Konvoi Kelab Y15ZR Ke ARC
Kelab Yamaha Y15ZR Central telah ditubuhkan pada tahun 2015, selaras dengan pengenalan model ini dalam pasaran negara. Kelab ini juga merupakan kelab pemilik Yamaha Y15ZR pertama yang berdaftar dengan Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) dan sentiasa mendapat sokongan daripada HLYM dalam berbagai acara permotoran seperti Cub Prix, MotoGP, Karnival GenBlu, pelancaran motosikal baharu Yamaha dan sebagainya.
HLYM juga seringkali memberikan sokongan dan bekerjasama dalam konvoi serta acara yang dianjurkan sendiri oleh kelab Yamaha Y15ZR Central Crew. Terkini, HLYM telah menjemput kelab tersebut untuk berkonvoi menyaksikan perlumbaan Asia Road Racing Championship Pusingan Ke-6 di Litar Antarabangsa Sepang SIC pada September lalu.
Konvoi ini telah disertai seramai 150 ahli Y15 Central Crew yang memulakan perjalanan dari Putrajaya ke Litar Sepang (SIC). Acara dimulakan pada jam 10:00 pagi dengan pendaftaran ahli di Laman Perdana Putrajaya yang datang dari Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Negeri Sembilan. Setiap peserta telah dibekalkan dengan sehelai t-shirt Yamaha dan kupon makanan.
Peserta diberikan taklimat agar perjalanan yang menggunakan lebuhraya Elite dapat dilakukan dengan selamat dan lancar. Semua peserta terlebih dahulu bergambar kenangan dan pastinya ia adalah satu kebanggaan buat setiap ahli kelab ini dapat bersama-sama sahabat handai menikmati aktiviti yang diminati.
Semua peserta sangat berdisiplin dan berkonvoi dengan teratur, tidak menutup mana-mana laluan serta tidak mengganggu lalulintas kenderaan. Ini membolehkan pergerakan konvoi cukup teratur dalam dua barisan. Lebih membanggakan, konvoi ini dapat dijalankan dengan selamat walaupun tanpa menggunakan bantuan krew pengiring mahupun bantuan Polis Trafik.
Semua peserta konvoi telah tiba di Litar SIC pada jam 11:45 pagi. Para peserta berpeluang membuat lawatan ke pit sekitar jam 12:05 tengah hari untuk bergambar dengan pelumba-pelumba ARRC dari dalam dan luar negara.
Perlumbaan ARRC pusingan keenam telah diadakan dalam empat kategori iaitu ASB1000, SS600, AP250 dan UB150. Perlumbaan ini disertai oleh para pelumba dari beberapa buah negara seperti Malaysia, Thailand, Indonesia, Switzerland, New Zealand, Australia, Jepun, Filipina, Chinese Taipei, Vietnam dan India. Dalam persaingan ASB1000, pelumba dari Australia, Broc Parkes yang menunggang jentera Yamaha YZF R1 kini berada di tangga tertinggi dengan 212 mata.
Dalam persaingan SS600, tiga tangga tertinggi turut diungguli oleh para pelumba Yamaha iaitu Peerapong Boonler, Kasma Daniel dan Adam Norrodin. Saingan AP250 memberi cabaran buat pasukan Yamaha apabila pelumba mereka, Reynaldo Christiano sedikit ketinggalan berbanding para pencabarnya iaitu di tangga keenam. Dalam perlumbaan kelas UB150, 95% daripada para pelumbanya menggunakan jentera Yamaha Y15ZR manakala selebihnya adalah pemacu jentera Honda RS150R.
Selepas menberikan sokongan dan menyaksikan perlumbaan ARRC semua peserta bersurai pulang pada jam 5.30 petang. Walaupun hanya seketika, pengalaman menunggang dan menonton perlumbaan bersama rakan-rakan adalah suatu detik masa yang cukup penting dan menyeronokkan. RR
Popular