Isu Terkini

Oktober 2024

Berita Kelab / 7 Mac 2024

Couple Ride Ke Songkla

Apabila selesai sudah program Wingers Camaraderie Ride di Alor Setar, sebahagian peserta G20 terus balik ke Lembah Kelang manakala sebahagian lagi meneruskan perjalanan ke Thailand. Kami berpisah dipersimpangan Lebuhraya PLUS, Tol Utara Alor Setar.

Hari Pertama

“Jom! Jom! Jangan tunggu lama-lama” kata Pak Lang, dah pukul 9.00 pagi ni. Tanpa berlengah lagi, kami terus bergerak ke sempadan Malaysia - Thailand melalui Pokok Sena, Kuala Nerang dan berhenti di stesen minyak Padang Senai untuk penuhkan tangki kerana harga minyak di Thailand sekali ganda harganya dari negara kita.

Perjalanan cukup selesa kerana kenderaan di jalan raya tak banyak dan cuacanya juga cukup nyaman. Sampai di ICQS Kota Putra, Durian Burung konvoi kami (22 buah motosikal serta pasangan) sahaja yang berurusan. Urusan Imigresen Malaysia hanya mengambil masa 30 minit untuk diselesaikan. Di sebelah Imigresen Thailand, Ban Prakob pun cepat cuma salah seorang peserta menghadapi sedikit masalah teknikal di kastam Thailand. Apa pun, ia dapat selesai dalam masa yang singkat. Sempadan kedua-dua belah negara ini dibuka dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang sahaja.

Jarum jam dah berhimpun menunjukkan pukul 12.00 tengahari - kami meneruskan perjalanan untuk makan tengahari di Bang Dol Seafood di Sakom Beach,Thepha, Songkla
dengan menyusuri pekan Na Thawi & Chana.

Sementara menunggu makanan siap, ada pasangan yang tidak melepaskan peluang menyimpan kenangan dengan berfoto di pantai, baring-baring dalam buaian sementara itu sebahagian suami-suami pergi mengambil minuman sendiri kerana kumpulan kami agak ramai.

Bila ramai dan pelbagai menu dipesan, Tuan Kedai pun kelam kabut jadinya. Pekerja yang fasih bahasa melayu pula ada tiga empat orang sahaja, yang lain guna bahasa isyarat. Boleh dikatakan hampir kesemua apa yang ada dalam menu, kami pesan. Kerabu mempelam (mangga), tomyam seafood, nasi goreng sea food, sotong & udang goreng tepung, ikan stim, ikan tiga rasa dan lain-lain mengikut selera pasangan masing-masing. Memang puas hati, sedap-sedap masakannya.

Makan sudah, berehat pun sudah... apa lagi? Jalan-jalan la. Kami terus bergerak ke Laguna Grand Hotel & Spa, Songkla. Wow!! Hotel baru... ia terletak di tengah-tengah di antara bandar Hatyai dan Songkla. Memang sengaja kami cari hotel yang jauh dari pusat bandar kerana ingin lari sikit dari kebisingan kenderaan, dari kesibukan sebuah kota dan pastinya untuk mencari kedamaian. Ini penting, maklumlah untuk meraikan para isteri dan tiga pasangan pengantin baru serta sepasang suami isteri yang baru pencen.

Di sebelah malam hari tersebut kami tidak terikat dengan sebarang program. Para peserta bebas melakukan aktiviti masing-masing. Ada beberapa pasangan yang membuat keputusan untuk ke Klonghae Floating Market. 'Geng kaki' makan pergi Kaitod Dacha Hatyai dan Musa Hot Pot Seafood manakala peminat pulut ayam terus mencari Kaitod Sofeeya Fried Chicken Stall Hatyai. Selepas itu secara beramai ramai ke ‘massage kaki’ serta “manicure & pedicure’ untuk rehatkan diri.

Hari Kedua

Sudah menjadi budaya Thailand setiap kakitangan hotel akan mengucapkan ‘Sawadeekap’ sambil mengangkat kedua-dua tangan ke dada sebagai tanda hormat.

