'RE' Tour De Langkawi Bersama Otai Royal Enfield Malaysia
Nama aku Pak Tam dan kali ini aku ikut geng OTAI ke Pulau Langkawi. Mengikut perancangan, hari pertama bermalam di Kangar, Perlis. Manakala hari kedua dan ketiga bermalam di Pulau Langkawi.
Pada 10 Jun 2023 (Sabtu), kami berkumpul di R&R Sungai Buloh Arah Utara pada awal subuh. Ada 9 buah motosikal termasuk Pak Tam yang menyertai ride kali ini. Lebih kurang 4 jam perjalanan, kami singgah di Royal Enfield Penang. Rupa-rupanya mereka sudah lama menanti kedatangan kami.
Pak Tam dapat kawan baru. Rakan-rakan dari Wilayah Utara juga turut menyambut mesra. Beruntunglah diaorang, dapat bergambar, dapat makan tengahari, dapat cenderahati dan dapat cabutan bertuah! Fuh! Tahniahlah korang. Setelah selesai di sini, kami meneruskan perjalanan diiringi beberapa rakan yang nak balik ke arah Alor Setar, Kedah. Konvoi kami selamat tiba di homestay area Kangar pukul 4.00 petang.
Setelah menurunkan beg di homestay, ringan sikit bebanan Pak Tam. Kami meneruskan perjalanan mencari kedai kopi. Setelah masuk ke celah-celah kampung, kami tiba di ‘Rumah Kupi’. Macam-macam jenis minuman kopi ada dijual. Pak Tam nengok aje lah…
Dah puas ‘diorang’ minum kopi, kami meneruskan perjalanan di jalan yang berbukit dan berliku. Manalah… diorang ni nak pergi? Rupa-rupanya mereka nak gi Wang Kelian View Point. Pak Tam dan rakan-rakan terpaksalah tunggu di kaki bukit. Kenderaan awam tidak dibenarkan naik ke atas. Biar ajelah diorang menapak. 100 meter aje pun…
Setelah menikmati pemandangan dari atas bukit tu, mereka pun turun dengan perut masing-masing dah berbunyi. Hari sudah semakin gelap, kami meneruskan perjalanan mencari tempat untuk makan malam. Akhirnya tiba di restoran yang tak jauh dari homestay di Kangar. Selesai makan, kami pun pulang ke homestay lebih kurang pukul 10 malam. Pak Tam dan rakan-rakan pun nak rehat juga.
Hari kedua ceritanya begini...
Awal-awal pagi lagi kami bertolak mencari tempat untuk bersarapan. Masuk kawasan kampung-kampung dan sawah padi. Setelah bersarapan, kami terus ke Jeti Kuala Perlis untuk daftar masuk Pak Tam dan rakan-rakan beserta tuan masing-masing di Roro Feri Kargo. Kami disusun dengan teratur bersama kenderaan yang lain di dalam feri tersebut. Perjalanan lebih kurang 2 jam mengharungi samudra.
Setelah tiba di Langkawi, kami terus ke homestay di kawasan Kampung Lubok Buaya. Kami berehat sebentar, kemudian bergerak ke Pantai Cenang. Sambil makan malam terus kat situ menikmati matahari terbenam. Cantik sungguh pemandangan di pantai ini. Pak Tam memang minat lah tempat macam ni, Pak Tam nak 'healing'.
Apabila malam menjelma, ada pula pertunjukan api di sini. Setelah itu, tuan-tuan kami berjalan-jalan kaki di sekitar kedai-kedai di Cenang membeli cenderahati untuk keluarga masing-masing. Setelah pekena air kopi, kami pulang ke homestay dan berehat. Korang ada kira tak dah berapa cawan Pak Tam minum kopi ni?
Mai Pak Tam cerita kisah hari ketiga...
