Perjumpaan Yamaha XJ6 Owners Di Port Dickson
Untuk merapatkan ukhwah di kalangan para pemilik Yamaha XJ6, satu perhimpunan telah diadakan di Port Dickson pada 10 dan 11 Februari lalu. Selain daripada itu, perjumpaan ini juga dianjurkan untuk mengumpul dana buat membantu penghuni Rumah Asnaf Murni, Bandar Sri Sendayan.
Ternyata penganjuran kali pertama untuk tahun ini telah mendapat sambutan yang cukup hebat dengan penglibatan daripada beberapa kumpulan atau kelab dari seluruh negara seperti XJ6 Malaysia, XJ6 Pantai Timur, XJ6 Tranung Region, XJ6 Southern, XJ6 Warriors, XJ6 CKS, XJ6 Brother, XJ6 Melaka Tribe, XJ6 Putrajaya dan banyak lagi.
Pantai Port Dickson telah 'digegarkan' dengan kehadiran jentera Yamaha XJ6 yang berjumlah 150 orang peserta. Setelah merehatkan badan dan makan tengahari, para peserta berkumpul semula untuk meneruskan pelbagai aktiviti yang telah dirancangkan. Kehadiran Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah Malaysia, Dato' Sri Wira Ayub bin Haji Yaakob berkongsi ilmu dan pandangan ternyata amat berguna terutamanya demi keselamatan semua.
Turut diadakan pada petang yang cukup sempurna itu ialah Pertandingan Motosikal Cantik, pertunjukan aksi gymkhana, sumbangan derma dan paling menyeronokkan tentulah ketika membawa adik-adik dari Rumah Asnaf Murni menunggang motosikal. Keceriaan jelas terpancar di wajah anak-anak tersebut dan berharap ia dapat membakar semangat mereka untuk belajar bersungguh-sungguh.
Para peserta dapat merasai tiupan angin laut dan keheningan suasana pantai yang kemudiannya dimeriahkan dengan dendangan 'artis-artis' penunggang XJ6 yang menyertai pertandingan karaoke. Gaya, suara dan persembahan yang mantap diselang-seli dengan gurauan sahabat handai menjadikan semua peserta tidak kering gusi.
Aktiviti di sebelah malam juga tidak kurang hebatnya. Selain menjamu selera dengan pelbagai jenis makanan yang lazat-lazat, ini juga masanya untuk majlis penyampaian hadiah. Siapa menang, siapa kalah bukan soalnya tetapi dapat berkumpul sebegini sudah cukup bermakna buat rakan-rakan XJ6. Sebelum tamatnya hari pertama, ada di kalangan para peserta keluar bersantai mengambil angin ke kawasan sekitar Port Dickson dan ada juga yang balik ke bilik untuk berehat.
Apabila dapat berjumpa dan beriadah sesama rakan taulan, masa bagaikan terlalu singkat. Jarum jam berpusing terlalu pantas, macam tak cukup masa pula. Mungkin lain kali, perjumpaan XJ6 Owners seperti ini boleh anjurkan untuk tempoh yang lebih lama! RR
Popular