Sejak 15 tahun ke belakangan ini, pihak pengusaha hotel, restoran, pasaraya serta kedai-kedai mereka akan mengambil pekerja muslim yang boleh bercakap melayu untuk memudahkan komunikasi dengan pelanggan. Di hotel ini pun sama ramai kakitangan muslim termasuk di bahagian dapur, ada masalah, lebih senang untuk kita tanya.

Selesai sarapan, kami bergerak ke Thaksin Folklora Museum (Khatichon Wittaya) di Ko Yo melalui Jambatan Tinsulanond.

Untuk ke sana cukup senang,
Ada jambatan tak payah berenang,
Angin yang nyaman tasik yang tenang,
Membuat semua pasangan terkenang kenang...

Jambatan Tinsulanond dibuka pada 23hb September 1986. Ia sepanjang 2,640 meter yang terbahagi kepada dua bahagian. Yang pertama dari BanNam Krachai ke Ko Yo yang sepanjang 940 meter sementara bahagian kedua jambatan adalah dari Ko Yo ke Ban Khao, Singhanakhon berjarak 1,700 meter.

Dalam muzium tersebut, para pengunjung berpeluang melihat artifak wayang kulit, rumah lama, alat penangkapan ikan, duit lama dan banyak lagi bahan-bahan sejarah. Pemandangan dari sini juga cukup indah disebabkan kedudukan muzium ini terletak di atas bukit.

Seterusnya kami bergerak ke Songkla Old Town, dengan menaiki Songkla Lake Car Ferry. Dari Singhanakorn Side ke Songkla City hanya mengambil masa 10 minit sahaja dengan nilai tambangnya, Thai Baht (THB) 3. Cuaca hari ini cukup panas, kenderaan juga agak banyak maka, susah untuk mendapat ‘ parking’. Oleh itu Chip Marshall meneruskan perjalanan ke Samila Beach untuk “healing healing”.

“Apa kata kita makan ringan di sini, malam ini kita balun kaw-kaw stim boat!,” kata Rubet. Semua setuju!! Kalau berkunjung ke Samila Beach, anda wajib makan aiskrim kelapa pandan dan cucur udangnya. Memang sedap! Paling ‘bestnya’ air kelapa diberi percuma untuk diminum.

Balik hotel para peserta menggunakan masa yang ada untuk menyegarkan diri, berehat, pakai baju cantik-cantik dan 'boh' bedak banyak-banyak! Pada jam 4.30 petang (waktu Thailand) kami dikehendaki berkumpul di lobby. Itu arahan dari DSU.

Jarak ke tempat makan tidak jauh, hanya mengambil masa sekitar 20 minit. Orang tua-tua kata: “Tak sempat habis gear dah sampai...”

Ruang makan Singhanakorn Hot Pot (Halal) Steambot ini boleh memuatkan 500 orang pelanggan dalam satu masa. Terdapat 99 menu pilihan yang terdiri dari ketam hidup, kerang, ikan, pelbagai jenis siput, manisan, Green kari, udang petai, tomyam dan lain-lain. Setiap pelanggan dewasa dikenakan bayaran THB 399 manakala kanak-kanak pula THB 299.

Terdapat juga macam-macam jenis kuih tradisional yang dimasak oleh makcik-makcik di sana yang sangat sedap. Kedengaran suara dari isteri-isteri, “Habislah diet.” Jawapan dari Jojie: “Sampai sini, jangan ingat diet, nanti dah balik Malaysia kita pakat-pakat diet atau puasa.”

Hari Ketiga

Jarak perjalanan untuk sampai ke Tak Bai lebih kurang 230 kilometer. Di pertengahan jalan, kami singgah melawat Masjid Kersik Pattani atau dalam ejaan Thai iailah Matsayit Krue Se atau Gresek. Namun begitu nama rasmi masjid ini ialah Masjid Sultan Muzaffar. Kami telah menyampaikan sumbangan untuk masjid ini sebelum menyambung perjalanan untuk menikmati makan tengahari.