Selepas bersarapan, kami terus ke Kereta Kabel SkyBridge melalui Persisiran Pantai Kok. Pak Tam dan rakan-rakan diletakkan di parkir motosikal, tuan-tuan kami terus naik kereta kabel menuju ke atas gunung. Pak Tam tak boleh ikut naik ke atas, kurang sesuai, hehe gayat! Pak Tam hanya dapat tengok kereta kabel tu dari jauh aje, sayup… Selepas selesai bergambar, kami terus ke Kaki Gunung Kafe.
Perjalanan melalui Teluk Yu dan Kampung Padang Lalang. Di kiri dan kanan Pak Tam dapat lihat keindahan pemandangan hutan bukit dan persekitaran kampung. Kami menikmati nasi arab kambing dan ayam. Perjalanan diteruskan menaiki Gurung Raya, titik paling tinggi di Langkawi. Fuh… jalan di sini berliku-liku, ditemani dengan unggas-unggas, flora dan fauna. Sunyi aje.
Awan dah kelabu. Hujan renyai-renyai. Kabus dah mula kelihatan. Kami lebih berhati-hati dan mula jarakkan ruang antara kami. Setelah tiba di puncak Gunung Raya, kami berehat sebentar sambil bergambar. Suasana sunyi dan ruangan putih menyelubungi alam memberikan suasana yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Pak Tam nak ajak pembaca RR ke sini! Setelah selesai di puncak, kami turun menuju destinasi seterusnya. Kami singgah di Kampung Padang Lalang untuk solat dan mengeteh di warung berhampiran.
Kemudian kami meneruskan perjalanan melalui Jalan Ayer Hangat menuju ke Dataran Lang. Sepanjang perjalanan juga melalui kampung-kampung dan hutan. Terdapat juga orang-orang kampung yang melambai ke arah kami. Mesra sungguh penduduk di sini. Setelah 25 minit perjalanan, kami tiba di Dataran Lang. Seperti biasa, Pak Tam dan rakan-rakan tak dapat masuk ke Kawasan Dataran. Kami parkir di kawasan luar pagar aje lah. Tengok dari jauh aje mercu tanda pulau ini.
Setelah puas bergaya di depan telefon dan kamera, kami berasa letih, maklumlah dari pagi ride. Mereka mahu balik berehat di homestay. Tiba di homestay, mereka bukan berehat pun… tapi sambung berborak. He he… bertukar-tukar pengalaman punya topik.
Malam ini merupakan malam terakhir kami di Langkawi. Tuan-tuan kami bercadang nak makan besar di Pantai Tengah. Perghhh…. Makan seafood tak hingat. Sekali lagi Pak Tam dan rakan-rakan parking jauh sikit dari pantai. Mereka berborak sampai tengah malam.
Kejap je dah sampai hari keempat:
Pagi-pagi lagi kami sudah bersiap dan mereka bersarapan di Roti Canai OTAI Langkawi. Nama pun sama dengan nama group kami. Sambil makan, kami dihiburkan dengan nyanyian solo busker. Pemilik warung dan beberapa penduduk tempatan sempat beramah mesra dan bergambar bersama kami. Jam sudah pukul 8.45 pagi.
Kami perlu berada di jeti pukul 9.00 pagi untuk urusan pengangkutan kami keluar dari Langkawi. Apabila feri dah bertolak, sayu aje Pak Tam dan rakan-rakan melihat Pulau Langkawi semakin lama semakin jauh ditinggalkan dan lama-kelamaan hilang dari pandangan. Aduh… pengalaman yang tak dapat dilupakan dapat jalan-jalan di pulau lagenda tu.
Setelah tiba di Jeti Kuala Perlis, kami terus bertolak pulang. Sempat juga singgah sebentar di Royal Enfield Ipoh sebagai tanda persahabatan. Kemudian kami meneruskan perjalanan melalui PLUS terus ke perhentian terakhir iaitu di R&R Ulu Bernam untuk bersalaman dan mengucapkan selamat jalan pulang kepada peserta ride termasuklah Pak Tam dan rakan- rakan. Sehingga bertemu lagi di ride yang akan datang. RR
Ikhlas dari Pak Tam
Popular