muhammad Akif B. Muhammad Azmi berasal dari Kuak, Perak. Akif merupakan seorang pelajar jurusan Seni Halus di Uitm Shah Alam. Masih belajar lagi setahun setengah untuk mendapatkan segulung ijazah. Hasil lukisannya telah dibuat sebagai cenderahati pada majlis JUKR ini.
Selesai acara sukan rakyat, sajian makan tengahari telah disediakan oleh pihak katering, ahli keluarga dan kawan-kawan Najmi. Menu tengahari ini memang hebat. Macam-macam ada… semuanya berlandaskan ikan sungai. Masakannya cara kampung dan disediakan oleh orang tempatan… memang menyelerakan. Sesiapa yang tak makan ikan sungai memang rugi….
Kehadiran kumpulan “Old Superbike Owner” (OSO) yang diketuai oleh saudara Mohd Faizul bersama kawan-kawan dengan jentera mereka di atas jemputan penganjur. Deruman motosikal berkuasa besar model lama tampak bergaya dan mengujakan. Penunggang wanita solo, Amy Zaydee turut bersama dengan menunggang sebuah Kawasaki GPZ500s.
Selepas solat zohor kami berkumpul semula di dewan untuk acara seterusnya iaitu Bisik-Bisik. Ini adalah permainan yang dinanti-nantikan. Acara Bisik-Bisik ini diperkenalkan semasa Ekspedisi Pantai Timur Kelab Roda 1995. Sangat menghiburkan tatkala seorang demi seorang berbisik menyampaikan berita. Ada sepuluh patah perkataan, dari orang pertama hingga ketujuh. Hanya enam ke lapan perkataan sahaja yang disampaikan. Itu pun belum tentu betul.
Ayat yang diberi ialah “Budak botak guna otak cari kotak balik balak jumpa budak” macam-macam jawapan yang diberi semuanya tak betul… dalam acara ni pun ada peserta yang ngelat. Guna teknologi moden untuk dapat jawapan yang betul. Akhirnya salah juga. Kesemua kumpulan yang menyertai acara bisik-bisik tidak termasuk group OSO mendapat hadiah yang disumbangkan oleh sdr. Uwais dari Wise Consortium.
Seterusnya, taklimat keselamatan jalanraya mengambil tempat. Sdr. Bard dari BHM Academy & Events Sdn Bhd bersama pembantunya Sdr. Acet (Rashid) menyampaikan pesanan secara audio visual. Dengan tekun dan komited, semua yang hadir mendengar taklimat yang disampaikan. Dengan menampilkan statistik kemalangan hingga cara pengendalian kenderaan dengan selamat dititikberatkan. Ini adalah satu kelebihan yang ada dalam Kelab Roda yang mana keselamatan bersama diterap dan dipraktikkan. Pertunjukan demo di luar dewan terpaksa dibatalkan memandangkan hari hujan.
Peserta disajikan dengan minum petang berupa kuih muih seperti cucur badak, apam ayu dan tidak ketinggalan kuih limas. Ada juga peserta yang sambung makan durian lagi… selagi tak habis….
Dua buah bilik mesyuarat digunakan untuk solat Maghrib dan Isyak hari ini. Solat yang diimamkan oleh Ustaz Abu B. Zakaria, iman Masjid Kg. Raban ditemani adik beliau sdr. Adam Zakaria sebagai pembantu. Selesai solat maghrib jemaah wanita mengambil tempat bagi bacaan Yasin dan doa selamat buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita. Aamin… dan diteruskan dengan solat Isyak.
Malam ini kita dihidangkan dengan nasi putih beserta menu istimewa iaitu sup rusa, rusa masak kicap, kangkung goreng, sambal telur, ikan masin dan buah epal. Daging rusa ini disumbang oleh tokey rusa tersebut iaitu saudara Najmi bersama-sama beberapa peserta JUKR ini. Ini yang dijanjikan beliau setahun lalu di Port Dickson dan dah tertunai janjinya. Kami bersyukur dan berterima kasih juga buat anak Najmi saudara Azhar yang telah menyembelih dan melapah rusa untuk dijadikan menu malam ini.
Kata Latif, ‘‘Najmi asyik tanya… makanan cukup ke, durian cukup ke, peserta tidur ok ke, ikan pekasam cukup ke…semua dia risau.’’ Itulah dia tuan rumah yang ingin semua peserta teringat kenangan manis-manis sahaja.
Acara yang dinanti-nantikan tiba. Keputusan pertandingan permainan diumumkan. Johan keseluruhan bagi acara sukan rakyat juga Bisik-Bisik JUKR 2018 ini dimenangi oleh Kumpulan Kuning. Gegak gempita dewan dibuatnya. Bukan meraikan kemenangan kumpulan kuning tetapi meraikan kumpulan Biru sebagai kumpulan terakhir dari susunan pemenang.
Cabutan bertuah menyajikan hadiah-hadiah yang disumbangkan oleh penaja-penaja seperti RodaRoda, Koyoko, kawan-kawan dan peserta JUKR sendiri. Terima kasih! Bukan nilai hadiah menjadi ukuran tetapi keseronokan apabila nama dipanggil sebagai penerima walhal semua peserta mendapat sekurang-kurangnya dua hadiah seorang.
Pada malam tersebut juga JUKR menerima tetamu istimewa, Karsidi bersama adik perempuannya Vivi iaitu anak kepada arwah Mohd Kasim B. Sokiman ahli kelab yang telah kembali ke rahmatullah pada bulan Jun lalu. Sepatutnya arwah hadir pada JUKR pada kali ini. Bayaran pun telah dibuat. Al-fatihah….
Malam dihangatkan lagi dengan pesta durian, cempedak, manggis dan rambutan. Semalam durian disediakan oleh penganjur. Malam ni durian disumbangkan oleh seorang peserta yang namanya dirahsiakan. Dalam pada rahsia bocor juga. Beliau telah keluar bersama Najmi ke pekan berdekatan bagi membeli durian tersebut daripada dua orang penjual di situ. Durian kampung dan udang merah jadi tarikan. Banyak! Puas betul. Mudah-mudahan Allah lanjutkan usia beliau untuk bersama lagi akan datang. Terima kasih daun keladi.
Hari Ketiga: 29 Julai 2018 (Ahad)
Selepas sarapan, acara sukan basikal lambat diadakan. Terdiri daripada kategori kanak-kanak dan dewasa. Macam-macam adegan yang berlaku menimbulkan gelak ketawa pada pagi tersebut.
Hari ini juga kami bertuah untuk menjamu durian lagi disumbangkan oleh Sdr. Ady dari Kelab Kembara Orang Lama. Terima kasih tuan-tuan… mereka hadir bersarapan bersama sebelum memulakan konvoi bermotosikal ke Sungkai. Diketuai oleh cikgu Amin Harun bersama rakan-rakan lain yang memulakan perjalanan jam 9 pagi.
Segulung penghargaan tahniah dan terima kasih tidak terhingga buat keseluruhan AJK Zon Utara dan anggota lain yang terlibat menjayakan JUKR 2018. Akhir kata “jika ada sumur di ladang boleh hamba menumpang mandi, jika ada umur yang panjang boleh kita berjumpa lagi.” RR
Oleh : Saiful Nizam
Popular