Moksu Soup Chormalee Chabang Tiga Pattani menjadi pilihan kami. Tengok periuknya pun dah terbuka selera walaupun belum makan lagi. Menurut tokey kedai Mok Su, jualan selalunya melebihi 100 kilo sehari termasuk daging, perut, tulang, ekor, kaki, hati, limpa... semua perkakas dalam lembu. Restoran ini beroperasi dari jam 11.00 pagi hingga – 10 malam setiap hari.

Satu perkara yang seronok hari ini. Di Pattani, Yala atau di Narathiwat, tidak terjadi masalah komunikasi kerana rata-rata orang di sini fasih bercakap Melayu. Makanan yang dipesan juga cepat sampai. Memang sedap, siap ada juga tambah sup .

Perjalanan ke Pai Na Nara ke Narathiwat mengambil masa 1 jam 15 minit. Kami memasuki daerah Narathiwat sambil dengar radio Yala - ramalan cuaca mengatakan hujan akan melanda di sebelah petang. Semasa sampai di sini langit masih lagi cerah dan para isteri bergambar. Nasib kurang baik apabila setengah jam berikutnya hujan memang turun.

Memang tak sempat nak habis melawat kawasan, hujan pula. “Ok lah tu. Kalau tak hujan, mahu habis melawat semua kawasan. Seribu keping gambar ditangkap,” kata saudara Budiman.

Semua bersiap sedia ke Tak Bai, ada yang siap berbaju hujan. Kami bernasib baik kerana tak banyak kenderaan dan proses di imigresen berjalan dengan lancar. Sementara menunggu feri sempat jugalah bergambar berlatarkan Pengkalan Kubor, Malaysia. Hanya ada sebuah feri Thailand yang beroperasi. Feri Malaysia rosak ketika tiba di Pengkalan Kubor dan seterusnya kami bermalam di Kota Bharu sebelum pulang ke destinasi masing-masing.

Jadual dan masa semua turuti,
Jumpa tempat makan yang berkualiti,
Semua rider G20 pakat berhenti,
Ride macam ni semua puas hati.... RR

- Jamil RR009

Isu Pada

Mac 2024

Popular

  • Warta Roda

    Lelaki tumbuk pemandu wanita selepas anak dilanggar.

  • Model Baru

    Vespa GTS 300 Classic - Harga RM31,900

  • Warta Roda

    Nahas Treler & Kereta: 5 Mangsa Disahkan Maut

  • Warta Roda

    Dua Penunggang Wanita Maut Motosikal Bertembung

  • Model Baru

    JEDI K333: Direka Untuk Kesesuaian Penunggang Baru & Wanita

Artikel berkaitan

KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024

'Convoy to Lumut' RSX-RS Crew Taiping 2024

Annual Ride RSX-RS Crew Taiping

Ride Santai Selepas Kerja

Mega Gathering CBR-RR Malaysia ke-10

Kawasaki Lady Bikers Group Ride Ke Phuket

'RE' Tour De Langkawi Bersama Otai Royal Enfield Malaysia

Malaysia International Classic Bikes Festival 2023

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Seorang maut, tujuh lagi cedera kemalangan motosikal

Sebanyak 10 motosikal dan sebuah treler terbabit dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer (KM) 221.5, Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan awal pagi Sabtu lalu yang mengakibatkan seorang remaja maut manakala tujuh lagi cedera.

Model Baru

Honda NSS250 2025 Tampil Warna Baru & Meter TFT

Boon Siew Honda turut memperkenalkan versi skuter terkini iaitu Honda NSS250 bagi tahun 2025.

Dari Litar

Pirelli Jadi Pembekal Utama Tayar MotoGP Menjelang 2027

Pirelli menjadi pembekal tayar eksklusif untuk Kejohanan Dunia MotoGP bagi tempoh lima tahun bermula musim 2027.

Model Baru

KAMAX CUB X temui peminat offroad tahun ini

KTNS Holdings Sdn Bhd akan menampilkan model terbaru, KAMAX Cub X ke pasaran negara sekitar bulan September 2025 ini.